Thursday, 17 March 2016

Cerpen : Pesalah Cinta








“Kenapa projek kat Bintulu tak siap lagi padahal due dah lama? Siapa yang handle?” soal seorang lelaki garang. Tubuhnya mendekati Rafiq dan dia terkejut bila seraut wajah di hadapan Rafiq menjamu matanya.

“Jaafar yang incharge. Tak pe, tu kita tolak ke tepi dulu. Ni aku nak kenalkan kau dengan pekerja baru kita. Cik Ariana Erdina. Our Account Executive.”

Ariana senyum. Matanya dialihkan kepada lelaki yang memandangnya dari tadi. Ariana tersentak. Matanya bulat bila disajikan dengan tubuh sasa seorang lelaki tampan. Tajam mata lelaki itu memandangnya di sebalik kaca matanya.

“Kenapa Cik Ariana? You kenal Hilman?” Rafiq menyoal. Gaya Ariana seperti terjumpa kawan lama.

Nafas Ariana tersekat. Tiba-tiba dia hilang suara.

“Hilman? You all kenal ke?” Rafiq menyoal Hilman pula bila Ariana tak menjawab. Pelik bila Ariana tunduk memandang kaki sendiri.

No... This is our first meeting. Hai Cik Ariana. Welcome to Kemuncak Holdings.” Hilman senyum sinis. Tangannya dihulurkan.

Ariana memandang sepi tangan yang dihulurkan Hilman. Hilman tak kenal dia? Atau pura-pura tak kenal? Dan kenapa hatinya rasa sakit. Sakit yang buat dia rasa mahu menangis.

 “Sorry. I lupa you pakai tudung. I ingatkan you sama macam perempuan lain yang… Forget it.” Hilman tak menyambung kata. Dia menjatuhkan tangan. Senyuman sinisnya masih belum terpadam.

“Perempuan macam mana maksud Encik Hilman?” soal Ariana. Dia mahu tahu apa yang Hilman fikir tentang dirinya. Matanya merenung mata Hilman. Hilman seolah benci padanya. Bukan… bukan benci tapi berdendam adalah perkataan yang paling tepat sekali.

Rafiq senyap. Rasa tertarik dengan apa yang dihidangkan di hadapan matanya.

“Perempuan yang perangai lepas. Pakai tudung tapi buat perkara tak senonoh kat belakang. Tak pandai jaga maruah diri sama macam apa yang you pernah…”

Ariana menampar muka Hilman kuat sebelum sempat lelaki itu menghabiskan ayat. Mata Ariana kabur dengan air mata yang mahu tumpah. Tak sangka Hilman sanggup berkata sebegitu rupa. Kawan yang dia paling sayang suatu ketika dulu. Kawan baiknya…

Wow, I’m impressed. First day you kat sini tapi you berani tampar bos you?” Hilman tergelak sinis. Percayalah, sikit pun dia tak terkesan dengan tamparan Ariana kerana luka yang Ariana berikan lebih sakit, lebih dalam dan lebih melukakan.

I’m sorry but I think you’re too much Encik Hilman.” Bergetar suara Ariana.

“I atau you yang melampau Cik Ariana? You fikir…”

 “Ops… stop it guys. I don’t expect your first meeting would be like this. Take it easy. Kita satu team sekarang ni. Please, jangan gaduh-gaduh demi kebaikan syarikat ni.” Rafiq cuba menenangkan keadaan yang semakin panas. Bukan sikit rasa terkejutnya bila Ariana dengan berani menampar Hilman. Pasti ada sesuatu di antara mereka berdua fikirnya.

Muka Hilman tegang. Rasa nak ditelan hidup-hidup batang tubuh Ariana.

“Encik Rafiq, saya berhenti. Saya akan hantar notis berhenti 24 jam dan jangan risau. Saya akan bayar pampasan.” Ariana tak ambil peduli dengan pandangan tajam Hilman. Dia keluar dan membawa diri ke biliknya yang belum pun sampai sejam dia rasmikan sebagai seorang Account executive di situ.

Tiada apa yang perlu dikemaskan. Beg tangan dicapai dan dia mahu pergi dari syarikat ini. Biarlah… mungkin bukan rezeki dia untuk bekerja di situ. Cuma dia ralat kerana Hilman masih berdendam dengannya. Dan kata hinaan Hilam tadi buat dia rasa sangat terkilan. Ariana menggeleng. Air mata yang bertakung cuba ditahan daripada tumpah. Dia tak bersalah! Tapi Hilman tetap tak nak percayakannya…

Saat dia melangkah ingin meninggalkan bilik itu dia tersentak bila Hilman muncul di sebalik pintu sebelum menghempas kembali pintu pejabatnya kuat. Terangkat bahunya terkejut.

“Kenapa kau muncul? Kenapa kau datang sini? Tak cukup lagi ke derita yang kau bagi pada aku dan kau nak tambah lagi?!” Hilman menengking. Merah muka Hilman. Sungguh, dia benci dengan sekujur tubuh dihadapannya saat ini. Ariana tak patut muncul dalam hidupnya lagi setelah sejarah hitam itu. Dia berharap dia tak perlu jumpa dengan Ariana lagi!

Ariana senyap. Hilman salah. Dia tak pernah berniat nak bagi derita pada Hilman. Hilman itu kawan baiknya. Hilman itu sebahagian dari hidupnya. Mana mungkin dia sanggup sakiti Hilman. Tapi, fahamkah Hilman?

“Jawab Ari!” sekali lagi Hilman menjerit lantang.

Ariana mengeluh.

“Kenapa tak puas hati lagi? Aku dah berhenti dari syarikat kau. Kau nak apa lagi?” perlahan Ariana menyoal. Ya… dia faham kalau dia harus pergi kerana dendam Hilman padanya masih belum surut. Sangkanya selepas sepuluh tahun masa berlalu, Hilman mampu memaafkannya dan menerima takdir. Namun sangkaannya salah.

“ Adik aku... kembalikan adik aku.” Bergetar suara Hilman. Ada kepedihan dalam suara Hilman. Sampai mati pun dia tak akan maafkan Ariana. Tak akan! Kerana Ariana, adiknya terbunuh. Kerana Ariana, emaknya jatuh sakit dan turut pergi meninggalkannya. Kerana Ariana, dia hilang kebahagiaan hidup. Dan kerana Ariana, dia hidup tapi seolah -olah mati!

“Hilman…aku.” Ariana hilang kata.

“Kau bunuh adik aku Ari. Kau bunuh Haris.” Tekan Hilman lagi. Rahang diketap marah.

“Tak… aku tak bunuh dia.” Ariana menggeleng. Kenangan silam terselak kembali.’Kak Ari…tolong Haris.. tolong…’

“Kau pembunuh!” Hilman merengkuh lengan Ariana kejap. Ariana tersentak.

“Kau masih boleh hidup aman lepas kau bunuh adik aku. Kau masih boleh senyum dengan hidup kau. Perempuan jenis apa kau ni?”

Hilman, you’re hurting me.” Pegangan kejap Hilman di lengannya begitu menyakitkan. Tapi ianya tak sesakit dengan apa yang dia rasa sekarang ini. Hilman menuduhnya tanpa mengetahui cerita sebenar!

“Aku lebih sakit dari kau. Kawan baik aku bunuh adik kandung aku. Kau tahu tak apa aku rasa? Aku rasa nak mati!” Hilman ketawa pedih. Benar, bukan sikit rasa terlukanya dengan apa yang berlaku. Dan saat dia mahu melupakan segalanya, Ariana kembali muncul. Menyebabkan hatinya kembali berdarah.

“Hilman…” air mata Ariana tumpah. Dia sebak dengan pengakuan Hilman. Hilman terluka teruk dengan kisah dulu tapi dia turut terluka. Dituduh  menjadi punca kematian Haris, dia tak bersalah tapi mahukah Hilman mendengar?

Hilman menolak tubuh Ariana. Ariana yang tak bersedia terjatuh. Dia mengaduh perlahan bila kakinya rasa terseliuh. Sikit pun Hilman tak rasa belas. Dia mendekati tubuh Ariana. Dagu Ariana dipaut kasar. Air mata Ariana yang mengalir di pipi tidak diendahkan.

Fine… kau kerja sini. Tapi sehari pun aku tak akan biarkan hidup kau tenang. Kau patut rasa sakit. Kau patut rasa apa yang aku rasa. Kau tak layak bahagia Ari. Kau tak layak.” Penuh dendam Hilman bersuara. Dagu Ariana dilepas kasar. Kalaulah dia diberi kuasa, dia sanggup menghapuskan Ariana sekarang juga!

“Aku tak bersalah Hilman. Kenapa kau tak nak dengar?” Dalam sayu Ariana bersuara. Rasa sakit dan sedih bergabung menjadi satu. Dia menekup muka. Tangisan dilepaskan.

Hilman menjauhkan dirinya. Tangisan Ariana memenuhi ruang bilik. Sakit… ya dia rasa sakit mendengar tangisan Ariana tapi bila mengenangkan apa yang Ariana pernah buat, dia jadi tawar hati. Dibuang jauh-jauh rasa simpatinya buat insan bernama Ariana.

“Dalam hidup aku… kau orang yang aku paling benci Ari. Kau…” sekali lagi Hilman menabur luka di hati Ariana sebelum meninggalkan Ariana keseorangan bersama tangisan yang masih bersisa.



********



‘Kak Ari…tolong Haris…tolong.’ Suara itu sayup-sayup meminta pertolongan.

“Haris!” Ariana terjaga dari tidur. Nafasnya mengah. Dia meraup muka. Mimpi itu. Mimpi tentang Haris mati lemas di depan matanya seringkali mengganggu malamnya. Hampir setiap malam dia mimpi benda yang sama. Tak pernah sekali pun tidur malamnya lena selepas peristiwa itu. Tak pernah… dan rasa bersalah menghantui dirinya tapi apa kuasa yang dia ada? Dia juga tak mampu.

Sayu menggigit tangkai hati. Dia fikir dia kuat untuk menghadapi tuduhan Hilman tapi sebenarnya 
dia lemah. Hilman fikir Hilman seorang saja yang terluka dengan apa yang berlaku. Tapi tahukah Hilman yang hidupnya turut berubah setelah itu. Teruk… itu yang boleh dia katakan.



********




Ariana termenung panjang di pantry. Dia mengeluh perlahan. Air milo di hadapannya direnung kosong. Bagaimana mahu buat Hilman maafkannya?Dia tahu dia tak bersalah tapi sekiranya dia mengalah dan hanya terima saja tuduhan Hilman, mahukah Hilman terima? Mungkin…Ah, dia tak tahu!

“Ari!”

Ariana terkejut bila ada orang menjerit memanggil namanya. Dia menoleh dan senyumannya lebar bila wajah Erin menyapa mata.

“Ya Allah, Erin! Kau kerja sini ke?” soal Ariana. Mereke berpelukan seketika. Masing-masing terkejut kerana tak sangka boleh bertemu kembali setelah sekian lama berpisah.

“Dah dekat 3 tahun aku kerja kat sini. Hilman tak cerita kat aku pun yang kau kerja sekali kat sini.” Erin pelik.

Ariana hanya tersenyum. Tak adanya Hilman nak bercerita tentang dia kerja di situ.  Hilman benci dia. ‘Dalam hidup aku… kau orang yang aku paling benci Ari. Kau…’ kata-kata Hilman terngiang-ngiang di fikirannya. Biarlah, biar Hilman benci dia tapi sikit pun dia tak benci Hilman. Hilman itu kawannya. Kawannya yang paling baik. Paling dia sayang.

“Kau dah kahwin? Dah berapa orang anak?” soal Ariana cuba alih topik. Dia berminat dengan kisah hidup Erin. Dulu masa sekolah bukan sikit lelaki yang sukakan Erin. Mana taknya, Erin cantik. Badan pula tinggi lampai seperti model. Semua orang pun boleh jatuh hati.

Erin tergelak kecik dengan soalan Ariana. Muka dia ada gaya dah kahwin ke?

“Aku belum kahwin lagi. Tengah dalam proses memikat. Dia jual mahal tapi aku tahu dia suka aku juga cuma tak nak mengaku.” Jelas Erin dengan senyuman yang masih terukir di bibir cantiknya.

“Siapa?” Ariana teruja. Pasti lelaki itu bukan calang-calang orang kerana mampu buat Erin jatuh cinta.

“Hilman.”

Terus hilang senyuman di bibir Ariana. Dadanya rasa sakit tiba-tiba. Dia jadi tak suka dengan kenyataan Erin. Hilman dan Erin bercinta? Kenapa hatinya pula yang sakit? Dia geleng kepala. Tak faham dengan hati sendiri.

“Kau geleng kepala kenapa? Tak suka aku dengan Hilman?” Erin kerut dahi. Dia perasan akan perubahan wajah Ariana. Tidak sukakah Ariana akan berita yang baru yang disampaikan?

“Eh, mana ada aku tak suka. Aku tumpang gembira dengan kau. Hilman is a good guy. Kau bertuah dapat dia.” Puji Ariana ikhlas. Sememangnya Erin bertuah memiliki Hilman kerana Hilman seorang yang penyayang, bertanggungjawab dan sangat protective. Muka kacaknya melengkapkan Hilman sebagai seorang lelaki idaman.

“Kawan baik kau, mestilah kau puji.” Erin mengusik.

“Kawan baik siapa?” soal Hilman tiba-tiba muncul di pantry. Terus tubuh Ariana keras.

“Kau tak cakap kat aku yang Ari kerja sini kenapa?” soal Erin tak sabar.

“Why bother? She is nobody Erin. Nobody…” Hilman membalas. Mukanya beku. Pandangannya dingin.

Ariana senyum tawar. ‘ Aku dah tak bermakna dalam hidup dia.’ Bisik hati Ariana sayu.

“Nak minum ke? Nak aku tolong buatkan? Kau suka kopi pekat kan?” soal Ariana cuba menghalau kesedihan yang mula bermukin di hati. Dia ambil cawan dan mahu buat minuman kegemaran Hilman. Tapi tangannya berhenti bila kata-kata Hilman menusuk ke tangkai hati. Menyiat sehingga berdarah. Mencarik kasar sehingga tiada apa lagi yang tinggal.

Oh, please… aku tak hadap nak minum air tangan kau. Aku takut aku jadi mangsa bunuh kau sama macam kau buat pada Haris.” Tajam lidah Hilman berbicara.

“Hilman!” Erin menegur.

What? Memang itu kenyataannya. Ari pembunuh!” marah Hilman. Dia menggenggam erat tangannya. Kalau tak diikutkan sabar yang masih bersisa, mungkin dia sudah mencekik Ariana sekarang. Melenyapkan terus tubuh itu dari muka bumi. Biar derita yang ditanggungnya hilang.

Terpejam sesaat mata Ariana dengan tuduhan Hilman. Adakah dia patut hilang dari hidup Hilman untuk lenyapkan segala dendam Hilman? Begitukah? Dengan nafas yang tertahan, dia capai pisau yang berada di sinki dan dihulurkan pada Hilman. Air muka Hilman berubah.

“Bunuhlah aku. Aku memang tak layak hidup. Aku izinkan kau bunuh aku. Sekarang.” Penuh luka Ariana bersuara. Ada getaran pada suaranya. Air matanya mula luruh.

“Ari! Kau dah gila ke?” Erin cuba merampas pisau di tangan Ariana tapi Ariana menepis tangan Erin. Dia menghulurkan lagi pisau itu pada Hilman yang terdiam.

“Ini yang kau nak Hilman. Bunuh aku.”

“Aku tak nak kotorkan tangan aku dengan menyentuh kau. Kau kotor Ari. Hatta sehelai rambut kau pun aku jijik nak sentuh.” Dalam suara Hilman. Air mata Ariana buat dia rasa teruk. Teruk kerana buat Ariana menangis lagi tapi bagaimana dengan air mata emaknya? Lebih banyak yang tumpah kerana meratapi kematian seorang anak lelaki. Dan emaknya turut… Hilman menahan nafas. Emaknya turut pergi…

Ariana menahan sendu. ‘Sampainya hati Hilman. Begitu sekali Hilman membencinya. ‘

“Stop it Hilman. You’re hurting her feelings.”  Marah Erin.

Hilman ketawa sinis. Dia geleng kepala. “You don’t know how much I suffer Erin. You just don’t know and now you’re telling me that I hurt her feelings? Damn it! She deserves it!”

Ariana gigit bibir menahan esakan yang mahu pecah. Sampai bila dendam ini akan dibawa Hilman? Sampai dia mati?

“ Adik aku mati, tak lama lepas tu mak aku pun ikut jejak adik aku dan aku… aku derita. Aku sakit. Sakit kat sini.” Hilman tumbuk dada kirinya. Air mukanya keruh mempamerkan rasa sakit dan terluka yang bukan sikit.

Ariana terkejut. Cik Yah? Cik Yah dah meninggal? Kepalanya bagai dihempap dengan batu besar. Tangan Ariana jatuh ke sisi. Air mata semakin lebat membasahi pipi. Bibirnya bergetar ingin menyatakan sesuatu tapi tiada kata yang terluah. Ya Allah… dia tak tahu.  Patutlah Hilman begitu berdendam dengannya. Dia faham sekarang.

“Aku hilang segalanya sebab kau Ari. Jadi kau tahu kenapa aku benci kau? Semuanya salah kau. Aku dah tak ada apa Ari. Tak ada apa yang tinggal untuk aku.” Hilman senyum pedih.  Air matanya turut jatuh. Nafasnya rasa berat.

Ariana melutut di kaki Hilman.

“Aku minta maaf. Aku tak tahu Cik Yah dah pergi. Aku tak tahu… aku minta maaf Hilman.” Bersungguh-sungguh Ariana minta maaf. Kalaulah dia mampu untuk menghentikan derita Hilman, dia sanggup buat apa saja. Apa saja…

“Kau rasa maaf kau boleh kembalikan keluarga aku Ari?” perlahan Hilman menyoal. Dia tahu Ariana tak akan mampu.

Soalan Hilman menjerut leher Ariana. Dia terdiam. Bersama air mata yang semakin lebat mengaburi pandangannya.



********



Ariana menyelak kembali foto-foto lama. Gambar dia dan Hilman menyapa mata. Dia senyum tawar. Betapa bahagianya dia dulu berkawan dengan Hilman sebelum semuanya berubah.


Imbas kembali…

“Hilman!” Ariana menjerit geram. Sabarnya dah tak tertahan lagi. Dah sejam lebih dia kat rumah ni tapi dari tadi Hilman buat dia macam tunggul.

“Ye Ari…” Hilman menyahut tanpa mengangkat muka. Matanya fokus pada tab di tangan.

“Ajarlah aku subjek ni. Nanti kau sambung balik main game tu.” Ariana bersuara. Dari tadi buku latihannya tak berusik. Subjek fizik. Dia memang lemah teramat dengan subjek ni. Rasa berpinar mata bila study subjek ni. Lain pulak dengan Hilman. Semua subjek pun score padahal dia tengok  
Hilman tak study pun. Di manakah keadilan di dunia ni? Haha…drama sangat.

“Kejaplah.” Tanpa perasaan Hilman membalas.

Ariana mendengus.

“Kau punya kejap tu sampai aku dah habis makan sepinggan nasi ayam dan semangkuk pengat pisang. Cepatlah Hilman. Nanti mama balik dari kerja aku pun nak kena balik rumah.” Aci tak kalau dia lempar tab tu kat dinding biar pecah berderai. Eh, tak mau tak mau. Nanti habis nyawa dia dikerjakan Hilman.

“5 minit. Nak habis dah ni.”

Ariana ketap gigi geram. Tak boleh jadi ni.

“Cik Yah! Tengok Hilman, dia kan..” kata-kata Ariana mati bila Hilman tekup mulut dia rapat. Bulat mata dia. Tercungap nafas kerana perbuatan Hilman.

“Kau nak bunuh aku ke?” soal Ariana tak puas hati bila dia berjaya menepis tangan Hilman dari mulutnya. Merah mukanya. Ada juga yang kena baling dengan buku tebal ni karang.

“Padan muka. Suka mengadu kat mak aku.  Kaki mengadu betullah kau ni.” Hilman membebel. Ariana memang. Dari dulu kalau dia tak nak dengar cakap Ariana, mulalah Ariana mengadu pada emaknya. Dan yang paling dia tak puas hati bila emaknya sendiri lebih suka menangkan si Ariana daripada dirinya. Sungguh tak aci!

“Adoi, sakitlah Ari.” Hilman terjerit kecil. Laju dia mengusap lengan kanannya yang dicubit Ariana. Habislah, confirm berbekas. Tangan macam ketam. Suka sangat cubit orang. Potong tangan tu baru tahu.

Ariana mencebik “Padan muka kau. Lagi sekali kau buat macam tu, aku cubit sampai lebam.”

“Yelah… Mana yang kau tak faham. Sini sifu nak tengok.” Hilman dah duduk bersila. Mata dihalakan ke arah buku Ariana.

“Soalan ni. Kenapalah suka sangat buat soalan complicated. Tak faham aku.” Kepala yang tak gatal digaru perlahan.

"Soalan ni? Ni?”Hilman dah tergelak besar. Ariana kerut dahi. Dah kenapa Hilman ni? Tak bagi main game candy crush terus sawan ke?

“Punyalah senang soalan ni. Kau berangan ke masa cikgu ajar kat dalam kelas? Ingatkan Arman?”

“Nama Arman jangan sebut kalau kau tak nak mata kau lebam sebelah.” Tolonglah jangan kenenkan dia dengan Arman. Dia tak suka. Arman itu buaya tembaga! Playboy sekolah!

“Arman suka kau.”Hilman dah gelak-gelak. Suka dia tengok muka bengang Ariana.

“Diam Hilman.” Ariana memberi amaran.

“Betul, Arman suka kau. Dia…” suara Hilman bertukar kepada jeritan bila sekali lagi Ariana mencubit lengan kirinya pula. Lebih kuat dari tadi!


Kini…

Ariana seka air mata yang luruh tanpa disedari. Dia usap gambar Hilman yang sedang tersenyum. Rindunya dia pada senyuman Hilman hanya  Allah yang tahu.

“Ari...” tegur satu suara.

Ariana diam. Hanya membiarkan sekujur tubuh duduk di sebelahnya dan mengusap perlahan bahunya.

“Kenapa ni sayang?” Puan Juliana menegur. Air mata dan Ariana memang tak dapat dipisahkan sejak tragedi hitam itu. Sebagai seorang ibu, dia cuba buat yang terbaik untuk anak tunggalnya kembali senyum tetapi malangnya usahanya masih bertemu jalan buntu.

“Ari dah jumpa Hilman.”

“Alhamdulillah. Hilman cakap apa? Dia seronok jumpa Ari?”
Ariana menggeleng. Tangisannya bertukar menjadi esakan.

“Hilman benci Ari, mama. Haris meninggal, Cik Yah pun dah meninggal. Semuanya salah Ari. Ari bunuh keluarga Hilman. Hilman terluka mama. Dan Ari yang bagi Hilman luka tu. Ari jahat mama.”

Puan Juliana tarik Ariana ke dalam pelukan. Air matanya turut jatuh bila tangisan Ariana semakin kuat. Dia cuba menenangkan Ariana yang dilanda badai perasaan maha hebat.

“Ari tak salah. Jangan salahkan diri Ari. Hilman tak tahu Ari tak bersalah.”

“Ari benci dengan diri Ari. Ari punca Hilman hilang keluarga, kasih sayang, senyuman. Ari yang salah…” dalam esakan Ariana berbicara.



********





Ariana senyap bila Hilman melempar kertas di depannya. Ada yang jatuh di lantai. Dia tunduk seketika mengutip kertas-kertas itu. Hatinya menahan rasa. ‘ Sabar Ari. Kau perlu tebus balik salah kau. Terima saja apa yang Hilman lakukan. Dia lebih terluka dari kau.’ Ariana tiupkan kesabaran dalam hati.

“Kau reti buat kerja ke tak Ari? Mana otak kau pergi? Kenapa banyak sangat salah? Aku tak bayar gaji kau untuk kau  buat salah!”jerkah Hilman marah. Bergema suaranya sehingga ke luar.

“Saya minta maaf Encik Hilman. Bagi saya masa, saya akan betulkan semula report ni.”

“Kau dari dulu memang macam ni. Pandai minta maaf lepas buat salah tapi tak pernah nak berubah. Apa otak kau dari dulu memang lembap ke? Tak pandai nak buat kerja kalau tak harapkan orang?”

Ariana tak membalas. Hanya diam dan berdiri tegak. Katalah apa saja, dia tak akan membalas. Dia tak nak rasa benci Hilman padanya semakin bertambah.

“Dah tak ada mulut pula sekarang ni? Dah tak reti nak jawab?” kasar Hilman bertanya. Tali lehernya dilonggarkan. Dia tak puas hati bila setiap patah bicaranya langsung tak mendapat respon dari Ariana. Bukankah Ariana pantang bila orang mengutuk dia? Jadi, kenapa Ariana senyap bagai patung cendana?

Ariana tetap senyap.

“I am talking to you Ari!”

“Untuk apa saya bersuara jika setiap apa yang keluar dari mulut saya hanya menambah benci Encik Hilman? Hanya buat dendam Encik Hilman semakin menggunung.” perlahan Ariana membalas. Wajahnya tunduk tak memandang Hilman. Bukan sekarang saja,sememangnya dari mula-mula dia masuk pejabat Hilman dia langsung tak memandang muka Hilman. Bimbang hati dia tak kuat. Risau andai ada air mata yang akan jatuh saat pandangannya dilabuhkan pada wajah Hilman.

Hilman mendengus kasar. Dia tak suka dengan ayat yang dimuntahkan Ariana.

“Keluar sekarang. Jangan tunjuk muka kau depan aku hari ni.”

Ariana menurut. Dia keluar meninggalkan Hilman yang jiwanya berkecamuk. Hatinya terkesan dengan bicara Ariana. ‘ Beginikah kesudahan kita Ari? Saling membenci? Atau aku yang ego? Masih berpaut pada dendam lama?’ Hilman pejam mata. Nafas dihela berat.



********



Ariana merenung jauh ke tengah tasik. Dulu dia dan Hilman rajin datang sini. Kadang barbeque… kadang hanya bersembang menghabiskan masa. Semua cerita mereka kongi bersama tapi itu dulu. Sekarang semuanya dah berubah. Dia teringat kembali perbualan dia dan Hilman suatu ketika dulu.

“Macam mana kalau satu hari nanti kau benci aku, tak suka aku, tak nak pandang muka aku dan rasa nak tolak aku jauh-jauh?” soal Ariana sekali nafas. Dia pandang Hilman yang duduk di sebelah.

Hilman tergelak besar. Rasa kelakar dengan soalan Ariana. Salah makan ke sampai soal benda yang tak masuk akal?

 “ Kau tengok drama banyak sangat Ari. Sama macam mak aku. Sinetron la, akasia la, lestary la… macam-macam. Sampai hidup kita pun kau nak jadikan macam drama.” Dengan gelak yang bersisa Hilman membalas.

“Hidup kita memang macam drama. Dunia adalah pentas lakonan dan kita pelakonnya. Kau tak jawab lagi soalan aku. Macam mana kalau nanti kita dah tak macam sekarang? Saling membenci?” 

Ariana senyum kecil. Entah kenapa dia jadi tak sedap hati. Akan bertahankah hubungan persahabatan mereka?

“Macam manalah kau boleh terfikir yang aku akan benci kau, tak suka kau, tak nak pandang muka kau dan nak tolak kau jauh-jauh sedangkan aku nak kau selalu ada dengan aku saat senang dan susah, saat gembira dan duka, berkongsi segalanya dengan aku. Kau kawan baik aku Ari. Kawan yang aku paling sayang. Tak mungkin aku akan benci kau. Tak mungkin...”

Itu kata Hilman dulu. Kenyataannya sekarang ini, Hilman sememangnya benci dia, tak suka dia, tak nak pandang dia dan kalau boleh mahu tolak dia jauh-jauh! Dan untuk kesekian kalinya air mata Ariana jatuh.



********



“Ari!” Ariana menoleh bila ada orang menjerit memanggil namanya. Dia tergamam seketika bila wajah tampan Arman menyapa mata. Dan kakinya mula berlari anak bila dia lihat tubuh Arman semakin mendekatinya. Jantungnya berdebar hebat. Langkahnya terabur. Habis semua orang dilanggarnya.

Dia tak tahu macam mana Arman boleh ada di sini. Biarpun sudah bertahun mereka tak berjumpa tapi dia masih ingat dengan jelas wajah Arman, orang yang pernah mencalitkan kesan hitam dalam hidupnya!

Ariana hampir terjatuh ke belakang kalau tak kerana ada sepasang tangan menahannya dari jatuh.

“Mata letak kat mana Ari?” dalam suara Hilman menegur. Dia turut terkejut bila tubuh Ariana melanggarnya. Dan wajah pucat Ariana menangkap matanya.

Ariana diam. Kepalanya toleh ke belakang melihat Arman dan nafasnya rasa semput bila tubuh Arman semakin mendekati dan kini berdiri di sebelahnya dengan nafas yang mengah.

“Ari, kenapa lari?” soal Arman. Baru dia perasan akan Hilman yang turut ada di situ. Wajah Hilman tegang.

Ariana tak menjawab soalan Arman. Dia ketap bibir menahan rasa.  Dia tak selesa dengan pandangan tajam Hilman. Mungkin Hilman fikir dia dan Arman masih lagi berhubungan.

“Hilman. Lama tak jumpa.” Dalam senyuman Arman menegur.

Hilman langsung tak endahkan Arman. Dadanya rasa berbuku saat ini. Dihimpit rasa yang menyesakkan. Wajah pucat Ariana direnung tajam. Rahangnya bergerak menahan marah. Marah kerana ada Arman dalam hubungan mereka.

“Betullah sangkaan aku. Kau memang ada hubungan dengan Arman.  Langsung tak cakap kat aku dulu. Susah sangat ke nak mengaku Ari? Dulu bermati-matian kau tak nak dia tapi siapa sangka kau cuma berpura-pura depan aku. Mulut kata benci, dalam hati suka. Sampai sanggup buat perkara terkutuk tu dekat stor sekolah dan…” kata-kata Hilman mati. Dia terpaku  bila tamparan Ariana hinggap di pipinya. Hatinya menyumpah kuat bila air mata Ariana mula bertakung di birai mata sebelum menitis laju menodai pipi itu.

“Aku boleh terima kalau orang lain yang tuduh tapi bila kau…”Ariana terhenti seketika. Dia senyum pahit. Air matanya mengalir lemah.

“Ari, aku yang bersalah. Kalau tak sebab aku…” Arman mencelah.

“Diam! Aku tak akan maafkan kau Arman. Kau burukkan nama aku sampai aku rasa malu nak angkat muka. Sampai kawan baik aku sendiri tuduh aku tak ada maruah…” penuh kecewa Ariana bersuara.

Hilman terpejam sesaat mendengar tangisan Ariana yang menghiris hati lelakinya.

“Aku memang betul-betul dah tak bermakna dalam hidup kau kan Hilman?”

Hilman diam. Lidahnya seakan dipasung.

 “Ari!” Arman jerit memanggil Ariana yang semakin menjauh tapi sikit pun Ariana tak menoleh. Dia menggeleng kesal. Memang salahnya. Dia yang menjadi punca Hilman memandang serong pada Ariana. dia perlu menjelaskan hal yang sebenar pada Hilaman. Mernjernihkan kembali keadaan yang keruh.

“Ari tak salah. Sebenarnya…” Arman mula bercerita.


Imbas kembali…

Ariana menjengket. Geram semakin beraja di hati. Siapa pula yang pergi letak bola jaring kat rak paling atas sekali. Dah susah dia nak ambil. Sungguhlah, menyusahkan!

Tiba-tiba ada tangan dari belakang mengambil bola itu. Ariana terkejut. Cepat-cepat dia menoleh dan dia tergamam bila wajah Arman dekat dengannya. Laju dia menolak tubuh Arman dan ingin keluar dari bilik stor yang menyesakkan nafasnya. Belum sempat dia mencapai tombol pintu, pinggangnya ditarik dari belakang.

“Kau dah gila ke Arman? Lepaskan aku.” Ariana meronta hebat. Dia semakin takut bila Arman merentap tudungnya. Mempamerkan rambut panjangnya.

“Kau jual mahal sangat Ari. Aku dah lama suka kau tapi kau tak pernah nak layan aku.” Arman mula mengusap pipi Ariana dan dia tergelak kecil bila tangannya tersentuh air mata Ariana yang mula mengalir di pipi.

“Tolong!” Ariana menjerit dan laju Arman menutup mulut Ariana dengan tangan menyebabkan suara Ariana tersekat di kerongkong.

“Siapa ada kat dalam? Buka pintu ni!” pintu diketuk dari luar. Cikgu Azman!

Dengan sepenuh tenaga Ariana menolak tubuh Arman dan membuka pintu yang terkunci. Di hadapannya ada Cikgu Azman dan beberapa murid kelasnya.

“Cikgu, tolong saya. Arman…”

“Dia goda saya cikgu. Ari yang paksa saya. Saya tak bersalah cikgu.” Arman memotong kata Ariana.Dia berdiri di sebelah Ariana.

 “Tak! Dia tipu! Arman cuba buat benda tak elok pada saya.” Ariana geleng kepala. Dia tak bersalah!

“Kau nak tipu siapa Ari? Kau juga yang ajak aku masuk bilik stor tadi. Sekarang kau putar belitkan cerita pula.”

“Kau tak guna!” Ariana menerkam Arman. Mahu menampar mulut yang dirasakannya sangat kurang ajar. Sanggup menabur fitnah di atas perkara yang dia tak buat. Namun tubuhnya dihalang oleh Erin dan Haida.

“Sudah! Kamu berdua, ikut saya ke bilik. Sekarang!” marah Cikgu Azman. Dia tak boleh menuduh sesiapa sekarang ini. Siasatan harus dijalankan sebelum hukuman dibuat.

Ariana pandang Hilman yang turut berada di situ. Muka lelaki itu merah. Rahangnya diketap. Dan Ariana terkedu bila Hilman berlalu pergi tanpa menoleh lagi.

“Aku tak bersalah Hilman!” malangnya Hilman tetap pergi.


Kini…

Tumbukan Hilman singgah di muka Arman. Arman yang tidak bersedia tidak sempat mengelak.

“Hilman!”  Rafiq muncul dan menghalang Hilman dari terus menerkam tapi pegangannya terlepas.

“Kau memang lelaki tak guna Arman. Sanggup kau buat macam tu pada Ari. Kau fitnah dia. Kau busukkan nama dia. Lelaki jenis apa kau ni?!” Sekali lagi tumbukan Hilman singgah di muka Arman.  Arman jatuh terduduk. Bibirnya pecah berdarah. Dia bangun perlahan. Menghadapi kemarahan Hilman.

“Aku fitnah dia. Aku tipu semua orang. Tapi dia kawan baik kau Hilman. Takkan kau tak kenal siapa kawan baik kau yang sebenarnya. Kau pun bersalah sebab percaya bulat-bulat. Kau cakap kau kenal sangat dengan Ari tapi apa yang kau buat pada dia? Kau pun tuduh dia yang bukan-bukan.”

“Diam! Kau jangan cuba nak ajar aku.” Hilman mencekak kolar baju Arman.

Rafiq terkejut. Jadi betullah tekaannya selama ini. Hilman dan Ariana mempunyai hubungan. Bukan pertama kali berjumpa di syarikat ini. Kawan baik rupanya.

“Salah ke apa yang aku cakap? Kau boleh tumbuk aku seberapa banyak yang kau mahu tapi itu tetap tak ubah kenyataan yang kau dah hancurkan hati Ari dengan menuduh dia perempuan tak ada maruah!”

Tangan Hilman jatuh. Benar, apa yang Arman cakap tiada satu pun yang salah. Apa beza dia dengan orang lain? Sanggup menjatuhkan hukuman tanpa mengetahui cerita sebenar. Sedangkan Ariana itu kawan baiknya. Dia kenal Ariana bagaimana. ‘Jangan simpati pada Ari, dia bunuh keluarga kau!’ bisik satu suara kecil pula.

Hilman meraup rambut kasar. Kusut!

“Aku bersalah pada Ari dan aku tahu aku tak layak dimaafkan. Ari tak bersalah Hilman.” Luah Arman kesal. Menggunung rasa bersalahnya. Selama ini dia hidup dalam penuh sesalan. Hatinya tak tenang dengan apa yang berlaku. Ternyata dulu dia terlalu jahil. Begitu mengikut hawa nafsu. Sudahnya nama Ariana tercemar disebabkan perbuatannya. Di mata semua orang, Ariana yang bersalah sedangkan… Arman mengeluh berat. Sedangkan dia yang bersalah. Dia yang berdosa.



********



“ Bila kau nak masuk pinang aku?” soal Erin malu-malu. Sudah lama dia tunggu Hilman melamarnya namun sehingga sekarang Hilman langsung tak memulakan apa-apa tindakan.

“What?” Hilman kerut dahi. Dia salah dengar ke?

“Kau dengar apa yang aku cakap Hilman.”

“Aku tak cintakan kau Erin.” Yakin sahaja Hilman membalas. Cinta? Tak pernah wujud dalam kamus hidupnya.

“Tapi aku ingat kita saling mencintai.” Muka Erin muram.

“Aku tak tahu apa yang buat kau fikir macam tu tapi percayalah aku langsung tak ada perasaan pada kau. Aku hanya anggap kau kawan.” Erin sentiasa berada di sisinya. Dari dulu, sejak peristiwa itu Erin orang yang paling rapat dengannya.

“Habis tu kau cintakan siapa? Ari?” Erin tak puas hati. Dia peluk tubuh. Sememangnya dari dulu dia cemburu dengan Ariana yang sering mendapat perhatian Hilman.

 “Dia bunuh keluarga aku. Aku tak akan jatuh cinta pada orang yang dah rampas kebahagiaan hidup aku. Dia tak layak. Langsung tak layak.” Hilman bersuara. Tapi benarkah? Sekelumit perasaan langsung tiada untuk Ariana? Dia jadi ragu-ragu dengan hati sendiri.

Fail yang dipegang Ariana jatuh. Hilman angkat muka. Dan dia terkedu bila Ariana pandang dia dengan penuh luka sebelum berlari keluar. Tanpa menunggu walau sesaat, Hilman mengejar Ariana. Ah, kenapa hatinya pula yang tersentuh bila Ariana kecewa? Rasa itu tak patut ada!



********



Tanpa berfikir panjang, Ariana melintas tanpa melihat kiri dan kanan. Tidak dihiraukan hon yang dibunyikan oleh kenderaan lain. Makian dari pemandu yang marah dengan tindakannya hanya dipekakkan. Gila? Memang dia dah gila!

“Ari!”

Hilman menyambar tubuh Ariana sebelum sempat lori berkepala merah menggilis tubuh langsing Ariana.

“Kau dah gila ke?” lantang Hilman bersuara. Bahu Ariana dipegang kasar. Kalaulah dia terlambat walau sesaat tadi, pasti nyawa Ariana sudah melayang. Marahnya membuak. Apa yang difikirkan Ariana sehingga sanggup mencabut nyawa sendiri?

“Memang aku dah gila! Kenapa selamatkan aku? Aku memang patut mati. Aku yang bunuh Haris. Aku punca Cik Yah mati!” Ariana menjerit. Dia tolak tubuh Hilman. Air matanya jatuh bercucuran.

“Kau ingat kalau kau mati, kau boleh kembalikan keluarga aku? Boleh ke Ari?!” marah Hilman. Mukanya tegang. Tindakan tak dijangka Ariana benar-benar buat dia hilang nafas. Jantungnya berdebar bukan kepalang.

“Habis kau nak aku buat apa? Kau benci aku! Kau patut biarkan lori tu langgar aku Hilman. Biar aku terus lenyap dari hidup kau. Biar kau takkan rasa terluka bila pandang aku. Biar…”

“Diam Ari!” marah Hilman. Terus dia tarik lengan Ariana. Memang itu yang dia yang dia nak. Dia mahu Ari ghaib dari hidupnya. Ariana bersalah kerana buat hidupnya jadi gelap, derita, terseksa... semuanya salah Ariana. Tapi kata-kata Ariana menyiat hatinya. Berdarah. Dia rasa teruk bila Ariana menangis disebabkannya.

“Lepas Hilman. Lepaskan aku! Kau tak boleh pegang aku. Aku kotor. Aku jijik.” Ariana meronta hebat. Dia pukul tangan kekar Hilman yang memegangnya erat. Bila dia berjaya, dia mula berlari. Mahu jauh dari Hilman. Mahu lupakan segalanya. Dia hanya mahu menangis saat ini dan dia tak mahu sesiapa pun dekat dengannya.

Namun tubuhnya rasa melayang bila Hilman mencempungnya. “Hilman!” semakin kuat rontaan Ariana.

“Kalau kau nak sangat mati, biar aku yang bunuh kau. Biar tangan aku sendiri yang habiskan riwayat kau. Kau tak payah susah-susah nak bunuh diri. Faham, Ari?” dalam suara Hilman. Pegangannya pada Ariana semakin kuat.

Ariana terdiam. Air matanya jatuh lagi…

 “Hilman. What happen?” Erin terkejut.  Dia kerut dahi bila Hilman masuk ke pejabat dengan mencempung Ariana. Hilman senyap tanpa menjawab pertanyaan Erin. Terus masuk kebiliknya dan Erin tersentak bila pintu itu dihempas kuat.

Hilman campak tubuh Ariana ke sofa. Ariana mengaduh perlahan.

“Sakit? Itu baru sikit. Kau belum rasa sakitnya bila nyawa kau ditarik.” Hilman duduk di hadapan Ariana. Dia menahan diri dari mengusap pipi Ariana dan menghapuskan air mata yang sering kali jatuh disebabkannya.  Bodohkah dia kerana mula rasa sayang pada Ariana sedangkan dia tahu Ariana punca dia kehilangan keluarga.

Ah, hatinya sudah gila atau apa? Bukankah dia masih lagi benci dan berdendam dengan Ariana? Tapi kenapa pula matanya nampak Ariana begitu cantik walau sedang menangis saat ini. Dengan muka merah, air mata masih di pipi. Bibir merah Ariana…Hilman pejam mata. Cuba mengusir rasa pelik yang mula hadir dalam hati lelakinya.

“Kenapa selamatkan aku tadi? Bukan ke itu yang kau nak? Kau nak aku mati. Jadi kenapa kau halang aku?” soal Ariana dengan suara serak. Kepalanya rasa berat. Otaknya terlampau letih dengan semua ini.

“Hanya aku yang berhak untuk tentukan bila kau akan mati. Nyawa kau milik aku.”

Ariana tunduk. Dia ketap bibir. Nyawanya milik Hilman? Bukan…nyawanya bukan milik sesiapa namun milik Allah. Lupakah Hilman?

“Kenapa kau biarkan Haris mati, Ari?” soal Hilman. Air muka Ariana yang berubah dipandang tajam. Dia tak pernah ada kekuatan untuk bertanya pada Ariana namun dia kini ingin tahu dari mulut Ariana sendiri. Kenapa Ariana, kawan baiknya sanggup biarkan adiknya lemas.

Ariana genggam tangannya kuat. Mungkin ini masanya dia bercerita pada Hilman tentang apa yang telah terjadi.

“Aku tak biarkan dia mati. Aku cuba selamatkan dia tapi…”

“Jangan tipu aku Ari. Jangan ingat aku akan percaya pada pembohongan kau.” Laju Hilman memangkah bicara Ariana. Ariana cuba selamatkan Haris? Rasanya cerita yang dia dengar sangat berbeza.

“Aku tak tipu! Kenapa kau tak nak percaya? Haris jatuh, dia lemas. Aku cuba selamatkan dia tapi…”sekali lagi kata-kata Ariana dipangkah Hilman.

“Stop lying Ari!  Jangan cuba tegakkan benang yang basah. Kau biarkan Haris main air seorang diri sedangkan aku dah pesan awal-awal pada kau, jangan biar dia seorang. Dia jatuh, lemas… tapi kau langsung tak perasan!” bentak Hilman. Rahangnya diketap marah. Mengungkit kembali kenangan lama, hatinya terus berdarah.

“Bukan aku tapi Erin yang...” kata-kata Ariana mati bila Hilman tumbuk meja. Kuat. Dan dia nampak ada darah merah pekat mengalir.

“Jangan letak kesalahan pada Erin bila itu memang salah kau.” Dalam suara Hilman memberi amaran. Hilman seakan tak percaya bila Ariana cuba menuduh Erin sedangkan Erin langsung tak bersalah!

“Kau cintakan dia, Hilman? Sampai aku cakap pun kau langsung tak nak percaya? Sampai kau sanggup lukakan diri kau?”

“Aku cintakan dia dan aku tak rasa orang yang aku sayang sanggup buat aku macam tu.” Hilman menipu. Kenyataannya dia langsung tak cintakan Erin.

Ariana terkedu. Hilman cintakan Erin? Dan kenapa pula hatinya pula yang sentap. Bagai ditusuk pisau yang tajam. Terus merobek tanpa belas.  Bahunya jatuh. Sinar matanya hilang. Dia rasa dicampak ke daerah sepi.

Perlahan-lahan Ariana menekup mukanya dan sekali lagi air matanya luruh. Dia tak tahu untuk apa dia menangis. Apa  yang dia tahu hatinya sangat sakit dengan kenyataan Hilman yang cintakan Erin. Sakit yang dia tak pernah rasa.

“Ari?” Hilman risau. Tangisan Ariana meresahkannya. Teresak bagai tidak mahu berhenti. Ariana nampak begitu terluka. Nampak sangat lemah.

“Ari, kenapa?” Hilman tarik tangan Ariana yang menutup muka dan pandang mata cantik Ariana yang menangis. Hatinya dipagut sayu bila Ariana memandangnya dengan pandangan luka.

“Hilman…” tiada ayat yang keluar dari bibir merah Ariana. Hanya air mata yang masih setia mengalir di pipi mulusnya. ‘Hilman, jangan cinta Erin. Aku tak suka!’ kata-kata itu hanya bergema di hati Ariana. Dia tiada kekuatan untuk meluahkan.

“I’m sorry if I hurt you.”  Ujar Hilman perlahan dan bibirnya senyum. Senyuman yang sudah bertahun Ariana ingin tatap. Senyuman yang pernah hilang kerana dirinya. Satu perasaan halus meresap ke dalam jiwa.

“Hilman…” Ariana menyebut nama Hilman. ‘Aku cintakan kau.’ Ya… baru dia faham perasaan ini. Dia cintakan Hilman…



********



Ariana mengeluh. Tak sepatutnya dia turut serta dalam majlis ini. Majlis kenamaan orang-orang besar namun Rafiq bertegas mahu dia datang.

Matanya merenung lama pada kolam renang. Tiap kali dia tengok kolam renang, tiap kali itulah dia akan teringat Haris. Haris lemas di depan matanya. Haris yang dianggapnya macam adik sendiri. Telah pergi meninggalkannya selamanya.

“Suka air?” Rafiq tegur Ariana yang hanya merenung kolam renang tanpa lepas.

Ariana terkejut. Perlahan dia mengusap dada. Kehadiran Rafiq menyentakkan lamunannya.

“You fikir apa Ariana sampai I berdiri lama kat sebelah you pun you tak sedar?” Rafiq ketawa. Sudah lama dia perhatikan Ariana. Ariana bagaikan hanyut dalam dunia sendiri.

Ariana hanya senyum.

“You suka kolam renang? Suka berenang? Sebab I tengok you asyik sangat tengok kolam renang tu.” Soal Rafiq lagi. Dia perasan, Ariana tak banyak cakap. Lebih suka mengasingkan diri dari bergaul dengan staf lain.

“Dulu saya suka sangat berenang sampai mama saya cakap saya ni kalau jumpa kolam renang mesti lupa kat dia.” Ariana senyum kecil tapi lama kelamaan senyumannya pudar.

Rafiq mendengar penuh minat.

“Tapi lepas pada peristiwa tu, saya tak boleh langsung dekat dengan air. Saya jadi fobia.”

“Peristiwa apa?” soal Rafiq ingin tahu.

Ariana senyap. Soalan Rafiq tak dijawab. Dan dia hanya membiarkan Rafiq pergi bila tiada tanda dia akan bercerita.



********



“Kau tak patut wujud antara aku dan Hilman, Ari.” Tiada mesra dalam nada Erin. Dia memeluk tubuh. Berdiri disebelah Ariana yang sedikit tersentak dengan kehadirannya.

Ariana kerut dahi. Dia tak faham dengan apa yang cuba disampaikan Erin.

“Kenapa kau datang dalam hidup Hilman lagi Ari? Kau tahu aku suka Hilman dan sekarang Hilman dah mula menjauh dari aku sebab kau.”

“Erin…”

“Kami dah cukup bahagia sebelum kau muncul. Hilman banyak habiskan masa dengan aku. Tapi sekarang, kau tengoklah… pandangan dia langsung tak nak lepas dari kau.”

 “Aku tak ada apa-apa hubungan dengan Hilman. Dan dia pun dah tak anggap aku kawan dia.”Ariana menggeleng kepala. Erin dah salah faham. Mana mungkin Hilman dan dia mempunyai hubungan. Bahkan Hilman membencinya setelah apa yang berlaku.

“Really Ari? Are you sure?” Erin senyum sinis.

Erin mendekati Ariana yang semakin tak faham dengan tingkah Erin. Erin bagaikan orang lain. Dan Ari tergamam bila Erin menolak tubuhnya dengan sengaja dan dalam sekelip mata tubuhnya jatuh ke 
dalam kolam renang.

Ops… sorry Ari. Aku sengaja.” Erin gelak sinis. Hatinya buta saat ini. Langsung tiada niat untuk menolong Ariana yang semakin tenggelam timbul di depannya.

Ariana cemas. Mulut dan hidungnya mula dimasuki air. Pandangannya mula berbalam. Wajah Erin yang berdiri di tepi kolam semakin kabur.

“Kau patut mati Ari. Kau tak patut wujud di antara aku dan Hilman. Aku cintakan Hilman. Hilman milik aku!” keras dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya setelah sekian lama. Ariana patut mati! Barulah Hilman akan lupakan Ariana dan nampak dia. Erin mula menjauh, cepat-cepat dia melarikan diri sebelum orang lain nampak apa yang sudah dia lakukan.

Ariana semakin tenggelam.  ‘Kak Ari…tolong Haris…tolong.’ Suara itu memanggil-manggil namanya. ‘ Kak Ari datang Haris. Maafkan Kak Ari. Haris tunggu. Kak Ari akan jumpa Haris di sana.’ Pandangan Ariana gelap.



********



Hilman terkejut bila dia nampak tubuh Ariana terkapai-kapai  di kolam renang. Tanpa membuang masa, Hilman terjun menyelamatkan Ariana. Dengan payah, dia capai pinggang Ariana dan membawa tubuh ramping itu ke atas. Nafasnya cungap.

Perlahan-lahan Hilman meletakkan Ariana di tepi kolam. Mata Ariana terpejam rapat.

“Ari!” Hilman resah bila Ariana kaku.

“Kau tak boleh mati Ari. Jangan mati depan aku.” Hilman melakukan CPR beberapa kali. Muka Ariana pucat tak berdarah.  

Situasi ini sama seperti sepuluh tahun lepas. Tubuh kaku Haris di dalam dakapannya. Puas dia menjerit, menangis, merayu supaya Haris bangun namun Haris tetap senyap. Tak bernafas.
Jangan biarkan dia laluinya sekali lagi. Dia tak cukup kuat. Dia tak mampu merasai kehilangan lagi. 

Cukuplah derita yang ditanggungnya. Dia tak mahu kehilangan Ariana pula. Dia tahu dia bersikap kejam pada Ariana namun jauh di sudut hati, dia masih sayangkan Ariana. Dia cuba untuk benci Ariana tapi dia tak mampu.

 “Ari bangun! Kau tak boleh tinggalkan aku. Aku tak izinkan!” mata Hilman bergenang. Dadanya mahu meletup bila Ariana masih lagi kaku. Sekali lagi dia melakukan CPR. Menyalurkan udara dengan harapan mata Ariana akan terbuka tapi dia hampa bila Ariana masih diam tak berkutik.

Wake up Ari! Open your eyes. Aku sanggup maafkan kau. Jangan tinggalkan aku Ari. Please!” suara Hilman terdesak. Badan Ariana digoncang kuat. Kepalanya mahu pecah bila tiada tanda Ariana akan bangun.

“Ya Allah, Hilman. What happen?”  

“Rafiq, do something. She is dying!” jerit Hilman pada Rafiq yang baru muncul.

Tiba-tiba Ariana terbatuk. Air keluar dari mulut dan hidungnya.

“Ari?”

“Aku belum mati lagi Hilman.” Suara Ariana lemah.

Hilman tarik Ariana ke dalam pelukannya. Air mata lelakinya jatuh.  Dia mengucap syukur dalam hati. ‘Terima kasih Ya Allah kerana tak mengambil dia dari aku.’

“Jangan tinggalkan aku, Ari. Aku tak boleh bila kau…” Hilman menahan nafas. Tangannya menggigil. Dia tak dapat bayangkan sekiranya Ariana benar-benar pergi dan tak kembali. Dia tak rasa dia akan mampu hidup. Dia hanya ada Ariana.

“Aku rasa nak mati bila kau… bila kau tak bernafas tadi. Jangan tinggalkan aku Ari. Aku rayu…” suara Hilman sebak. Dadanya sarat dengan perasaan yang tak dapat ditafsirkan.

“Aku tak pernah tinggalkan kau.” Perlahan Ariana balas dengan mata yang tertutup rapat. Nafasnya lemah.

“Kita kena bawa Ari pergi hospital.” Tegur Rafiq risau dengan keadaan lemah Ariana.

Hilman angguk dan melepaskan pelukannya. Dengan berhati-hati dia mencempung Ariana yang masih lemah.

“Aku sayang kau Ari.” Perlahan suara Hilman berbisik di tepi telinga Ariana. Dan dada Hilman lapang setelah menuturkan ayat itu. Ya… dia sayang Ari.



********



Arina membuka mata perlahan-lahan. Dia bukan berada di biliknya tapi di hospital. Bila dia menoleh,hatinya tersentuh bila Hilman turut ada di situ. Menjaganya sehingga tertidur.  Ariana cuba untuk duduk dan gerakannya menyebabkan Hilman terjaga.

“Ari? Kau okay?”  soal Hilman bimbang.

Ariana mengangguk. Hilman melaraskan katil dan menolongnya duduk. Lama pandangan Hilman jatuh pada wajah Ariana sehingga merah pipi Ariana kerana malu.

“Jangan pandang aku macam tu.” ujar Ariana tak selesa. Mukanya tunduk pandang tangan sendiri.

“Sorry.” Hilman senyum. Tak sangka pandangannya buat Ariana tak selesa.‘Kenapa comel sangat ni Ari? Kau buat aku jatuh sayang dengan kau.’ Bisik hati kecil Hilman. Pertama kali Ariana segan dengannya.

Ariana berdehem perlahan sebelum berbicara. “Terima kasih selamatkan aku. Kalau kau tak ada mesti aku…”

“Macam mana boleh jatuh? Ada orang tolak?”soal Hilman laju. Dia tak rasa Ariana terjatuh sendiri. Ariana tak mungkin secuai itu.

Ariana diam. Perlukah dia berterus terang?

“Siapa tolak kau Ari?” sekali lagi Hilman menyoal. Dia nampak Ariana teragak-agak untuk memberitahunya. Ada sesuatu yang cuba Ariana sembunyikan?

“Aku terjatuh. Masa tu aku…”

“Jangan bohong aku Ari. Siapa yang tolak kau? Cakap.” Keras Hilman menyoal. Sedikit bengang bila Ariana masih mahu menutup cerita sebenar.

“Aku tak ingat.”

Hilman mengeluh. Ariana masih lagi berdegil.

“Its okay. Kat area kolam renang tu ada CCTV. Rafiq dah pergi hotel untuk dapatkan rakaman CTCV tu. Once kita dah tahu siapa yang buat kau macam ni, aku akan sumbat dia masuk dalam penjara!”

“No, kau tak boleh buat macam tu.” halang Ariana cemas dan mata Hilman tajam memandang Ariana.

“Sekali lagi aku tanya dan aku nak kau terus terang. Kalau kau tak nak aku buat ‘orang tu’ masuk penjara tak keluar-keluar, lebih baik kau cakap. Aku serius Ari.” Tegas Hilman. Dia tak bergurau dengan kata-katanya. Orang yang buat Ariana terlantar di hospital harus bertanggungjawab!

“Erin.” Perlahan nama itu meluncur keluar dari bibir Ariana.

“Apa?” Hilman terkejut.




********



Ariana terjaga dari tidur bila ada seseorang menekup mukanya dengan bantal. Sekuat tenaga dia cuba menolak bantal itu dari mukanya namun dia gagal. Nafasnya semakin semput. Dia tercungap-cungap mencari nafas.

“Mati! Kau patut mati Ari!” ujar Erin penuh benci. Dia ketawa bila Ariana semakin lemah. Semakin kuat dia menekup bantal ke muka Ariana. Dia akan bunuh Ariana! Lepas ni dah tak ada siapa yang akan halang dia dan Hilman. Hilman akan sepenuhnya jadi milik dia.

“Erin!” Hilman muncul dan menolak tubuh Erin. Erin jatuh terduduk.

Ariana bangun dari baring. Dia turun dari katil dengan bantuan Hilman. Dia terbatuk mencari nafas. Hilman mengusap belakangnya. Hilman bersyukur kerana tak terlambat. Patutlah dia tak sedap hati. Pada mulanya dia ingin pulang saja tapi gerak hatinya kuat untuk jenguk Ariana sekali lagi.

“Kenapa kau selamatkan dia Hilman? Dia patut mati. Dia jadi penghalang untuk kita bersama!” jerkah Erin dengan mata yang merah. Dia dah berdiri tegak di tengah bilik. Lagaknya seperti mahu menerkam mangsa.

“Erin! Kenapa dengan kau? Kau sedar tak apa yang kau cakap ni?”

Erin ketawa kuat. Dia mengusap rambut panjangnya. Suara Hilman yang memarahinya kedengaran merdu di telinganya.

Ariana gugup. Erin di depannya saat ini sangat berbeza dengan Erin yang dikenalinya.

“Dulu Hilman buat apa pun dengan aku. Semua cerita dia kongsi dengan aku tapi sejak kau pindah di kawasan perumahan tu, Hilman dah tak pedulikan aku. Sikit-sikit Ari. Kau tahu tak apa perasaan aku masa tu? Aku benci sangat dengan kau!” Luah Erin sedih. Dia mula menangis teresak-esak.

Ariana sebak. Sungguh, dia tak tahu Erin sudah menyimpan perasaan pada Hilman sejak zaman sekolah dulu. Dia tak tahu!

“Kau rampas Hilman dari aku. Padahal aku yang dulu muncul dalam hidup Hilman tapi kenapa Hilman sayang kau lebih. Aku tahu dia suka kau.” Erin tekup kepala. Dia benci dengan kenyataan bahawa Hilman sukakan Ariana. Dia benci sehingga dia mahu merobek muka Ariana dengan pisau tajam tanpa belas.

“Aku tak rampas dia Erin. “

Erin ketawa pula. Air matanya dikesat. Habis comot mekapnya tapi sikit pun dia tak hairan.

“Kau cintakan aku tak Hilman?” Erin mendekati Hilman. Hilman tak berganjak.

“Kau kawan aku Erin. Kenapa sampai jadi macam ni? Mana Erin yang aku kenal. Erin yang baik, yang suka mendengar, yang suka buat orang ketawa.” Luah Hilman kesal. Dia kenal rapat dengan Erin dari kecil sampai sekarang namun dia tak sangka Erin boleh berubah sehingga begini teruk.

Erin tahu Hilman tak cintakannya. Dia mendengus kasar.

 “Kau nak tahu satu rahsia tak, Hilman? Rahsia yang aku simpan dari kau selama sepuluh tahun.”Erin dah tersenyum-senyum. Wajahnya gembira.

Ariana gusar.

“Rahsia apa?”  Hilman kerut dahi. Rahsia apa yang Erin maksudkan? Adakah ianya berkaitan dengan peristiwa hitam itu?



Imbas kembali…

“Kau tolong tengokkan adik aku. Aku nak balik rumah kejap ambil sos. Jangan bagi dia main dekat dengan air seorang diri.” Arah Hilman pada Ariana dan Erin yang sedang bakar ayam. Mereka buat barbeque di sungai dekat dengan rumah Erin.

“Okay bos. Boleh balik sekarang tak? Aku dah lapar ni.” jawab Ariana. Memang dia lapar sangat sekarang ni sebab dari pagi dia belum menjamah apa-apa makanan lagi. Lepas tu boleh pula Hilman tertinggal sos padahal dia sudah ingatkan Hilman berkali-kali. Tak sedaplah nak makan kalau tak ada benda alah tu.

“Cepat sikit tau Hilman. Dalam masa lima minit kau kena datang semula.” Erin mengusik. Sesekali dia membetulkan rambutnya yang ditiup angin. Boleh tahan kuat angin petang ni.

“Kau ingat aku superman boleh terbang?” Hilman mencebik. Dia mendekati Haris yang tengah makan sosej.

“Kau kan superHilman yang macho.” Balas Erin gelak-gelak.

“Haris… abang balik kejap. Haris duduk dengan akak dua orang yang bajet cantik ni kejap ye. Kalau diorang buli Haris, cepat-cepat Haris report kat abang tau.” Hilman mengusap kepala adiknya yang berumur sepuluh tahun. Betapa sayangnya dia terhadap satu-satunya adik yang dia ada.

Haris diam. Tiba-tiba dia peluk Hilman. Erat bagai tidak mahu lepas gayanya.

“ Abang balik sekejap je. Jangan nakal-nakal tau Haris.” Hilman senyum panjang. Dia turut membalas pelukan Haris. Gaya Haris peluk dia macamlah dia nak tinggalkan Haris lama.

Haris angguk kepala.

Ariana hanya memerhati. Dia suka tengok kasih sayang antara Hilman dan Haris. Hilman begitu sayangkan Haris.  Buat apa pun mesti fikir tentang adik kesayangannya dan dia suka Hilman yang begitu. Dia tak punya adik kerana dia anak tunggal. Oleh kerana itu, dia menganggap Haris seperti adiknya.

Haris hanya memerhati belakang tubuh abangnya yang semakin menjauh. Erin yang melihat rasa sedih. Dia rasa dia perlu buat sesuatu untuk gembirakan Haris.

“Jom ikut Kak Erin main air.” Erin mengibas seluarnya yang sedikit kotor. Dia bangun dan ingin membawa Haris pergi bermain air.

“Kau jangan buat pasal. Hilman dah bagi amaran tadi jangan bagi dia main air.” Halang Ariana. Erin tak dengar ke tadi Hilman cakap apa? Lagi nak dibangkang. Marah Hilman nanti kalau dapat tahu.

“Bukan tak bagi main air tapi dia tak bagi Haris main seorang. Aku kan ada. Kau jangan risaulah.”

“Tak payahlah. Aku rasa tak sedap hati.” Ariana berkeras.

“Relaxlah. Banyak sangat fikirlah kau ni. Tu mainan perasaan je. Haris nak main air tak?” Erin tak ambil pusing kerisauan Ariana. Dia menghulurkan tangan pada Haris dan sekejap saja tangan kecil itu sudah berada di genggamannya.

 “Nak!” laju Haris angguk kepala. Matanya bersinar ceria. Laju dia mengikut Erin menuju ke tepi sungai.

Ariana mengeluh. Entah kenapa hati dia tak tenang petang ni. Dalam tangannya lincah memanggang ayam, matanya sesekali memerhati Haris dan Erin yang bermain air. Gelak tawa Haris memenuhi suasana dan tiba-tiba dia dengar bunyi jatuh. Laju kepala dia mencari kelibat Haris. Ya Allah, Haris jatuh dalam sungai! Erin kaku. Tergamam dengan kejadian yang terjadi di depan mata.

Tanpa berfikir panjang, Ariana terjun dan cuba menyelamatkan Haris. Sikit lagi dia dapat capai tubuh Haris sebelum kakinya mula kejang. ‘Allah, jangan kau duga aku begini. Aku harus selamatkan Haris.’ Hati Ariana berdoa. Malangnya kakinya semakin sakit dan dia turut lemas. Air masuk menerusi mulut dan hidungnya. Dia cuba berenang ke dasar tapi dia tak mampu.

’Kak Ari…tolong Haris.. tolong…’ sayup-sayup dia dengar suara Haris meminta pertolongan sebelum semuanya menjadi kelam.


Kini…

“Aku fitnah Ari. Aku buat cerita. Aku sebarkan cerita palsu pada Hilman. Aku cerita pada Hilman yang aku dah balik rumah masa kejadian tu berlaku sedangkan aku ada dekat situ. Aku yang ajak Haris main air dan aku yang biarkan Haris jatuh. Ari cuba selamatkan Haris tapi Ari pun tenggelam sama. Depan mata aku, Haris dan Ari lemas. Maafkan aku Ari.” Erin menangis. Dia peluk tubuh. Peristiwa sepuluh tahun kembali terlayar di kotak ingatan.

Hilman tergamam. Dia terduduk di birai katil. Dia terkejut bukan kepalang dengan apa yang  baru diluahkan Erin.

 “Kenapa kau sanggup buat aku macam ni? Aku kawan kau Erin.” Tutur Ariana lemah. Air mata mengalir dari birai mata. Dia tak sangka kawannya sendiri sanggup tikam dia dari belakang. Kerana Erin, Hilman membencinya. Kerana Erin, dia hilang kawan baik. Kerana Erin, hidupnya berendam dengan air mata…

“Aku seronok bila Hilman dah tak percayakan kau, Ari. Dia tuduh kau menjadi punca Haris meninggal. Bila kau pindah, aku rasa bahagia sangat. Kau dan Hilman makin jauh. Aku gembira bila kau orang dah tak rapat. Aku ambil peluang untuk rapat dengan Hilman tapi kenapa… kenapa

Hilman langsung tak nampak aku? Apa kurangnya aku. Cuba kau cakap?” laju Erin meluru ke arah Ariana dan pegang bahu Ariana kuat. Dia pegang sekuat hati sehingga Ariana mengaduh kesakitan.

Hilman menepis tangan Erin dan membawa tubuh Ariana ke belakang tubuhnya. Melindungi Ariana dari terus dicederakan Erin.

 “Kau patut mati Ari! Bila kau mati barulah Hilman akan pandang aku. Kau patut mati!” Erin mengeluarkan pisau dan meluru ke arah Ariana. Dia mahu habiskan riwayat Ariana malam ini juga!
Hilman sempat menolak Ariana ke tepi sebelum tikaman Erin tembus ke perutnya. Erin terpaku.

“Aku tak salah. Aku tak ada niat nak bunuh Hilman. Dia yang halang aku. Aku tak salah.” Erin menggumam sendiri. Dia hanya kaku bila Hilman terdampar, dengan darah yang memenuhi lantai hospital.

“Hilman!” Ariana tergamam bila Hilman rebah. Pisau terpacak di perut Hilman. Darah bersembur keluar.

“Ari…” Hilman kerut dahi. Nafasnya sesak. Bisa terasa mencucuk-cucuk di seluruh badan.

Mata Ariana kabur dengan air mata. Air matanya jatuh ke muka Hilman.Tangannya gigil. Hilman berada di ribanya, semakin lemah.

“Jangan menangis Ari. Aku tak apa-apa.” Hilman tersenyum perit. Matanya terpejam sesaat bila sakit mula menular ke segenap tubuhnya.

“Kau akan selamat Hilman. Kau kena bertahan. Kau kena kuat. Aku tak akan biarkan kau mati.” Suara Ariana bergetar. Dia meletakkan Hilman perlahan dan berlari keluar meminta pertolongan. Bila dia kembali semula bersama dengan seorang doktor dan dua orang jururawat, kakinya longlai. Hilman sudah kaku. Pandangan Ariana gelap sebelum tubuhnya turut rebah di sebelah tubuh Hilman yang tak bernafas.



********



Ariana menyiram air mawar di pusara orang yang pernah memberi erti dalam hidupnya. Air mata yang mengalir dikesat perlahan. Dengan hati yang sayu, Ariana beredar dari tanah perkuburan itu. In Syaa Allah, dia akan datang lagi selagi umurnya masih panjang.

“Baru balik Ari?” Puan Juliana menyoal.

“Tadi pergi kubur arwah.” Ariana letak kunci kereta di atas meja.

Puan Juliana senyum. Dia tahu kubur siapa yang dimaksudkan Ariana. Hampir dua tahun Ariana menziarahi tanah perkuburan tersebut.

“Ari naik bilik dululah ma, nak mandi. Rasa melekit.” Ariana panjat tangga ke tingkat atas. Baru saja tubuhnya masuk ke bilik itu, tiba-tiba ada tangan merangkulnya erat dari belakang seolah tak mahu dilepaskan. Ariana senyum. Dia dapat agak siapa yang memeluknya mesra.

“Ari pergi mana? Abang balik kerja Ari tak ada. Risau abang.” Hilman mengeratkan pelukannya. Dagunyanya diletakkan di bahu Ariana.

“Ari pergi kubur.”

Hilman senyap. Pasti kubur emaknya dan Haris.

Hilman balikkan tubuh Ariana. Tangannya kirinya dilingkarkan di pinggang Ariana manakala tangan kanannya mengusap lembut pipi isteri tercintanya sebelum ciuman di labuhkan di situ.

“Abang!”mata Ariana bulat.

“Apa? Cium isteri sendiri pun salah ke?” Hilman ketawa lepas. Rambut ikal Ariana di usap mesra. Ciumannya dilabuhkan pula di kening Ariana.

“Abang jangan buat benda pelik. Dah petang ni.” Ariana beri amaran. Hilman bukan kira. Kalau dah datang mood romantiknya, jangan haraplah dia dapat lepaskan diri.

Hilman senyum mesra. Siapa sangka kawan baiknya sendiri menjadi isteri. Kawan yang dia paling sayang kini menjadi cinta hatinya. Hatinya yang dulu beku, kini harum dengan cinta Ariana. Hanya Ariana yang mampu buat dia jatuh cinta. Hanya Ariana yang mampu buatnya tersenyum. Hanya Ariana yang mampu memberinya bahagia.

“Abang jangan senyum macam tu. Takut Ari.” Ariana menolak dada Hilman perlahan tapi Hilman langsung tak berganjak.

Sekali lagi ketawa Hilman bergema. Dia cubit pipi Ariana manja. Isterinya ni lah… suka fikir bukan-bukan.

Hilman tarik tangan Ariana. Duduk di birai katil. Dia tarik Ariana ke dalam dada. Sayangnya dia pada Ariana hanya Allah saja yang tahu.

“Abang minta maaf.”

Kening Ariana terangkat. Dia tak faham untuk apa Hilman minta maaf.

“Abang  tuduh Ari…”

“Abang dah minta maaf banyak kali pada Ari dan Ari dah maafkan abang. Jangan ungkit lagi. Kita kena lupakan hari semalam yang melukakan untuk menghadapi hari esok yang mungkin membahagiakan.”

“Abang tahu tapi abang tetap nak minta maaf.” Pelukan dieeratkan. Dia cium kepala Ariana penuh kasih.

“Abang hanyut dengan dendam. Sebab abang ingat Ari yang salah. Bila Ari muncul balik dalam hidup abang, abang sakitkan hati Ari. Abang langsung tak bagi Ari peluang untuk bela diri. Abang terlalu percayakan apa yang Erin cerita abang padahal Ari kawan baik abang. Abang langsung tak percaya Ari.” Luah Hilman kesal.  Sungguh,sesalnya bukan sedikit. Dan yang menjadi mangsa adalah Ariana. Ada saja peluang dia akan sakitkan hati Ariana. Baginya Ariana itu pesalah yang tak layak mendapat pengampunan.

“Bukan salah abang sepenuhnya. Ari pun bersalah juga dalam hal ni. Kalaulah Ari tak berkeras dengan Erin dulu, mesti Haris masih hidup sampai ke hari ini. Dan mak abang pun mesti tak akan terasa dengan kehilangan Haris.” Kalaulah dia berkeras tak izinkan Erin bawa Haris, pasti segalanya berubah. Tapi bila difikirkan balik, siapalah dia untuk menolak takdir. Kuasa Allah lebih besar. Dia perlu redha dengan ketentuan yang Allah telah tetapkan untuknya.

"Abang redha dengan kehilangan Haris dan mak… kita tak boleh nak putar balik waktu. Jadi, kita titipkan doa untuk mereka ye sayang. Semoga Haris dan mak ditempatkan di kalangan orang yang beriman.”

Ariana angguk. Semoga mak dan Haris bahagia di sana. Amin.



********



“Selamat pengantin baru Arman.”  Ariana senyum.

Setelah apa yang Arman lakukan padanya dulu, dia tak pernah terfikir akan berbaik semula dengan Arman. Tapi bak kata Hilman, setiap orang melakukan salah. Dan setiap orang boleh berubah, mengaku kesilapan diri. Jadi, Arman layak diberi peluang kedua. Lagipun, siapalah dirinya sehinggakan salah yang bertahun pun masih berdendam sedangkan Arman sudah berubah. Ke arah kebaikan yang pastinya.

"Terima kasih Ari. Kau doakanlah supaya isteri aku pun cepat mengandung macam kau.” usik Arman. Isterinya Fasiha tersenyum malu. Dia cubit pinggang Arman. Suaminya ni pun,segan dia pada Ariana dan Hilman yang dah ketawa.



********



Ariana keluarkan kotak besar yang berada di bawah katil. Dia sudah lama perasan akan kotak itu tapi dia baru kini dia ada kesempatan untuk mengetahui rahsia di dalam kotak itu. Dengan berhati-hati Ariana membuka kotak itu dan matanya terpaku seketika dengan apa yang terpampang di matanya.

“Ari?”

Ariana angkat muka. Hilman sudah duduk di sisinya. Mengeluarkan isi dari kotak itu satu persatu. Ada sepuluh kesemuanya. Keadaan hadiah-hadiah yang disimpannya masih elok. Seperti saat dia baru beli dulu.

“Abang, apa ni?” Ariana berdebar. Dia seperti dapat menjangka akan apa yang Hilman akan bicarakan tapi dia mahu dengar dari mulut Hilman sendiri.

“Ini semua hadiah hari jadi Ari.” Hilman senyum. Dia genggam erat tangan Ariana dan mencium tangan isteri kesayangannya itu.

“Hadiah Ari?” Ariana tersentuh. Hilman tak pernah lupa dia.

“ Setiap kali hari jadi Ari muncul, abang akan belikan Ari hadiah.Tak pernah sekali pun abang lupa tapi abang tak pernah bagi pada Ari. Dalam masa sepuluh tahun kita terpisah, abang sentiasa ingat Ari. Masa tu abang benci Ari, abang berdendam dengan Ari tapi hati abang tetap berdegil nak beli something untuk Ari.” Hilman senyum lagi. Betapa anehnya perasaan, dalam dendam masih ada cinta dan sayang untuk Ariana. Hanya dia yang lambat sedar.

Air mata Ariana jatuh dan pantas dikesat oleh Hilman. Ariana sebak. Pengakuan Hilman menyentuh hatinya.

"Jangan menangis Ari. Ari dah terlalu banyak menangis sebab abang.” Hilman cium mata Ariana. Sudah terlalu banyak air mata Ariana tumpah kerananya. Betapa kejamnya dia dulu kerana tegar menyakiti Ariana kerana dendam yang tak berpenghujung.

Ariana sembamkan muka di dada Hilman dan dia dapat rasa Hilman merangkulnya erat. 

“Abang, terima kasih selamatkan Ari.” Ariana usap perut Hilman yang beralas t-shirt. Di perut Hilman, ada parut. Kesan tikaman Erin. Erin kini berada di hospital sakit jiwa. Dia kasihan pada Erin. Erin itu kawannya. Siapa sangka, Erin sudah lama menyimpan perasaan pada Hilman dan cinta itu telah membutakan mata Erin. Merosakkan hidup Erin dengan cinta obsesinya terhadap Hilman.

“Demi Ari, abang sanggup lakukan apa saja walau nyawa abang yang jadi taruhan.”

Ariana senyap. Dua kali Hilman selamatkannya. Dia hampir mati namun umurnya masih panjang. Dia bersyukur, masih diberi peluang untuk hidup bersama Hilman.

“Nak tahu bila masa abang jatuh cinta dengan Ari?” soal Hilman lembut.

Ariana angguk.

“Masa Ari lemas kat kolam renang dulu. Abang takut sangat kalau abang hilang Ari hari tu. Masa tu baru abang sedar yang abang dah jatuh hati pada Ari.” Cerita Hilman tenang. Tak dapat dibayangkan apa yang akan terjadi dalam hidupnya sekiranya Ariana benar-benar pergi hari itu. Dia masih ingat perasaannya masa itu. Takut yang dia tak pernah rasa sepanjang dia hidup.

“Abang nak tahu bila Ari mula jatuh cinta pada abang?” soal Ariana pula. Dia tolak dada Hilman perlahan dan merenung mata Hilman lembut. Jantungnya berdegup laju. Sememangnya jantungnya tak pernah duduk diam bila dekat dengan Hilman. Sentiasa menyanyikan irama indah.

Hilman jungkit kening menyoal.

“Masa abang cakap abang cintakan Erin. Ingat tak yang Ari menangis sungguh-sungguh masa tu? Tu sebab Ari kecewa sangat. Hati Ari sakit tapi Ari baru sedar yang Ari dah mula jatuh cinta pada abang.” Luah Ariana bersama dengan senyuman manis di bibirnya.

Hilman senyum. Mereka menyimpan rasa yang sama.

“Ariana Erdina, awak ditahan kerana mencuri hati Hilman Nadzim. Awak akan terus terpenjara di dalam sangkar cinta Hilman Nadzim tanpa dapat sebarang jaminan untuk keluar.” Hilman usap pipi Ariana lembut. Semoga perkahwinannya dan Ariana akan berkekalan hingga ke akhirnya.

 “Saya Ariana Erdina mengaku bersalah kerana mencuri hati Hilman Nadzim dan tidak memulangkannya sehingga sekarang. “ Ariana tergelak kecil. Kini dia menjadi pesalah kerana mencuri hati Hilman.

“Apa kata-kata terakhir awak sebelum ditahan?” Hilman senyum penuh makna. Dia mula merapatkan wajah.

“I love you.” Ariana hanya membiarkan bila nafas Hilman menampar mukanya.

“I love you too Ari.” Luah Hilman. Dan malam terus merangkak pergi membawa seribu satu makna buat Hilman dan Ariana. Semoga hari yang mendatang akan bawa sinar bahagia untuk mereka berdua. In Syaa Allah…




P/S:   Another cliche story written by me. Diolah mengikut rasa dan mood saya. Saya tulis cerpen ni penuh emosi tau. So, awak-awak tak boleh tak suka cerpen ni tau. Kena suka juga. Saya tak kira! Hahaha.. dramaaa sangat kannn… 


Terima kasih sudi baca. I love you guys! Mmuuaahhhxx!    (^_<)

10 comments:

  1. Waaaaaa. Saya suka smua cerpen akak. And smua citer dlm blog nih mmg win lah. Penuh dgn emosi.hehehe 😁😂

    ReplyDelete
  2. saya suka cerpen dalam blog ini nak yang baru pls!!!

    ReplyDelete
  3. The best story I ever met. It's very nice, keep it up sis.

    ReplyDelete
  4. Hebat kak!!!,jlan crita yg sy bca dlm blog akak stkt ni semua lain2

    ReplyDelete
  5. Best...jalan cerita menarik and sedih

    ReplyDelete
  6. Kurang seru atuh, seharusnya biar saja hilman yg mati, biar alur ceritanya jadi tragis😁😁😁

    ReplyDelete
  7. Hebattttt sgt citer nii😊😊😊

    ReplyDelete