BAB 4
Muka Firyal sudah merah menahan malu dan marah. Malu bila banyak mata yang memandang dirinya yang sudah basah dengan air fresh orange dan marah bila bajunya dikotorkan.
Gadis di depannya dipandang geram.
“Kau buta ke sampai aku pun kau tak nampak? Mata kau letak kat mana ha? Letak kat lutut?!” lantang Firyal menjerit. Menggelegak darahnya bila gadis itu hanya tertunduk menikus.
“Maaf encik, saya tak sengaja. Maafkan saya encik.” Ayu merayu. Gentar bila wajah dihadapannya begitu marah sekali seperti ingin membahamnya.
“Banyak la kau punya maaf. Ni baju ni, siapa yang nak ganti? Dengan gaya kau macam ni…” Firyal memandang gadis itu dari atas ke bawah. Kemudian dia tersenyum mengejek.
“…Kau mampu ke nak ganti baju aku.?” Firyal menyambung kata.
Hampir menitik air mata Ayu bila dirasakan lelaki itu bagaikan menghina dirinya. Malunya tebal berinci-inci. Bisikan orang disekelilingnya menambahkan rasa malu itu. Lihat pada jenama baju yang dipakai oleh lelaki itu pun dia tahu yang dia tak mampu untuk ganti yang baru.
Syamil hanya menggeleng. Kasihan bila wajah gadis itu sudah bertukar mendung. Adakalanya Firyal memang agak melampau bila lelaki itu diterjah perasaan marah. Lantas Syamil bangun dari duduknya dan menepuk perlahan bahu Firyal. Cuba menenangkan hati teman baiknya yang diamuk marah.
“Dah la tu Fir, budak ni tak sengaja. Lagipun dia dah minta maaf kan…” Syamil cuba memujuk. Hati Firyal yang panas perlu disejukkan.
“Masalahnya lepas ni kita ada meeting dengan wakil dari Jepun. Sekarang ni dah pukul berapa, mana sempat nak cari baju. Aku tak bawa baju spare, kau pun tak bawa jugak kan. Semuanya salah perempuan ni!” Firyal tak makan dipujuk. Panas hati bila bajunya sudah lencun dengan air fresh orange. Hatinya bertambah kusut bila teringatkan meetingnya dengan syarikat dari Jepun.
“Sssa..ssaya…mintak maaf.” Hanya itu yang mampu diluahkan. Ayu sedar memang itu kesalahannya. Tapi hari ini dia benar-benar tidak sihat. Demamnya masih belum kebah. Semasa dia sedang menatang air untuk dihantar ke meja belakang lelaki itu tiba-tiba sahaja pandangannya berpusing dan langkahnya pincang menyebabkan air itu tertumpah ke badan Firyal.
“Maaf kau tak laku sekarang ni!” kasar Firyal membalas. Tangannya sibuk mengesat baju yang lencun menggunakan sapu tangan.
“Dah la tu Fir, malu orang ramai tengok macam ni. Pasal baju kau yang basah ni, nanti kita fikir la macam mana. Kita kena balik ofis sekarang ni. Takut tak sempat pula nak pergi meeting tu.”
Mustakim yang kebetulan baru sahaja menghantar order datang menghampiri. Dia seperti dapat mengagak apa yang terjadi.
“Maafkan dia encik. Janganlah hal macam ni diperbesarkan.” Mustakim cuba membela Ayu. Kasihan bila muka gadis yang muda 3 tahun darinya sudah mendung.
Firyal mendengus. “Aku nak jumpa owner kedai ni sekarang .” Tidak mengendahkan kata-kata itu.
“Tapi encik…”
“Aku kata aku nak jumpa dia. Kau nak aku guna bahasa apa baru kau nak faham?” Firyal mencerunkan matanya.
Mustakim mengeluh. Lelaki kaya memang macam ni ke? Berlagak!
“Awak pergi belakang dulu Ayu. Biar abang Mus yang bawa encik ni jumpa Cik Nadira.” Mustakim berkata kepada Ayu. Ayu hanya mengangguk. Dia mencapai dulang yang terjatuh ke lantai lalu membawa diri ke belakang kedai makan.
Mustakim memandang dua orang lelaki di hadapannya. Wajah seorang lagi lelaki masih tenang manakala lelaki lagi satu ni sudah cemberut! Masam mengalahkan asam jawa lagaknya.
“Mari ikut saya encik, kita jumpa Cik Nadira di biliknya.”
*******************************
“ Macam mana...macam mana kau...” Firyal tergagap. Tergamam bila matanya dihadapkan dengan figura perempuan itu.
“ Kau kenal ke dia ni Fir?” Syamil pelik bila Firyal tergagap. Muka lelaki itu seolah-olah terkejut bila berjumpa dengan pemilik kedai makan ini. Firyal bagaikan mengenali wanita itu.
“ Err...tak. Cuma muka dia macam bekas orang gaji aku.” Firyal menelan liur. Tidak sangka akan bertemu wanita ini lagi. Sangkanya mereka tidak akan berjumpa lagi setelah peristiwa di rumahnya dulu.
“ Ingatkan kau kenal sampai tergagap macam tu.” ujar Syamil.
Alma mengetap giginya. Boleh pula lelaki itu mengatakan yang rupanya seperti bekas orang gaji di rumahnya. Melampau! Lelaki ini tak sudah-sudah mahu menghinanya. Alma menahan rasa marah yang mahu meletup. Terkejut dan marah bila lelaki itu muncul. Peristiwa yang terjadi dulu bagaikan diulang tayang kembali. Lukanya kembali berdarah.
Alma tersenyum sinis. Cuba disabarkan hatinya. Mungkin kawan lelaki itu masih lagi tidak tahu mengenai peristiwa yang telah terjadi. Jadi dia tidak akan membuka pekung di dada dengan mendedahkan perkara itu. Kalau lelaki jahanam itu boleh berpura-pura tidak mengenalinya, dia juga akan melakukan perkara yang sama.
“ So, kau owner kedai makan ni?” Firyal bertanya. Matanya liar memerhati sekitar bilik itu. Tak ada la luas mana pun. Dia duduk di kerusi tanpa disuruh.
“ Ya...saya dapat tahu yang encik...” Alma menjungkitkan keningnya. Berharap agar lelaki itu memberitahu namanya. Mukanya rasa pijar bila tiada tanda yang lelaki itu akan membuka mulut. Sibuk perhatikan biliknya yang sempit itu. Alma mengetap bibir.
“ Syamil. Saya Syamil dan ini Firyal.” Syamil menjawab bila Firyal hanya senyap. Dia menghulurkan tangan tapi Alma tidak menyambut, hanya menganggukkan kepalanya sedikit. Syamil gigit bibir, rasa malu. Firyal pula senyum sinis.
“ Saya Alma Nadira. Pemilik kedai makan ni. Saya dapat tahu yang pekerja saya tertumpahkan air pada baju encik Firyal. Jadi, pihak saya akan bayar ganti rugi.” Tenang Alma berkata. Riak mukanya dikawal sehabis mungkin. Dia mengarahkan Syamil duduk sebelum dia juga turut melabuhkan punggung ke kerusi. Dia memandang dua jejaka di depannya. Mereka terpisah dengan meja yang berada di tengah-tengah. Tangannya diletakkan di atas meja.
“ Aku tak nak ganti rugi tapi aku nak kau pecat perempuan tu.” Selamba Firyal membalas.
“ Mana boleh!” Alma menjerit lantang.
Firyal dan Syamil terkejut mendengar jeritan Alma.
Alma menekup mulut. Entah macam mana jeritan itu boleh terlepas dari mulutnya. Tindakan spontan yang dia sendiri tak jangka. Mungkin akibat dari rasa terkejut dengan apa yang Firyal suarakan. Satu perkara yang Alma perasan mengenai Firyal, jangan ada sesiapa yang berani membangkitkan kemarahan lelaki itu, kalau tidak buruk padahnya. Firyal memang seorang yang tidak begitu mudah memaafkan orang lain.
“ Maksud saya, saya akan ganti rugi. Tak perlu sampai nak pecat Ayu. Lagipun Ayu tak berapa sihat hari ni. Mungkin sebab tu dia tak sengaja nak tumpahkan air tu pada baju encik Firyal.” Alma berkata. Hanya itu yang sempat difikirkan. Entah apa yang berada dalam fikiran mereka apabila mendengar jeritannya tadi. Ah, gasaklah.
“ Owh, dia demam. Patut la saya tengok muka dia pucat je tadi.” Syamil terbayangkan muka Ayu yang agak pucat tadi. Kasihan dia dengan gadis itu. Ditambah pula bila Firyal menengking gadis itu di hadapan orang ramai, pasti gadis itu malu.
“ Kalau dah tahu yang diri tu sakit kenapa tak duduk diam-diam je kat rumah. Kan dah menyusahkan orang lain.” Bengang Firyal membalas. Tak pasal-pasal je dia yang menjadi mangsa di atas kecuaian pekerja itu.
Poket seluarnya terasa bergetar. Handphonenya yang dalam mode silent itu dikeluarkan seraya dilekapkan ke telinga. Firyal hanya mendengar apa yang setiausahanya katakan. Matanya tajam memandang Alma.
Alma menahan perasaan. Tidak suka bila dipandang tajam oleh Firyal. Dia melarikan pandangan. Gambar pemandangan yang tergantung di dinding ditatap.
Firyal tersenyum setelah memutuskan talian.
“ Kau tunggu aku kat kereta. Kejap lagi aku datang. Aku ada hal sikit nak cakap dengan Cik Alma Nadira ni.” Firyal tersenyum sinis bila wajah Alma berubah bila dia berkata begitu.
“ Tapi jangan lama-lama sangat. Ingat yang kita ada meeting kejap lagi.” Syamil mengingatkan Firyal. Dia memberi Firyal ruang untuk berbincang dengan Alma. Dia harap Alma dapat bersabar melayani kerenah Firyal. Bukannya dia tak tahu yang Firyal seorang yang agak cerewet.
Syamil membuka pintu lalu melangkah keluar. Pintu ditutup kembali.
Firyal mengetuk jarinya di permukaan meja. Sengaja dia tidak memberitahu Syamil yang perjumpaan dengan wakil Jepun itu ditangguhkan kepada hari esok. Dia ingin berdua-duan dengan Alma. Masih ada yang belum selesai di antara mereka. Pandai wanita itu berpura-pura tidak mengenali dirinya. Walaupun dia dapat menangkap riak terkejut di wajah itu tadi namun Alma bijak mengawal mukanya kembali.
Firyal melepaskan pandangannya pada Alma. Firyal senyap. Dia perasan yang wanita itu sudah gelisah di tempat duduknya.
Alma gugup. Seram bila Firyal memandangnya tanpa sebarang kata yang keluar dari bibir merah itu.
“ Bila kau nak pulangkan selimut aku?”
Alma tersentak. Dia teringat yang selimut lelaki itu digunakan untuk menutup rambutnya semasa peristiwa di rumah lelaki itu terjadi. Selimut itu ada di dalam almari biliknya. Dia sendiri tak faham kenapa dia masih menyimpan selimut itu. Patutnya dia buang sahaja barang milik lelaki itu.
“ Saya dah bakar selimut awak.” Sengaja disakitkan hati Firyal.
“ Kau bakar selimut aku?” Firyal pura-pura terkejut. Setelah apa yang dilakukannya, dia tak rasa terkejut pun dengan tindakan yang dilakukan oleh Alma. Memang wanita itu berhak untuk rasa marah.
“ Habis tu awak nak saya buat apa dengan selimut awak. Frame lepas tu gantung kat dinding?” Adakah Firyal mahu berbicara mengenai selimut kala ini?
Firyal bangun dari kerusi itu dan mula mendekati Alma.
Alma yang takut peristiwa itu berulang sekali lagi turut bangkit. Meja memisahkan mereka.
“ Kenapa kau lari?” Firyal bertanya bila Alma menjauhkan diri darinya. Bukannya dia nak buat apa-apa pun dia cuma mahu mendekati wanita itu.
“ Kalau niat awak nak buat benda jahat tu lagi saya tak akan benarkan! Kalau awak nak rasa macam mana seronoknya duduk dalam hospital, buatlah. Saya akan patahkan tulang awak kalau awak berani dekat dengan saya lagi.” Alma mengugut. Dia tidak patut takut dengan lelaki itu. Ini kedai makannya. Pasti Firyal tidak akan berani mengapa-apakannya. Lagipun macam mana dia boleh lupa yang dia mempunyai tali pinggang hitam dalam silat. Setakat Firyal ni dia boleh jatuhkan walapun Firyal agak tinggi darinya.
Firyal tergelak. Badan kecil tapi ada hati nak patahkan tulangnya temulangnya. Firyal duduk bersandar sedikit di atas meja Alma.
“ Habis tu kau ingat aku nak biar je ke kalau kau nak patahkan tulang aku? Aku boleh dakwa kau.” Bersahaja Firyal membalas. Sedikit pun dia tidak gentar dengan ugutan Alma. Yakin yang wanita itu tidak mampu tumpaskan dia sementelah dia juga mempunyai tali pinggang hitam dalam seni pertahankan diri. Papanya yang galakkan dia untuk mengikuti kelas tae kwan do semenjak dia berumur 8 tahun lagi. Senang jika ada musuh yang datang menyerang. Ilmu di dada boleh digunakan di saat-saat yang tidak terduga.
Alma berdiri tegak, jauh dari Firyal bila lelaki itu sudah tidak lagi mendekatinya. Dia memeluk tubuh. Kalau diikutkan hatinya sudah lama dia menghamburkan kemarahan yang sudah lama tersimpan di dada. Tapi dia risau jika suaranya boleh didengari oleh pekerja-pekerjanya. Biliknya ini bukannya kedap bunyi.
“ Awak nak apa lagi? Kalau awak tak puas hati dengan apa yang pekerja saya lakukan terhadap awak, saya akan bertanggungjawab.” Alma menahan sabar. Sememangnya bercakap dengan Firyal memerlukan kesabaran yang tinggi. Lebih-lebih lagi perasaan bencinya terhadap lelaki itu masih lagi menggunung.
“ Kalau aku nak bertanggungjawab dengan apa yang aku dah buat kat kau pada malam tu? Kau sanggup terima?” ujar Firyal spontan. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia berkata begitu. Adakah dia rasa bersalah dengan kejadian yang menimpa Alma?
“ Awak nak bertanggungjawab?” Alma tersenyum sinis. Tidak jangka boleh dengar ayat itu dari mulut Firyal.
Firyal menyelukkan kedua tangannya ke dalam poket. Gayanya begitu santai sekali.
“ Ingatkan awak ni jenis orang yang lepas tangan. Tak sangka pula awak sanggup bertanggungjawab dengan apa yang awak lakukan. Tapi awak ingat saya nak percaya ke? Orang macam awak ni bukannya boleh dipercayai.” Alma tak percaya. Boleh dipercayai ke kata-kata Firyal. Dia ragu-ragu.
“ Kau sindir aku?” Firyal rasa terpukul. Alma begitu pandai sekali memancing darahnya naik. Bengang bila dituduh lelaki tidak bertanggungjawab.
“ Saya tak sindir tapi kalau awak rasa diri awak tersindir baguslah.” Lelaki itu nak bertanggungjawab? Alma menggelengkan kepalanya. Tidak dapat dibayangkan hidupnya nanti andai bersama dengan lelaki itu. Dia lebih rela hidup sendiri. Andai benar dia kandungkan anak lelaki itu, dia tetap tidak akan bersetuju untuk berkahwin dengan Firyal. Dan jika ditakdirkan tiada lelaki lain yang sanggup terima dirinya sekalipun, Alma rela.
“ Awak tak rasa bersalah ke dengan apa yang awak buat?” Alma melontarkan pertanyaan pula. Wajah Firyal yang tampan dipandang. Sayang sekali, paras lelaki itu begitu sempurna tetapi akhlak lelaki itu begitu teruk.
Firyal terdiam sejenak. Rasa bersalah? Mungkin rasa bersalah itu ada tapi untuk meluahkan kata maaf, bibirnya begitu berat sekali. Umpama ada jongkong emas di dalamnya. Alma yang memandangnya sedari tadi Firyal tatap. Dia nampak ada kesedihan di mata itu. Dia yang menjadi penyebab wanita itu bersedih.
“ Aku nak bertanggungjawab pun dah dikira bagus. Ke... kau yang tak nak. Yalah, mungkin sebab aku bukan lelaki yang pertama sentuh kau sebab tu kau tak setuju.” Tanpa sedar Firyal masih berterusan menyakiti hati Alma. Dia masih ingin menjulang egonya yang tinggi.
“ Awak jangan cuba nak hina saya!” Alma mengetap giginya. Sungguh, lelaki ini benar-benar mencabar kesabarannya. Firyal begitu kecil di matanya kini.
“ Aku bukan nak hina. Kau berlagak seolah-olah aku orang pertama yang sentuh kau tapi kenyataannya dah banyak lelaki yang kau layan rupanya.”
Panggg...
Firyal memegang pipi kirinya. Perit. Dia sendiri tidak perasan bila Alma menghampirinya. Berdenyut pipinya menahan pedih. Tapi Firyal masih mempamerkan wajah sinisnya. Dapat dilihat muka Alma yang sudah merah. Alma tidak lagi menyembunyikan perasaan marahnya, Firyal dapat lihat dengan jelas.
Alma menaikkan jari telunjuknya dan dihalakan ke arah Firyal. Rasa mahu ditunjal sahaja kepala lelaki itu. Kalau boleh ingin dijahit bibir lelaki itu yang begitu lancang sekali bila bercakap.
“ Awak tak ada hak untuk tuduh saya yang bukan-bukan. Awak sedar tak yang awak dah rosakkan hidup saya? Awak dah musnahkan hidup saya. Awak dah rampas benda yang paling berharga sekali dalam hidup saya. Tapi awak tuduh saya macam saya ni perempuan murahan! Perempuan yang begitu mudah sekali menyerahkan tubuh pada lelaki. Saya nak ingatkan awak sekali lagi, saya bukan macam perempuan yang awak fikirkan.” Semurah itu ke harga dirinya di pandangan mata Firyal?
“ Habis tu kenapa kau tak nak aku bertanggungjawab? Itu maknanya kau pernah layan lelaki lain!” laju Firyal membalas tidak ingin kalah.
Alma mengangkat tangannya sekali lagi ingin menampar muka Firyal yang begitu lancang sekali tapi belum sempat tangannya sampai ke muka itu Firyal menangkap pergelangan tangannya. Tubuhnya terdorong ke depan bila Firyal menarik tangannya. Alma terpaksa mendongak kerana Firyal lebih tinggi darinya. Wajah lelaki itu juga sudah berubah.
“ Itu kali pertama dan kali terakhir kau boleh tampar aku. Lepas ni kalau kau berani buat lagi, tahulah apa yang aku nak buat pada kau.” Firyal bersuara perlahan. Disabarkan hatinya yang diterjah perasaan marah. Ini kali pertama seumur hidupnya ada orang berani mengangkat tangan ke mukanya.
Alma mendengus. Dia merentap tangannya dari genggaman Firyal. Mata lelaki itu yang berwarna coklat dipandang dalam-dalam.
“ Itu juga kali terakhir saya benarkan awak hina saya. Jangan harap lepas ni saya akan biarkan awak hina saya lagi.” Alma memberi amaran.
“ Sekarang saya nak awak keluar dari sini. Jangan muncul depan saya lagi.” Alma membelakangi tubuhnya. Dia benci melihat muka Firyal.
Firyal beralah. “ Aku akan pergi sekarang ni tapi satu benda yang aku boleh jamin...” Sebelum keluar Firyal sempat berpaling.
“...aku akan sentiasa muncul dalam hidup kau lepas ni.” Serentak dengan itu Firyal keluar dari situ. Pintu itu dihempas kasar.
Alma terduduk di kerusi. Nafasnya turun naik. Marahnya masih bersisa. Mengapa takdirnya begini? Untuk apa lagi mereka dipertemukan?
Bersambung...
best2... cepat sambung!!.. x sabar nk thu ap jdi!!..
ReplyDeleteAkak best sangat citer ni. Tolong ajar buar novel boleh?
ReplyDeleteTolong ajar? erk, akak pun main hentam je buat cerita ni... haha
Delete