BAB 1
Hana Humaira melabuhkan duduk di birai katil. Katil yang dihiasi dengan kelopak mawar merah dipandang sepi. Semerbak haruman menusuk ke hidungnya. Tangannya lembut menyentuh kelopak mawar merah yang bertaburan di atas katil. Baru beberapa jam lepas dirinya sudah sah menjadi isteri kepada Aidil Amsyar. Dia sudah pun menjadi tanggungjawab lelaki itu. Syurganya kini di bawah redha suaminya.
Matanya terpejam seketika. Dadanya berdetak hebat. Menghalau rasa sedih yang bermaharajalela dalam diri. Untuk apa mereka disatukan andai cintanya bertepuk sebelah tangan? Dia lebih rela menyimpan cinta ini sendiri. Aidil Amsyar tidak perlu tahu mengenai rasa cintanya yang sudah lama tersimpan buat lelaki itu. Dia tidak pernah mengharapkan Aidil Amsyar membalas cintanya. Cukuplah dia dapat memandang lelaki itu dari jauh. Cukuplah andai dia dapat melihat sinar kebahagiaan di wajah lelaki itu sekalipun bukan dirinya yang menjadi suri di hati itu.
Tapi kuasa Allah lebih hebat. Walaupun mereka tidak menyimpan rasa yang sama namun jalan hidup mereka tetap bertemu. Tanpa diduga, mereka disatukan dengan ikatan yang suci. Hana Humaira pasti, tidak pernah sesaat pun dalam hayat lelaki itu akan terfikir untuk mengangkatnya menjadi isteri. Dirinya bukan sesiapa. Dia juga sedar, malah sudah lama sedar.
Pintu bilik yang dikuak dari luar membuatkannya menoleh. Aidil Amsyar masuk tanpa menghiraukan dirinya. Hana Humaira menggigit bibir. Tidak tahu mahu tunjukkan reaksi yang bagaimana. Hana Humaira diam tidak berkutik. Jantungnya berdenyut lebih pantas dari biasa. Tangan yang terasa menggigil digenggam erat. Gerak
geri Aidil Amsyar diperhati dari ekor mata.
Aidil Amsyar duduk di sofa yang berhadapan dengan katil. Lelaki itu masih lagi dalam persalinan pengantin. Aidil Amsyar cukup segak di matanya. Hatinya jatuh berkali-kali bila berhadapan dengan lelaki ini.
“ Kau suka dengan semua ni?” sebuah pertanyaan dilontarkan oleh Aidil Amsyar. Dia mahu tahu sama ada wanita itu menyukai perkahwinan ini. Perkahwinan ini satu kesilapan!
Suka? Sukakah dia dengan keadaan mereka sekarang ni? Hana Humaira menggeleng perlahan. Jujur diakui yang dia langsung tidak menyukai dengan apa yang berlaku. Sudah dapat diagak begini reaksi Aidil Amsyar padanya. Dingin…
“ Sekali pun saya tak pernah terfikir yang perkara ni akan terjadi.” Hana Humaira membalas pertanyaan Aidil Amsyar. Memang dia sendiri tak pernah terfikir untuk menjadi isteri lelaki itu. Sekali pun dalam mimpi dia tidak pernah terfikir.
Aidil Amsyar tersenyum sinis. Benarkah apa yang dikatakan oleh Hana Humaira? Habis tu kenapa sepanjang majlis tadi wanita itu nampak begitu bahagia sekali? Atau matanya yang salah pandang? Hana Humaira begitu ramah sekali melayan para tetamu yang hadir. Sedangkan dirinya langsung tak mampu untuk tersenyum walau dengan segaris senyuman! Apatah lagi bersembang mesra dengan tetamu yang datang. Sukakah Hana Humaira pada perkahwinan ini? Perkahwinan yang menghancur lumatkan sekeping hati miliknya.
“ Betul kau tak suka? Habis tu kenapa masa majlis tadi aku nampak kau senyum? Kau nampak bahagia seolah-seolah kita berkahwin atas dasar suka sama suka.”
“ Salah ke saya senyum? Habis tu awak nak saya buat muka masam? Apa yang saya tahu, saya nak jaga air muka keluarga yang selama ini dah banyak berbudi pada saya. Saya tak nak orang luar fikir yang bukan-bukan. Fikir yang kita ni macam kena kahwin paksa.” Adakah Aidil Amsyar nampak dia seperti orang yang bahagia? Kalau ya pun mungkin itu hanya luaran semata-semata. Dalamannya begitu sakit sekali.
“ Tapi kita memang kena kahwin paksa!” Aidil Amsyar membentak. Tidak fahamkah Hana Humaira dengan situasi yang melanda diri mereka? Mereka bukannya kahwin pondok-pondok macam dulu-dulu, di zaman kanak-kanaknya. Tapi mereka benar-benar berkahwin! Perkahwinan yang sukar untuk dileraikan simpulannya.
“ Saya tahu…tapi perlu ke dicanangkan pada semua orang yang awak tak rela dengan perkahwinan ini? Perlu ke awak lukiskan semua kesedihan itu di muka awak? Awak tak fikir bagaimana perasaan papa dan mama
bila lihat awak macam tu? Awak fikir mereka tak sedih?” bukannya dia tak nampak riak muka yang dipamerkan oleh Aidil Amsyar. Masam dan kelat! Segarit senyuman pun payah untuk dilontarkan dari bibir milik lelaki itu. Jelas rasa terkilan yang terlukis di wajah papa dan mama akan anak sulung mereka itu. Sedikit sebanyak hatinya turut tersiat bila kedua wajah orang yang cukup disayanginya itu mendung.
“ Shut your mouth! Kau cakap pasal kesedihan papa dan mama aku. Kau tahu ke apa perasaan diorang? Kau tahu apa yang diorang rasa? Kau cermin diri kau sikit, kau sendiri pun tak ada keluarga. Jangan cakap macam kau faham sedangkan kau pun tak tahu apa yang diorang rasa! Benci aku dengar.”
“ Memang saya tak ada keluarga. Tak perlu awak ingatkan sebab saya memang sedar siapa diri saya. Saya hanya anak yatim piatu yang menumpang kasih pada keluarga awak. Dah terlampau banyak jasa papa dan mama awak taburkan buat saya. Jadi, biarlah saya berkorban sedikit demi mereka.” Hana Humaira menajamkan matanya. Aidil Amsyar tidak perlu mengingatkan dirinya tentang itu. Dia sudah lama sedar.
“ Walaupun terpaksa berkahwin dengan aku?” Aidil Amsyar tidak puas hati. Kenapa Hana Humaira begitu senang sekali menerima perkahwinan ini? Tidak sedarkah Hana Humaira yang perkahwinan ini bukan satu mainan?
“ Saya rela…walaupun terpaksa berkahwin dengan awak.” Yakin sahaja Hana Humaira membalas. Dia
rela…walau sekelumit cinta langsung tiada buat dirinya.
“ Bodoh.” Spontan kata-kata itu keluar dari mulut Aidil Amsyar. Tidak peduli sama ada Hana Humaira berkecil hati atau tidak.
“ Watch your mouth Am !” Hana Humaira mengetap gigi. Rasa sedih berganti dengan perasaan geram.
“ Aku tak sangka harga diri kau terlalu murah. Senang sangat kau terima perkahwinan ni. Kau tahu tak yang aku terseksa dengan ni semua. Aku tak cintakan kau! Kenapa susah sangat semua orang nak faham?! Kenapa mesti paksa aku terima ikatan yang langsung tak ada makna ni?” Aidil Amsyar meraup rambut. Wajahnya begitu kusut sekali.
Hati Hana Humaira pedih. Aidil Amsyar nampak begitu terseksa sekali. Aidil Amsyar tak pernah merelakan perkahwinan ini. Jelas yang tiada cinta di hati Aidil Amsyar buatnya. Mungkin tindakannya selama ini dengan menyembunyikan perasaan cinta itu betul. Aidil Amsyar tidak perlu tahu. Biarlah rahsia itu tersimpan kemas di sudut hatinya yang paling dalam.
“ Awak ingat saya rela? Walaupun saya terima perkahwinan ni tapi tak semestinya saya cintakan awak. Jangan ingat hanya awak seorang yang saja yang terseksa. Saya turut terseksa sama tapi saya belajar untuk terima takdir. Saya belajar untuk terima awak.” Hana Humaira menafikan apa yang dia rasa. Ah, Aidil Amsyar tak perlu tahu tentang perasaannya.
“ Kau ingat semudah tu ke aku nak terima kau. Kau ingat perasaan aku senang beralih arah? Aku dah ada Milia dan aku tak perlu orang lain lagi. Kau langsung tak layak untuk aku.” Teringat kekasih hatinya, Milia. Apa agaknya penerimaan Milia bila dapat tahu yang dia sudah menjadi suami orang? Wanita itu akan menuduhnya curang sedangkan hatinya tak pernah menginginkan ini semua terjadi.
“ Layak atau tak, itu dah tak menjadi soal sekarang ni. Kenyataannya awak dah pun jadi suami saya dan saya dah pun jadi isteri awak.” Milia…nama itu yang sering Aidil Amsyar sebut sejak dia menjejakkan kaki ke rumah itu. Cemburu? Tipu kalau hatinya tidak dijentik rasa cemburu. Tiba-tiba sahaja dia rasa kemenangan berpihak bagi dirinya. Milia sendiri tak mendapat hak itu. Hak menjadi seorang isteri kepada lelaki yang bernama Aidil Amsyar.
“ Isteri atas kertas. Kau hanya isteri aku atas kertas, tak lebih dari tu. Aku nak ingatkan kau, jangan simpan apa-apa harapan dari aku sebab aku tak akan jatuh cinta pada kau.” Isteri? Dia tak pernah impikan Hana Humaira untuk menjadi isterinya. Orang yang sepatutnya menjadi isterinya adalah Milia, bukan Hana Humaira!
“ Saya pun nak pesan benda yang sama pada awak. Jaga hati awak baik-baik, jangan sampai jatuh sayang pada saya sebab sekelumit pun rasa sayang saya tiada untuk awak.” Hana Humaira rasa tercabar. Betapa egonya lelaki itu. Begitu yakin sekali tidak akan jatuh cinta kepadanya. Jadi dia juga akan melakukan perkara yang sama. Biarlah dia bepura-pura bahawa dirinya juga tidak cintakan Aidil Amsyar walaupun pada hakikatnya cinta itu sudah lama berkembang mekar di hatinya.
Bersambung…
No comments:
Post a Comment