Saturday, 6 April 2013

Akanku Tawan Cintamu! 8



BAB 8

Cahaya yang terang menyebabkan Alma membuka mata. Dia menggosok matanya perlahan dengan tangan kiri. Tapi dia dapat merasakan kelainan. Baru dia tersedar yang dia tertidur di bahu seseorang. Dia mengangkat mukanya. Firyal! Pipi Firyal berada di kepalanya. Firyal juga tertidur. Ya Allah… macam mana dia boleh tertidur di bahu Firyal ni? Seingatnya tadi dia menyandar di kerusi. Patutlah tidurnya begitu lena biarpun dalam keadaan sejuk.
Alma ingin mengangkat tangan kanannya tetapi dia semakin terkedu bila tangannya berada erat di dalam genggaman tangan Firyal.  Dadanya sudah dipalu dengan detakan yang begitu kuat sehinggakan dia boleh mendengar degupan jantungnya sendiri. Dia bukan berdebar kerana mempunyai perasaan terhadap Firyal tetapi dia berdebar kerana  dia tidak pernah serapat ini dengan mana-mana lelaki sebelum ini.
Sampai bila dia nak bertahan di sebelah Firyal tanpa berbuat apa-apa?Takkan nak buat drama kat dalam panggung ni? Cerita dah lama habis ditayangkan. Orang lain pun dah keluar. Hanya dia dan Firyal sahaja yang tinggal. Dia mahu mengangkat kepalanya dari bahu Firyal namun perasaan malunya menebal kerana dia sendiri tidak pasti sama ada kepalanya yang mendarat dahulu di bahu Firyal atau Firyal sengaja nak mengambil kesempatan. Tetapi bagaimana dengan tangannya yang digenggam oleh Firyal? Bukankah itu menunjukkan yang Firyal sengaja mengambil kesempatan ke atas dirinya semasa dia tidur?
Nafasnya semakin sempit bila dia mengesan gerakan dari tubuh Firyal. Firyal mengalihkan wajahnya dari kepala Alma. Spontan Alma menutup kembali matanya. Berpura-pura tidur. Dadanya semakin berdebar kerana dia yakin Firyal sudah sedar sepenuhnya. Tetapi kenapa Firyal tidak mengalihkan kepalanya dari bahunya? Firyal hanya senyap. Darah merah menyerbu ke muka Alma bila Firyal mengusap tangan dan pipinya. Namun Alma masih belum membuka matanya. Bila wajahnya ditampar oleh nafas hangat Firyal dan dia dapat rasakan yang wajah Firyal semakin menghampiri wajahnya terus Alma membuka matanya. Kepalanya diangkat terus dari bahu Firyal.
Dia dapat menangkap senyuman sinis yang terukir di bibir Firyal. Alma diterjah perasaan marah.
“ Apa yang awak cuba nak buat pada saya? Awak nak ambil kesempatan?” mata Alma mencerun memandang Firyal yang sudah bangun dari duduk. Firyal tidak menjawab soalannya. Dia semakin bengang bila Firyal keluar tanpa mengucapkan sebarang kata-kata kepadanya.
Alma mendengus. Dia turut keluar dari panggung. Adakah Firyal cuba untuk melarikan diri darinya? Takut yang dia mengetahui bahawa Firyal memang sengaja mengambil kesempatan ke atas dirinya? Sudah terang lagi bersuluh yang Firyal cuba melakukan perkara tidak senonoh. Lelaki memang macam tu agaknya. Suka sangat mengambil kesempatan terhadap kaum wanita. Marah Alma masih lagi belum hilang.
“ Bukan aku yang ambil kesempatan tapi kau yang ambil kesempatan dulu.” Alma tersentak bila Firyal tiba-tiba muncul di sebelahnya. Berjalan beriringan dengannya. Alma mendengus kasar. Ingatkan Firyal dah melarikan diri. Boleh pula dia muncul sekarang ni. Geram je rasa dengan muka yang Firyal pamerkan. Muka orang yang langsung tiada perasaan bersalah.
“ Awak tak payah nak reka cerita. Awak ingat saya tak tahu apa yang awak buat masa saya tidur.” Ujar Alma sinis. Dia menjarakkan sedikit tubuhnya bila bahu Firyal bersentuhan dengan tubuhnya.
“ Aku buat apa?” Firyal bertanya. Dalam masa yang sama Firyal menyelukkan tangannya kedua belah kocek.
“ Awak ambil kesempatan la! Apa lagi. Jangan nak berpura-pura pulak.” Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu. Huh! Dah tahu lagi mahu tanya. Lelaki jenis apa lah Firyal ni. Alma semakin panas bila Firyal masih lagi ingin berdalih.
Firyal tergelak kecil. Dan gelak itu kedengaran sinis di telinga Alma.
“ Untuk pengetahuan kau, kau yang cuba nak ambil kesempatan dulu. Aku tahu yang aku ni handsome tapi tak payah la nak guna taktik yang kau sebenarnya tertidur. Lepas tu landing kat bahu aku.” Jawab Firyal. Memang benar Alma yang menjatuhkan dahulu kepala di bahunya. Dia tak sampai hati ingin mengalihkan kepala Alma kerana risau wanita itu terjaga dari tidur. Lalu dibiarkan sahaja sehinggalah cerita tadi tamat walaupun bahunya sedikit sengal kerana terpaksa menampung beban kepala Alma.       
‘ Sejak bila pulak kau ambil berat pasal Alma?’ soal hati kecil Firyal.
“ Saya tak pura-pura tidur sebab saya memang tertidur. Awak jangan nak tuduh yang bukan-bukan.” Alma membalas geram. Tak ada maknanya dia nak ambil kesempatan. Ingat dia suka sangat ke dengan lelaki ni? Meluat ada la.
“ Betul ke yang kau memang tertidur?  Mana la tahu yang kau memang sengaja. Kalau kau tipu pun aku tak tahu.” Firyal menyindir.
“ Awak ingat saya teringin sangat ke nak tidur kat bahu awak? Jangan nak perasan sangat la.” Alma menjawab tidak ingin kalah. Mukanya tegang.
“ Yalah,mungkin kau masih belum puas tidur dengan aku pada malam tu. Kau teringin nak merasa kehangatan pelukan aku lagi. Bukan macam tu?” Firyal berbisik di tepi telinga Alma. Sekali lagi dia dapat menghidu haruman dari tubuh Alma.
Alma yang terkejut dengan bisikan Firyal menolehkan mukanya menyebabkan hidungnya bersentuhan dengan dagu Firyal. Dia tergamam. Kakinya menapak beberapa langkah ke belakang ingin menjauhi dirinya dari Firyal tapi baru setapak dia melangkah tubuhnya dirangkul ke dalam pelukan Firyal. Kepalanya ditekap ke dada bidang Firyal. Dia dapat mendengar degupan jantung Firyal yang sama pantas dengan jantungnya.
Beberapa saat kemudian Alma tersedar. Dia menolak kasar tubuh Firyal. Nafasnya turun naik menahan marah. Firyal sering memperlakukan dirinya seperti perempuan yang tiada harga diri. Terlalu mudah disentuh. Tidakkah Firyal tahu yang dia masih mempunyai harga diri? Walaupun harga dirinya diletakkan di tempat yang paling bawah sekali di mata Firyal.
“ Saya tak suka awak sentuh saya.” ujar Alma penuh kebencian.  Kebenciannya tak akan hilang biarpun Firyal memohon ampun kepadanya kerana salah yang Firyal lakukan terhadapnya sudah terlampau banyak.
“ Kau nyaris kena langgar dengan orang lain tadi.” Firyal menunjukkan lelaki yang sudah berada di depan mereka. Langkah lelaki itu laju seperti sedang mengejar masa. Lantas apabila dia sedar yang Alma hampir dirempuh oleh lelaki tersebut tanpa berfikir panjang Firyal merangkut tubuh Alma rapat ke tubuhnya. Hanya itu yang sempat dia fikirkan.
“ Sekali lagi saya beri awak amaran. Jangan sentuh saya lagi. Saya bukannya perempuan yang awak boleh pegang bila awak suka dan saya bukannya perempuan murahan seperti yang awak fikirkan.” Alma turut memandang lelaki yang Firyal dakwa hampir melanggar dirinya. Dia lebih rela jika Firyal menolak dirinya jatuh tersungkur di lantai Mall ini daripada jatuh tersembam ke dada Firyal. Dia lebih sanggup menanggung kesakitan daripada berdekatan dengan Firyal.
Bukan sedikit orang yang memandang mereka tadi. Malunya bertimpa-timpa. Pasti bermacam-macam tanggapan yang mereka berikan terhadap dirinya. Dia bukan seperti Firyal yang tidak mempunyai rasa malu. Langsung tidak kisah akan tanggapan orang lain.
“ Aku ingat kau suka sebab kau nampak terbuai bila berada di dalam pelukan aku tadi. Atau kau rindu dengan apa yang dah terjadi antara kita pada malam tu?” Firyal bersuara nakal. Dia kembali mengingatkan Alma mengenai peristiwa tersebut.
“ Cukup Firyal. Awak dah melampau. Saya boleh dakwa awak di atas apa yang awak lakukan terhadap saya.” tangan Alma ringan untuk menampar mulut Firyal. Bila Firyal kembali mengungkit tentang peristiwa tersebut, perasaan Alma kembali berkocak. Hatinya kembali tersiat.
Benar. Dia boleh mendakwa Firyal tapi pasti kisah itu akan diketahui oleh masyarakat. Pandangan masyarakat terhadapnya akan berubah. Orang yang tidak mengetahui kisah sebenar akan memandang serong terhadap dirinya. Yang paling utama sekali, air muka ibunya pasti akan tercemar. Ibu pasti akan kecewa dengannya. Melukakan hati ibu yang telah bersusah payah membesarkannya merupakan perkara yang paling dia mahu elakkan sekali. Biarpun dia baru tahu mengenai status dirinya yang bukan anak sebenar ibu namun perasaan sayangnya tidak pernah berkurang. Dia masih menyayangi wanita itu. Sudah terlalu banyak budi yang telah ditaburkan kepada dirinya. Sampai mati pun dia tidak mampu untuk membalas.
“ Kau tak ada bukti yang kukuh untuk dakwa aku. Percayalah cakap aku, kau tak akan menang kalau kau berniat untuk menentang aku.” Firyal bersuara yakin. Kedengaran sedikit bongkak di halwa telinga Alma.
“ Lagi satu, aku pun boleh dakwa kau sebab menceroboh masuk rumah aku.” Firyal menyambung kata bila Alma terdiam. Jelas di matanya yang Alma sangat membenci dirinya. Pandangan Alma penuh berapi dan dendam. Mungkin sampai ke nafasnya yang terakhir pun Alma tidak akan memaafkan segala dosanya.
“ Awak yang bawa saya ke situ!” Alma bersuara tegas. Bila masa dia menceroboh rumah Firyal? Firyal yang mengheretnya ke situ. Bangun saja dari tidur dia sudah berada di rumah lelaki itu. Itu bukan salahnya tapi salah Firyal. Firyal tidak boleh menuduhnya menceroboh tapi siapa yang akan percaya akan cakapnya kerana dia tidak mempunyai saksi yang mampu menyokong segala hujahnya.
“ Tapi tak ada saksi yang mengatakan aku bawa kau ke situ. Peguam aku boleh cakap yang kau sebenarnya dengan rela hati datang ke rumah aku dan cuba untuk menggoda aku.”
“ What? Saya cuba nak goda awak?” terbeliak biji mata Alma akan kenyataan yang baru saja keluar dari mulut Firyal. Dia sudah menghentikan langkahnya memandang muka Firyal yang terpamer senyuman sinis.  Alma menggenggam erat tangannya. Rasa marah sudah tidak dapat dibendung lagi.
Firyal turut berdiri berhadapan dengan Alma. Dia perasan muka Alma sudah bertukar merah. Firyal memeluk tubuh dan menyambung kata. 
“ Aku juga boleh cakap yang malam itu adalah kesilapan yang bermula dari kau. Dan selepas tu kita sama-sama enjoy dengan apa yang berlaku.”
Terus tangan Alma naik untuk menampar muka tampan Firyal. Dia langsung tidak dapat menerima kenyataan dari mulut Firyal. Maruahnya bagaikan dipijak berkali-kali oleh Firyal. Firyal memang melampau!
Alma mengetap giginya geram bila Firyal sempat menahan tangannya dari sampai ke wajah itu.Bila Firyal mendekatkan wajahnya, Alma langsung tidak menjauhkan mukanya. Dia menentang mata Firyal dengan berani. Tiada senyuman di bibir Firyal dan bibirnya. Orang yang memandang mereka sudah tidak dipedulikan.
“ Aku dah pernah cakap kat kau dulu. Aku hanya benarkan tamparan kau hinggap di muka aku ni hanya sekali sahaja dan aku tak akan biarkan kau ulanginya lagi. Aku janji pada kau yang aku akan buat hidup kau lagi merana kalau kau cuba buat benda yang aku tak suka. Faham?” Firyal mengugut. Dia akan kotakan apa yang dia cakap. Alma silap jika ingin memilih dia sebagai lawan kerana dia bukan calang-calang orang yang boleh dibuat main. Tangan Alma masih belum dilepaskan walaupun Alma cuba merentap tangannya.
“ Orang macam awak memang layak diberi penampar. Bukan sekali malah berkali-kali.” Kasar Alma membalas. Dia mengerutkan dahinya sedikit bila Firyal mengetatkan cengkamannya. Mungkin kali ini cengkaman Firyal boleh menyebabkan pergelangan tangannya lebam.
Firyal sedar yang Alma kesakitan tapi hatinya lebih pedih ketika ini. Belum pernah lagi perempuan menghinanya sebegini rupa.
“ Aku tak peduli dengan apa yang…” kata-kata Firyal terhenti bila ada satu suara mencelah.
“ Alma!” ujar suara tersebut. Perempuan itu memandang Alma penuh kebencian.
Alma tergamam. Tangan yang masih dipegang oleh Firyal dia rentap sekuat hati. Mukanya pucat. Dahinya berpeluh. Hatinya sedikit risau kerana mereka terserempak di saat Firyal masih lagi memegang tangannya. Pasti bermacam-macam tanggapan muncul di benak perempuan itu.

Bersambung…


1 comment: