BAB 3
Husna meletakkan beg di ruang tamu. Kenapa senyap je rumah ni, rasanya kereta Alma ada tersadai di laman rumah. Lampu rumah dinyalakan. Dah pukul 11 malam. Mana Alma ni? Rindu pula dia pada Alma padahal baru 3 hari mereka tidak bersua muka kerana dia pulang ke kampung. Alma kat bilik agaknya…
Husna menolak pintu bilik Alma sebelum melangkah masuk.Dia tergamam bila lihat bilik Alma yang sudah tidak serupa bilik lagi. Kenapa ni? Alma mengamuk ke?Sepanjang mereka berkawan dia tak pernah lihat Alma mengamuk. Biasanya Alma hanya tenang dalam apa jua situasi. Pasu bunga kecil yang kebiasaannya berada di atas meja di sebelah katil sudah pun pecah berderai. Alat-alat solek semuanya sudah jatuh berterabur di bawah lantai. Bantal pula sudah tercampak di bawah katil. Suasana bilik begitu suram. Lampu bilik langsung tidak dinyalakan. Husna tidak menutup pintu dengan rapat, biar lampu luar menyimbahi sedikit bilik yang kelam itu.
Alma sedang menangis teresak-esak di tepi katil. Husna serba salah. Kali terakhir dia lihat Alma menangis begitu pada 5 tahun dulu. Peristiwa yang dia sendiri tak nak ingat kalau boleh. Peristiwa yang merentap kebahagiaan Alma. Membawa pergi senyuman di bibir manis itu. Tapi sekarang, dia disajikan dengan pemandangan yang serupa. Hatinya bimbang. Pasti ada sesuatu yang terjadi kerana Alma yang dia kenal bukan mudah untuk mengalirkan air mata.
Husna memegang bahu Alma. Kawan baiknya itu masih menekupkan kepala ke lutut. Sedikit pun dia tidak mengangkat muka. Husna melabuhkan punggung di sebelah Alma. Dia memaut sebelah bahu Alma lalu diusapnya lembut. Dia menjengukkan kepalanya sedikit untuk mencari wajah Alma.
“ Kenapa ni?” perlahan Husna bertanya. Sedih hatinya bila lihat Alma begitu.
“ Kalau kau ada masalah kau boleh kongsi dengan aku. Kau tahu yang kau boleh percayakan aku kan…”Husna memujuk. Risaunya bukan kepalang bila Alma masih tidak mengendahkannya. Alma bagaikan hanyut dengan dunia sendiri. Dia tak nak Alma jadi macam dulu. Begitu payah Alma bangkit untuk hidup seperti sekarang. Dia tak mahu melihat Alma yang begitu patah hati seperti 5 tahun dulu.
“ Please Al…cerita dekat aku apa yang terjadi. Aku tak sanggup tengok kau macam ni. Walau apa pun yang berlaku, aku akan sentiasa bersama kau. Aku tak nak jadi kawan kau di saat kau senang je, tapi aku juga nak berada di sisi kau saat kau susah.” Setitis air matanya jatuh juga. Dia sangat sayangkan Alma. Alma begitu penting dalam hidupnya. Di saat orang lain tidak sudi untuk berkawan dengannya, Alma hadir menghulurkan salam perkenalan. Di saat orang lain menghinanya, Alma hadir memberi kata-kata semangat.
Husna ingin meneruskan kata tapi belum sempat dia membuka mulut dia terkedu bila tiba-tiba sahaja Alma memeluk dirinya erat. Air mata Alma membasahi bahunya. Dia membiarkan.Perlahan dia mengusap belakang badan kawannya itu. Cuba ditenangkan perasaan Alma yang nampak rapuh.
“ Aku bukan anak kandung ibu.” Alma bersuara di sebalik esak tangisnya. Hatinya begitu sedih sekali bila mengenangkan kenyataan itu. Tapi rasanya biar lah dia memberitahu Husna berita ini terlebih dahulu. Dia masih belum bersedia untuk menceritakan mengenai kesuciannya yang diragut.
Husna terdiam. Dia terkejut sebenarnya dengan apa yang baru Alma sampaikan. Dia menjarakkan tubuh mereka. Muka Alma yang lencun dengan air mata dia kesat.
“ Kau tahu dari mana?” Tenang Husna bertanya. Dia perlu tenang supaya ketenangan yang ditunjukkan itu sedikit sebanyak dapat mententeramkan hati Alma walaupun dia sendiri terkejut dengan berita itu.
Alma mengetap bibirnya , dia teringat kembali peristiwa di mana dia pulang ke rumah ibunya. Ingatkan nak bermalam di sana kerana Husna balik ke kampung selama 3 hari.
Alma duduk bersila di atas sofa. Movie yang sedang ditayangkan di kaca tv dia tonton penuh minat. Setelah pulang dari kedai makannya pukul sepuluh tadi dia terus duduk di depan tv. Baju pun masih belum bertukar. Malas pula nak mandi bila dah lewat malam macam ni. Dia mengunyah popcorn yang penuh terisi dalam bekas.
Alma menoleh bila muncul kelibat Maya dari tingkat atas. Semerbak haruman yang terbit dari tubuh gadis itu. Entah berapa botol minyak wangi agaknya budak ni pakai. Dia menjeling jarum jam yang terlekat di dinding. Dah pukul 12.30 malam.
“ Dah tengah malam ni Maya. Takkan nak keluar jugak?” Alma menyoal. Berani betul budak ni keluar malam-malam buta. Kalau dia la, lebih baik duduk di rumah. Rasa tak selamat je bila keluar pada waktu begini.
“ Kau tak payah sibuk pasal hal aku. Kau jaga tepi kain kau sendiri sebelum sibuk hal orang lain.” Kasar Maya membalas. Dia memang tidak suka Alma sejak dulu lagi. Baginya wanita yang tua empat tahun darinya
itu terlalu mengongkong hidupnya. Mereka memang tidak serasi dari dulu. Kalau orang lain mungkin mereka suka bila ada seorang kakak tapi dia lebih rela tidak ada kakak.Serabut!
“ Akak tak ada niat nak campur tangan hidup Maya tapi sekarang ni kan dah tengah malam. Kesian kat ibu, dia kan tak sihat sekarang ni. Jangan keluar ya Maya.” Alma membalas lembut. Tidak ambil hati dengan bicara kasar Maya. Dari dulu lagi adiknya yang seorang ni tak pernah mahu berbaik dengannya. Sejak kecil lagi Maya tidak menyukai dirinya. Dia sendiri sudah buntu untuk memulihkan hubungan mereka.
“ Bising la kau ni. Suka hati aku la nak keluar ke tak nak.” Maya membetulkan baju yang dipakainya. Dress tali halus yang tersalut di tubuh rampingnya dibetulkan.
“ Jangan degil la Maya. Maya nak pergi mana malam-malam macam ni? Lagi satu, dah tak ada baju lain ke yang Maya nak pakai? Baju tak cukup kain ni juga yang Maya sarung.” Alma sudah berjalan mendekati Maya. Dia berdiri di hadapan pintu. Cuba menghalang adik kesayangannya keluar dari rumah.
Baju apa yang Maya pakai ni? Astaghfirullahalazim. Dia sendiri malu untuk tengok. Bagaimana Maya sanggup menyarung baju itu ke tubuhnya? Baju yang benar-benar singkat hingga ke paras paha. Dengan tali halus dan menampakkan lurah adiknya itu…Alma mengeluh panjang. Maya sudah berubah menjadi orang lain semenjak berkawan dengan Sally. Teman adiknya yang begitu sosial sekali.
“ Apa masalahnya kalau aku pakai baju macam ni? Kau tengok aku macam perempuan murahan ke? Kau nak cakap gaya aku ni dah macam pelacur?!” Maya bersuara lantang. Suaranya ditinggikan. Buruk sangat ke apa yang dia pakai? Kawannya selalu memuji yang bentuk badannya begitu menawan sekali bila menyarung pakaian seperti ini. Ah, Alma yang kolot!
“ Maya! Kenapa tuduh yang bukan-bukan? Akak tak cakap macam tu pun.”
“ Kau ingat kau tu baik sangat ke? Entah dari mana keturunan kau datang pun aku tak tahu. Agaknya kau pun dari keturunan pelacur.” Maya meluahkan rasa geramnya. Mungkin ini masa yang sesuai untuk beritahu perkara yang sebenar kepada Alma. Biar wanita itu tidak lagi berani mengangkat muka di hadapannya.
“ Apa maksud Maya? Jangan cakap sembarangan.” Alma terkejut bila Maya tiba-tiba membangkitkan soal keturunan. Kenapa Maya begitu celupar sekali?
“ Kau tak tahu ke? Owh….memang la kau tak tahu sebab ibu tak pernah cerita pasal kebenaran ni pada kau.” Sedikit demi sedikit Maya membuka cerita yang selama ini tersimpan kemas oleh Puan Fatimah tetapi kebenaran terbongkar bila dia terjumpa surat dari ibu kandung Alma. Mungkin surat itu diselitkan sekali bersama Alma di dalam bakul bayi dulu.
“ Maya jangan cakap yang bukan-bukan. Bila Maya cakap pasal keturunan akak, Maya juga sedang cakap tentang keturunan Maya sekali.” Alma menahan perasaan. Apa yang Maya mengarut ni? Kalau benci dia sekalipun jangan lah sampai bangkitkan keturunan mereka. Mereka-reka cerita demi menyakitkan hatinya.
“ Siapa kata? Keturunan kau dan aku berbeza!” bentak Maya lagi. Payah pula bila bercakap dengan orang yang tak nak faham ni.
“ Akak tak faham.” Alma mengerutkan dahi. Keturunan mereka berbeza?
“ Itu pun kau tak faham lagi? Bukan kau best student ke masa kat sekolah dulu? Takkan benda simple macam ni pun kau tak boleh faham.” Maya tersenyum sinis sambil memeluk tubuh. Muka Alma yang keliru ditatap penuh kebencian.
“ Apa maksud Maya? Tolong jelaskan biar akak faham.” Alma mengetap bibirnya. Tidak diendahkan sindiran Maya.
“ Sebenarnya kau bukan anak kandung ibu. Kau bukan kakak kandung aku. Aku sendiri tak tahu dari mana ibu kutip kau dulu.” Laju kata itu terbit dari mulut Maya.
“ Tipu!!! Maya tipu akak kan? Akak tak percaya.” hati Alma bergetar hebat dengan kenyataan itu. Dia menggenggam tangannya. Rasa mahu ditampar sahaja pipi mulus itu kerana mengeluarkan ayat yang begitu merobek jiwanya. Dia bukan anak kandung ibu? Mustahil!
“ Buat apa aku nak tipu kau? Apa yang aku dapat kalau aku tipu kau. Memang kenyataan yang kau bukan ahli keluarga ni.” Maya membalas. Dia puas bila wajah Alma sudah berubah. Pasti Alma terluka dengan
kebenaran ini.
“ Jangan bohong akak Maya. Kalau Maya benci akak sekalipun jangan sampai reka cerita macam ni. Akak tak boleh terima.” Alma menggelengkan kepalanya. Tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Dia mahu masuk ke bilik tapi Maya menghalang laluannya. Maya mencengkam lengannya.
“ Kenapa kau lembap sangat nak faham. Kau memang bukan anak kandung ibu. Kalau kau tak percaya dengan apa yang aku cakap ni kau boleh tanya ibu sendiri. “ Maya mencabar Alma. Dia begitu yakin dengan kandungan surat yang dibacanya petang tadi. Alma bukan anak ibu! Dia tersenyum puas.
Alma terdiam. Rasa sebak yang mencengkam dadanya membuatkan lidahnya kelu untuk bersuara.
“ Entah siapa agaknya mak kau kan. Kenapa la diorang buang kau kan…aku teringin nak tahu siapa ibu bapa kandung kau. Kau tak rasa ke yang parents kau buang kau sebab kau lahir hasil hubungan diorang yang tak sah? “ sekali lagi Maya cuba menyakiti Alma dengan kata-katanya.
“ Maya!!!”
Maya tersentak bila ibunya menjerit. Dia tidak sedar bila masa ibunya muncul di ruang tamu tersebut.
“ Apa yang Maya cakap ni? Kenapa cakap Kak Alma macam tu? Ibu tak pernah ajar anak-anak ibu jadi kurang ajar macam ni.” Puan Fatimah terkejut bila Maya membuka cerita yang selama ini tersimpan kemas.
Dari mana Maya dapat tahu mengenai kebenaran ini pun dia tidak pasti. Hati tuanya sedih bila Maya bagaikan menghina Alma tadi. Pasti Alma terluka dengan kenyataan yang baru terbongkar.
“ Kenapa ibu nak marah Maya pulak? Dah memang kenyataan yang dia bukan anak kandung ibu. Ibu nak sorokkan hal ni lagi buat apa?” Maya memuncung. Dia tak puas hati bila Puan Fatimah masih lagi tidak menceritakan hal sebenar kepada Alma.
“ Betul ke apa yang Maya cakap ni bu?” Alma meminta kepastian. Dia benar-benar berharap yang Puan Fatimah akan menafikan. Air mata yang bertakung di tubir mata ditahan agar tidak jatuh. Dadanya berdebar begitu kuat kala ini.
“ Ibu…ibu…” Puan Fatimah tergagap. Kekuatannya seakan lumpuh. Dia tidak sampai hati untuk melihat Alma kecewa.
“ Kan aku dah cakap tapi kau tak percaya. Kau dah tahu kebenarannya kan? Lepas ni kau dah tak payah masuk campur hal aku sebab kau memang tak ada hak untuk tegur aku. Kau bukan kakak aku!” Maya bersuara kasar. Sedikit pun dia tidak sedih dengan nasib Alma. Hatinya begitu keras biarpun dia dapat lihat Alma cuba menahan tangis.
“ Maya! Jangan kurang ajar dengan Kak Al.” Puan Fatimah menegur Maya. Lancang sungguh mulut anaknya yang seorang ni.
“ Kenapa ibu nak bela sangat dia ni. Dia bukannya anak kandung ibu pun!” Maya bengang. Ibu memang berat sebelah! Padahal Alma bukan anak kandung ibu. Hatinya tersiat.
“ Kenapa ibu tak ceritakan hal yang sebenar pada Al? Al patut tahu tentang hal ini.” Alma bersuara perlahan. Kecewa dengan tindakan Puan Fatimah yang menyembunyikan perkara ini begitu lama dari pengetahuannya. Air mata yang mengalir dibiarkan. Hatinya benar-benar terluka saat ini.
“ Maafkan ibu. Ibu memang nak cerita tentang perkara ni pada Al tapi ibu belum ada kekuatan untuk cakap. Ibu masih lagi mencari masa yang sesuai untuk beritahu Al.”
“ Sampai hati ibu….” Alma menggeleng kesal. Dia mengambil tudung yang terdampar di sofa dan disarung ke kepala lalu pergi ke pintu. Tangannya pantas memulas tombol pintu tersebut sebelum melangkah keluar.
Biarpun dirinya masih lagi bersalut blaus dan seluar slack tetapi Alma tidak ambil pusing.
Puan Fatimah tergamam. Alma nak pergi mana malam-malam begini? Dia mengekori belakang Alma.
“ Al nak pergi mana ni?” prihatin Puan Fatimah bertanya. Risau kalau Alma mengambil tindakan yang bukan-bukan akibat kecewa. Ini semua salahnya. Kalaulah dia memberitahu Alma lebih awal, kalaulah Alma tidak mendengar berita itu dari orang lain. Puan Fatimah mengucap panjang di dalam hati. Ini semua takdir Allah. Dia tidak patut menyalahkan takdir yang sudah tersurat.
“ Al nak tenangkan hati Al. Bila Al dah tenang nanti Al balik.” Alma mencium kedua tangan Puan Fatimah sebelum melangkah pergi.
Puan Fatimah sebak bila air mata Alma mengenai tangannya.
“ Biarlah dia pergi bu. Pandai-pandai la dia balik nanti.” Selamba sahaja Maya berkata. Langsung tidak sedih dengan pemergian Alma.
Puan Fatimah mengesat air matanya yang jatuh. Dia harap Alma tabah menghadapi kenyataan itu.
Alma kembali pada realiti. Tidak sangka kedatangannya pada malam itu membongkar satu rahsia besar dalam hidupnya.
“ Aku tak sangka ibu sanggup sembunyikan perkara ni dari aku.”Alma mengetap bibir.Menahan tangis dari pecah.Dadanya terasa sebak.Sememangnya dia begitu kecewa dengan ibunya kerana menyimpan rahsia ini terlalu lama. Patut la Maya tidak menyukainya dari dulu lagi, mungkin Maya dapat rasakan yang Alma bukan kakak kandungnya.
“ Jangan marah ibu kau. Dia takkan suka-suka buat semua ni tanpa fikirkan kau terlebih dahulu. Mesti dia pun rasa bersalah sebenarnya sembunyikan hal ni dari pengetahuan kau.”Husna memberi semangat kepada Alma. Dia pasti, Puan Fatimah mempunyai sebab yang tersendiri kenapa dia menyembunyikan perkara ini dari pengetahuan Alma.
“ Tapi aku patut tahu!” bentak Alma. Ini melibatkan hidupnya jadi dia berhak untuk tahu.Dia mengetap bibir. Menyabarkan diri dari melepaskan kemarahan pada Husna.
“ Ya…aku faham. Memang kau patut tahu. Mungkin dia tak nak kau rasa tersisih dari family tu kalau kau dapat tahu tentang perkara ni. Dia tak nak kau rasa sedih, macam sekarang ni. Sebab tu dia tak nak beritahu kau.” Husna mencapai tangan Alma dan dipegang erat.Cuba menyalurkan kekuatan pada Alma melalui genggamannya.Tangan Alma begitu sejuk sekali saat ini.
“ Kenyataannya aku memang bukan dari keluarga tu. Siapa ibu kandung aku pun aku tak tahu. Aku anak terbuang Una.” Dia anak terbuang! Pedih, tapi dia harus terima. Itu adalah hakikat yang harus dia telan.
“ Sabar Al...aku faham perasaan kau. Kalau aku kat tempat kau sekarang pun aku akan rasa benda yang sama. Tapi kau patut bersyukur, sekurang-kurangnya ibu kau sanggup bela kau.Kasih sayang dia terhadap kau seolah-olah kau ni anak kandung dia. Aku tengok dia layan kau sama macam dia layan Maya, tak berat sebelah.” Husna menarik kepala Alma supaya bersandar di bahunya. Tangannya yang kiri memeluk sebelah bahu Alma manakala tangan yang sebelah lagi mengesat air mata Alma dari terus menodai pipi gebu itu. Alma hanya diam tapi sedunya masih lagi bersisa
“ Semua yang terjadi ada hikmahnya. Ini semua ujian dari Allah. Dia tak akan menguji hambanya jika Dia tahu yang hambanya tak mampu hadapi ujianNya itu. Ini semua hanya dugaan. Kau kena kuat Al…”Husna menyambung bila Alma hanya mendiamkan diri.
“ Macam mana kalau….”Alma menghentikan bicaranya.Dia terdiam buat beberapa ketika. Husna hanya menunggu Alma menyambung kata. Masih ada sesuatu yang berada di fikiran Alma.
“…macam mana kalau aku lahir dari hubungan yang tak sah? Anak luar nikah.Kau masih sanggup anggap aku sebagai kawan kau?” terlontar juga soalan itu dari bibir Alma.Bagaimana kalau Husna sudah tidak sanggup untuk menerimanya sebagai kawan? Bagaimana kalau Husna membuangnya? Dia tak sanggup memikirkan kemungkinan itu. Alma gusar.
Husna mengeluh. Alma tidak kenal lagi ke dirinya bagaimana? Sepatutnya Alma tidak perlu meragui dirinya lagi. Persahabatan mereka telah terjalin hampir 7 tahun lamanya. Alma mengenali dirinya lebih dari orang lain. Mungkin tekanan perasaan yang dialami Alma membuatkannya menuturkan kata itu. Pasti Alma takut kalau dia meninggalkan Alma keseorangan menghadapi beban ini seorang diri. Sedikit pun tak terlintas di hatinya untuk membuang Alma dari hidupnya. Alma sangat berharga…
“ Aku tak peduli tentang latar belakang hidup kau. Apa yang aku tahu, kau adalah kawan terbaik yang aku pernah ada. Kau sendiri pernah cakap kat aku dulu kan, tak perlu pandang pada rupa, harta, keturunan untuk berkawan dengan seseorang, yang penting dalam ni…” Husna mengingatkan kembali apa yang pernah Alma tuturkan padanya dulu. Husna kemudiannya menepuk dadanya perlahan sebelum menyambung kata.
“…yang penting iman dalam dada seseorang tu. Untuk apa cari kesempurnaan sedangkan tiada satu pun manusia dalam dunia ni yang sempurna. Hanya Allah yang sempurna. Jadi, kau tak perlu bangkitkan isu keturunan lagi. Aku tetap terima kau kerana kau adalah kau, aku tak perlu sebab yang lain.” Ya…dia tak perlukan sebab lain untuk kekal bersama Alma kerana diri Alma itulah dia senang dan bahagia berkawan dengan Alma.
“ Aku tak cukup kuat untuk hadapi semua ni.”Alma mengeluh.Kepalanya yang berada di bahu Husna dibetulkan. Air matanya sudah berhenti mengalir cuma matanya masih lagi berkaca-kaca.
“ Aku tahu kau boleh. Serahkan semuanya pada Allah. Mengaji, dekatkan diri dengan Dia. Kau berdoa pada Dia supaya hati kau lebih tenang… “
“ Terima kasih Una.” Alma sangat bersyukur dikurniakan kawan seperti Husna yang sangat memahami. Sedikit sebanyak dadanya terasa lapang. Dia perlu kuat untuk hadapi hidup ini. Baru sedikit dugaan yang Allah turunkan buatnya tapi dia hendak mengalah. Masih ramai lagi di luar sana yang nasib mereka lebih malang dari dirinya. Dia patut bersyukur.Sekurang-kurangnya Puan Fatimah memeliharanya dengan baik. Benar seperti apa yang Husna katakan tadi, ibu tak pernah memilih kasih dalam memberikan kasih sayangnya.
“ Tak perlu ucap terima kasih sebab kita kan kawan. Aku tak nak tengok kawan aku sedih.Kalau kau sedih, aku pun sedih.”Husna tersenyum sedikit.Dia turut merasai kepedihan yang sama sekiranya Alma bersedih. Umpama cubit paha kiri, paha kanan juga akan merasa sakit.
“ Kau sahabat aku dunia akhirat.” Ikhlas Alma tuturkan kata itu.
Alma mengesat sisa air matanya yang masih berbaki di kedua belah pipi. Lehernya ditegakkan. Rasa lenguh
pula bersandar lama-lama kat bahu Husna.Dah la bahu Husna tidak tinggi mana. Hampir sama dengan paras bahunya.
“ Dah lega?” Husna bertanya bila nampak sedikit ketenangan di wajah Alma.Tak sanggup dia berhadapan dengan Alma yang patah hati.
Alma mengangguk perlahan sambil tersenyum sedikit. Dia bangun dan membuka suis lampu. Sekelip mata sahaja bilik yang tadinya gelap menjadi terang.Matanya membulat melihatkan keadaan biliknya. Bersepah macam tongkang pecah!
Alma mengutip bantal-bantal yang bertaburan di bawah katil. Husna turut bantu mengutip alat-alat solek yang bersepah di atas lantai.
“ Sory…” Alma serba salah bila Husna membantunya mengemas kembali bilik yang dah tak serupa bilik itu. Dia sendiri tak perasan bila masa dia kucar-kacirkan bilik kesayangannya ni. Di saat jiwanya tak menentu macam-macam perkara yang dia lakukan rupanya.Pasu bunga comel miliknya juga sudah pecah berderai.Tadi dia terbayangkan wajah lelaki itu lantas tanpa berfikir panjang laju je tangannya mencapai pasu yang berada di sebelah katil dan mencampakkannya ke wajah itu.Malangnya ianya hanyalah sekadar bayangan.Lelaki itu tidak wujud pun di dalam bililknya.
“ Tak apa. Aku faham. Bila lagi kau nak selerakkan bilik ni kan?” Husna mengusik. Bukan senang nak tengok bilik Alma bersepah kerana Alma sangat mementingkan kekemasan.
Alma hanya tersenyum sedikit. Rasa pelik dengan keadaan biliknya yang bersepah.
“ Mata kau bengkak. Dah macam mata panda aku tengok.” Husna menegur. Memang boleh nampak dengan jelas bengkak di mata Alma.
Alma menelek matanya di depan meja solek. Jelas kelihatan yang matanya sembap. Lingkaran hitam juga terdapat di bawah matanya. Mana tak bengkaknya kalau dah 3 hari juga dia menangis.
“ Segan pula nak pergi kedai esok. Apa agaknya pekerja aku cakap nanti.” Nasib baik ada Pak mail yang menguruskan kedai makannya sepanjang ketiadaannya. Mujur juga Pak Mail tak banyak soal. Tapi dengan keadaan matanya yang sebegitu rupa, apa pula yang akan difikirkan oleh pekerjanya.
“ Diorang takkan cakap apa-apa la, kau kan bos.” Husna mengingatkan Alma. Bangga kerana Alma berhasil mendirikan sebuah kedai makan hasil titik peluh sendiri. Walaupun tidak besar mana tetapi dia tahu Alma puas kerana memang cita-cita Alma untuk membuka kedai makan sendiri. Dari apa yang dia lihat, kedai makan Alma agak maju kerana begitu ramai pengunjung yang datang pada setiap hari.
“ Memang la aku bos tapi diorang mesti pelik kenapa mata aku sembap macam ni.” Serak suara Alma, akibat menangis terlalu lama.
“ Tak payah fikir apa yang diorang akan cakap. Yang penting sekarang ni diri kau…kau dah ok betul ke ni?” risau jika Alma hanya berpura-pura ok sedangkan mungkin hati wanita itu masih lagi berduka.
Alma melabuhkan duduk di katil empuknya. Kepala ditundukkan. Bermain dengan jari sendiri.
“ Sebetulnya aku masih sedih lagi. Ini bukannya benda remeh. Macam-macam ada dalam kepala aku sekarang ni tapi aku harap aku dapat hadapinya dengan tenang. Aku tak boleh salahkan ibu. Ni bukan salah sesiapa. Dah tertulis jalan hidup aku macam ni, aku redha. Mungkin ada hikmahnya kenapa ini semua terjadi. Sesungguhnya, Allah dah rancang yang terbaik untuk hamba-hambanya.” Penuh perasaan Alma menuturkan kata itu. Ya…dia perlu kuat. Dia tak boleh lemah.
Husna tersenyum. Sedikit lega bila Alma lebih tenang daripada tadi.
“ Aku ada di sisi kau untuk hadapi semua ni. You are not alone. Walau apa pun yang terjadi, aku tetap akan sokong kau dari belakang.” Sekali lagi Husna memberi kata semangat. Dia tak mahu lihat lagi muka Alma yang seperti patah hati untuk meneruskan kehidupan. Dia tak sanggup.
“ Terima kasih Una…” Alma menggariskan senyuman buat Husna. Teman yang dia paling sayang sepanjang hayatnya.
Bersambung…
No comments:
Post a Comment