BAB 1
Hujan yang lebat menimpa tubuhnya tidak diendahkan. Walaupun sejuknya sampai ke tulang, dia masih melangkah. Perasaannya berkocak mengenangkan peristiwa tadi. Sungguh, kalau diberi pilihan dia lebih rela tidak mengetahuinya. Memang benar, ada kalanya kebenaran itu lebih menyakitkan.
Dia cuba menenangkan hatinya yang bergelora, tangannya digenggam kuat. Mengusir rasa sebak yang kian melanda. Namun dia gagal… pipinya mula banjir dengan air mata. Bersatu dengan hujan yang bagai memahami kepedihan hatinya. Dia masih melangkah walaupun kepalanya mula memberat.
Silau daripada cahaya menyebabkan dia mengecilkan mata. Sebuah kenderaan sedang laju menuju ke arahnya. Kakinya kaku, keras… terasa tidak mampu bergerak walau setapak. Dia pasrah andai ini penamat hidupnya. Dia lebih rela mati daripada hidup dengan kenyataan yang menyakitkan. Alma memejamkan mata. Menunggu saat kereta itu merempuh tubuhnya.
Berdecit tayar kereta memecah kepekatan malam. Alma membuka matanya. Ternyata kereta tadi sempat mengelak dari melanggar tubuhnya. Entah kenapa, sedikit sebanyak hatinya terasa lega. Satu perasaan muncul dalam hati. Dia masih mahu hidup!
Seorang pemuda keluar dari kereta tersebut dengan muka marah. Langkahnya kemas menuju ke arah Alma.
“ Kau dah gila ke jalan tengah jalan malam-malam macam ni? Kalau aku terlanggar kau macam mana? Kau nak sangat mati ke?” Melengking kuat suara lelaki itu menerjah ke telinganya. Lelaki itu sudah mencekakkan pinggangnya.
Alma memandang paras lelaki itu. Pandangannya mula berbalam tapi cuba dikelipkan matanya beberapa kali. Dia memeluk tubuh. Badannya menggeletar kuat. Sejuk yang amat. Bibirnya cuba meyatakan sesuatu. Terasa payah. Bagaikan begitu berat sekali.
Tiba-tiba bahunya dicengkam kuat. Alma terkedu.
“Apa…apa awak nak buat ni?”Alma diserang perasaan bimbang. Takut lelaki itu mengapa-apakannya. Dah la jalan itu sunyi.
Lelaki itu tersenyum sinis.
“Ada pun suara. Aku ingat aku bercakap dengan orang bisu tadi.”
Alma menepis tangan lelaki itu yang mencengkam bahunya. Dia ingin pergi. Pergi jauh dari sini. Dia memusingkan tubuhnya. Baru setapak dia melangkah kakinya terhenti. Lelaki itu menghalang langkahnya dengan berdiri memeluk tubuh di depannya.
“Awak nak apa lagi? Bersyukur la yang awak tak langgar saya tadi. Jadi, izinkan saya pergi. Saya tak berhutang apa-apa dengan awak?” Lemah Alma bersuara.
“Mudahnya kau cakap. Macam mana kalau aku terlanggar kau tadi?”
“Tapi kenyataannya awak tak langgar kan?”
Firyal terdiam tapi dia masih tidak puas hati. Mujur saja dia sempat menekan brek tadi, kalau tidak pasti wanita di hadapannya sudah terbujur kaku. Tapi riak wajah di hadapannya langsung tidak menunjukkan rasa bersalah. Menyebabkan dia diterjah perasaan marah.
“You owe me an apology.” Keras Firyal membalas.
“Why should I?” Pandangan Alma mula berbalam. Dia memegang kepala. Sakit mencucuk.
Firyal menggeleng tak percaya. Degil sungguh perempuan ni. Dah salah sendiri tapi tak mahu mengaku!
“Kau tanya kenapa? Kau…” Kata-kata Firyal terhenti bila Alma sudah rebah. Terbaring tidak sedarkan diri.
Dia tergamam. Tidak jangka akan berhadapan dengan situasi begini. Ditepuk berkali-kali pipi wanita itu tapi Alma masih tidak sedarkan diri. Firyal panik, tidak tahu mahu berbuat apa. Wajah pucat itu dipandang risau. Dirinya juga sudah lencun. Tanpa berfikir panjang dia mencempung tubuh itu masuk ke dalam keretanya.
******************
Alma membuka matanya perlahan-lahan. Matanya dihadapkan dengan keadaan bilik yang begitu asing sekali. Ini bukan biliknya! Bingkas dia duduk menegak. Selimut yang menyelimuti tubuhnya ditolak ketepi. Dia memandang tubuhnya. Mujur dia masih lagi berpakaian. Tapi…Alma menelan liur. Terasa kesat. Dia menggenggam baju tidur yang dipakainya erat.. Dia masih ingat yang semalam dia memakai blaus dan seluar slack. Tangannya beralih ke kepala. Tudungnya juga sudah entah ke mana. Terasa satu perasaan membuak-buak di dadanya. Rasa marah dan sedih bersilih ganti.
Hatinya cuba ditenangkan terlebih dahulu. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya dengan perlahan. Alma menahan perasaan yang berkecamuk. Dia turun dari katil yang bercadarkan ungu lembut itu dan berjalan ke arah pintu. Tangannya memulas tombol pintu namun belum sempat dia membuka pintu tersebut ianya ditolak dari luar.
Matanya membulat bila lelaki yang hampir melanggarnya malam tadi muncul di hadapannya. Kakinya menapak ke belakang apabila lelaki itu mula melangkah masuk.
Bibir Alma terketar. Perasan yang dirinya tidak bertudung lantas selimut di atas katil dicapainya pantas dan lantas dia membalut kepalanya. Dia menapak jauh dari katil apabila dengan selambanya lelaki itu melabuhkan duduknya di hujung katil. Namun dia sedar, sepasang mata itu tidak lepas dari memandangnya.
“Macam mana awak boleh ada kat sini?” terlontar juga satu pertanyaan dari mulut Alma.
Firyal hanya tersenyum sinis. Tahu yang Alma sedang gementar, takutkan dirinya mungkin. Lantas muncul satu idea untuk mengenakan wanita itu sebagai balasan kerana begitu degil tak nak mengakui kesalahan sendiri malam tadi.
Firyal bangun dan mula mendekati Alma. Hatinya digeletek lucu apabila wajah itu sudah bertukar riak. Wajah takut diapa-apakan!
Alma tersentak apabila Firyal semakin mendekatinya. Wajah lelaki itu yang serius begitu menakutkannya. Spontan kakinya melangkah ke belakang. Alma tergamam apabila belakang badannya sudah rapat ke dinding, tiada lagi ruang untuk lari. Firyal pula sudah mengepungnya di tengah-tengah.
Tanpa berfikir panjang Alma meletakkan tangannya di dada bidang Firyal. Cuba menjauhkan jarak mereka. Terasa ingin menyumpah bila lelaki itu tidak berganjak walau ditolak berkali-kali.
“Kau takut?” sengaja Firyal bertanya sedangkan dia boleh nampak yang Alma sedang dalam ketakutan. Siapa suruh cari pasal dengan lelaki yang bernama Azhan Firyal? Akan dibalas cukup-cukup biar hatinya puas.
“Awak jangan nak buat apa-apa kat saya. Nanti saya jerit.” Dengan terketar-ketar Alma membalas.
Firyal menjongketkan keningnya. Tak terasa terancam pun dengan ugutan wanita itu.Firyal menundukkan kepalanya. Alma menoleh ke kiri, tidak sanggup melihat wajah itu mendekat.
“Lepas tu kau nak tahu aku jawab apa bila diorang tanya kenapa kau jerit?” Alma hanya senyap. Menunggu Firyal menyambung bicara. Namun tangan kecilnya masih lagi berusaha untuk keluar dari kepungan Firyal.
“Aku akan cakap yang kau ni isteri aku tapi kau tak nak layan aku. Kau ingat diorang akan percaya siapa? Percaya pada kau atau aku? For sure la percaya kat aku sebab ini rumah aku.” Selamba Firyal menuturkannya, langsung tiada perasaan bersalah.
Isteri? Dia nak cakap kat orang yang aku ni isteri dia?Gila! Entah dari mana datangnya keberanian, dengan pantas Alma memijak kaki Firyal sekuat hati.
Firyal tertunduk memegang kakinya yang dipijak oleh Alma. Badan je kecil tapi sakit juga penangan wanita itu. Muka Firyal merah menahan sakit dan marah.
“Kau…kau memang nak kena dengan aku kan. Kau dah lama sangat hidup ke?” giginya diketap geram. Bengang sampai ke kepala. Berani betul Alma memijaknya. Dah la sakitnya bukan kepalang. Mau bengkak kaki kiri ni.
Alma membetulkan selimut yang hampir terlurut dari kepalanya lalu dia mencekak pinggang. Entah dari mana semangatnya datang pun dia tak tahu. Tapi dia benar-benar marah apabila perkataan isteri disebut. Tak ingin dia menjadi isteri lelaki itu. Perangai pun tak semenggah.
“Sakit ke?”Alma mengejek. Firyal masih lagi memegang kakinya. Sungguh kakinya memang sakit. Alma memang melampau!
“Lain kali jangan cari pasal dengan saya. Awak tak kenal lagi siapa saya.” Sejurus itu Alma melangkah ingin keluar dari bilik itu tapi telinganya dapat menangkap butir bicara Firyal.
“Tak kisah la aku kenal ke tak, yang penting malam tadi kau dah jadi milik aku.”
Langkah Alma terhenti. Apa maksud lelaki itu? Dia memusingkan tubuhnya dan menghadap Firyal. Tangannya digenggam erat. Menyalurkan kekuatan pada dirinya.
Firyal bangun dengan sebelah kaki dan menjingkit. Duduknya dilabuhkan ke katil. Kakinya yang sakit disilangkan ke kaki kanan. Muka Alma yang merah menahan marah dipandang tanpa perasaan.
“Apa maksud awak?” Alma inginkan jawapan.
“Kau tak perasan ke yang baju kau dah bertukar dari apa yang kau pakai malam tadi? And one more thing, this house is mine. Bilik ni pun bilik aku, selimut yang kau pegang tu pun selimut aku. Kau boleh bayangkan sendiri tak apa yang ‘dah’ terjadi antara kita?” Firyal menekankan perkataan ‘dah’, ingin Alma mengerti situasi antara mereka.
Alma menggeleng tak percaya. Semangatnya terbang entah ke mana. Jiwanya rapuh saat ini.
“Tak…awak tipu. Saya tahu awak tipu. Awak sengaja nak sakitkan hati saya dengan kenyataan yang tak benar kan?” Alma cuba menafikan. Dia tidak dapat terima dengan apa yang Firyal katakan.
Firyal menjongketkan bahunya. Tanda tidak kisah.
“Depends on you whether you want to accept it or not. But the important thing is you are mine right now. In and out…”
Alma terduduk. Kakinya terasa lemah. Matanya sudah penuh dengan air mata, menanti untuk tumpah ke pipi mulus itu.
“Awak…awak kejam. Apa salah saya sampai…sampai awak sanggup buat saya macam ni? Kenapa awak berdendam dengan saya?” tersekat-sekat Alma bertanya. Mahu saja dia bunuh lelaki ini kalau tidak difikirkan undang-undang dalam negara ini yang akan menyabitkan kesalahan bagi seorang pembunuh.
“Kau bersalah sebab kau buat aku sakit hati dengan sikap kau yang tak nak minta maaf dan akui kesalahan kau malam tadi!” keras Firyal membalas. Hatinya sedikit tersentuh dengan air mata yang mulai jatuh dari pipi itu tapi dikeraskan semula hatinya. Wanita ini perlu diajar! Jangan perlekehkan lelaki sepertinya.
Alma memejamkan matanya. Diketap bibirnya kuat. Hanya sebab itu? Hanya sebab itu lelaki itu berdendam dengannya? Kesalahannya tidak lah sebesar mana tetapi lelaki itu membalas seolah-olah dia telah melakukan satu kesalahan yang sangat besar. Lelaki itu memang tidak berhati perut!
“Saya benci awak! Sampai mati pun saya akan benci awak!” dengan pantas Alma bangun dan keluar dari bilik itu.
Firyal tersentak. Entah kenapa dia tidak suka dengan apa yang Alma luahkan tadi.Dengan terjengket-jengket dia mengejar tubuh Alma yang sedang menuruni tangga, ingin ke pintu utama. Lengan wanita itu dicapai lalu dihadapkan tubuh itu ke arahnya.
“Kau nak pergi mana?”Firyal bertanya kasar.
Alma menepis pegangan lelaki itu. Tapi belum sempat dia melangkah. Lengannya dipaut lagi sekali. Erat sehingga dia terasa sakit tapi dia tidak menunjukkan sakit yang dia rasa kerana sakit di hatinya lebih parah!
“Kau nak pergi mana?” sekali lagi Firyal bertanya.
“Saya nak keluar dari rumah ni. Tolong lepaskan saya.”
“Kau tak boleh keluar dari sini.”
“Awak tak ada hak untuk halang saya keluar dari sini! Setelah apa yang awak lakukan pada saya awak masih lagi buat begini? Awak nak tahu sesuatu tak? Awak lah manusia yang paling kejam sekali yang saya pernah jumpa kat dalam dunia ni. Awak punyai sekeping hati yang sangat busuk. Saya berharap yang hidup awak tak akan tenang lepas ni!” air mata yang membanjiri pipinya dikesat kasar. Dia sudah kehilangan sesuatu yang begitu berharga dalam dirinya. Apa lagi yang lelaki ini mahukan darinya.
“Kau boleh cakap apa yang kau suka tapi kau tak boleh keluar dari sini.” Lantang Firyal membalas. Sedikit sebanyak hatinya terasa dengan apa yang Alma katakan. Tidak akan bahagiakah dia nanti?
“Kalau macam tu mungkin saya patut bagi awak ini…”Alma memijak dengan sekuat hati kaki Firyal yang sebelah kanan pula. Setelah pegangan Firyal terlerai, dengan pantas dia melarikan diri tanpa mempedulikan Firyal yang sakit buat kali keduanya. Hatinya yang sakit lebih penting dari kesakitan luaran yang dialami oleh Firyal!
No comments:
Post a Comment