Saturday, 24 May 2014

Cerpen : Cinta Sempurna






Air minumannya dihirup sedikit. Safina tersenyum manis. Sedikit masa lagi Nazrin akan muncul di hadapannya. Dia sudah terlalu rindukan Nazrin kerana sudah hampir lima bulan mereka tidak berjumpa. Dia faham akan tugas Nazrin yang bekerja sebagai seorang pilot. Sering saja terbang ke negara orang. Nazrin terlalu sibuk sehinggakan tiada masa untuk dia. 

Dan apabila Nazrin menghubunginya pagi tadi menyatakan hasrat ingin berjumpanya, Safina rasa seperti di awang-awangan. Hari yang dilaluinya tiba-tiba dirasakan cerah dan penuh dengan rasa bahagia. Ah, betapa rindunya dia terhadap Nazrin! Andainya Nazrin tahu, pasti Nazrin akan mengusiknya seperti kebiasaan yang Nazrin lakukan.

Keadaan yang agak bising di restoran itu tidak dihiraukan Safina. Dia hanya membilang detik untuk Nazrin memunculkan diri. Hanya Nazrin yang berada di fikirannya sekarang ini. Beberapa minit kemudian mata Safina bersinar terang bila tubuh Nazrin muncul dari pintu masuk. Dan senyuman Safina semakin lebar bila Nazrin duduk di hadapannya.

“ Aku ada lima minit je untuk kau. Aku harap kau dengar betul-betul apa yang aku nak cakap.” Dingin suara Nazrin menuturkan ayat itu. Langsung tiada segarit senyuman pun di bibir Nazrin.

Safina tergamam. Kenapa tiba-tiba Nazrin begitu dingin dengannya? Selama ini tidak pernah Nazrin berbahasa aku kau dengan dia. Safina mula rasa tidak sedap hati.

“ Erk… kita order dulu. Lepas tu kita…” kata-kata Safina tersekat di kerongkong bila Nazrin pantas memotong.

“ Aku tak ada masa nak duduk bersembang dengan kau sekarang ni!” Nazrin membentak kasar.  Tidak dihiraukan akan pandangan pengunjung lain di restoran itu.

Mati terus senyuman Safina. Tersayat hatinya. Ini adalah kali pertama Nazrin meninggikan suara kepadanya.

“ Nazrin, kenapa dengan awak? Awak ada masalah ke? Awak  nampak tertekan. Kalau… kalau awak ada masalah awak boleh berkongsi dengan saya.” Perlahan Safina memujuk. Dia seakan mati akal berhadapan dengan Nazrin yang seolah-olah benci memandangnya.

 “ Aku dah tak nak jumpa kau lagi lepas ni. Aku dah penat berpura-pura sayangkan kau. Cukuplah sampai sini.” Nazrin tersenyum sinis. Senyuman yang tidak pernah ditunjukkan oleh Nazrin sepanjang mereka berkenalan.

“ Nazrin, apa yang awak cakap ni? Saya tak faham…” dahi Safina berkerut cuba mencerna apa yang dimaksudkan oleh Nazrin.

“ Kau tak faham-faham lagi ke? Aku nak putuskan hubungan pura-pura ni. Aku dah tak tahan nak tengok muka kau. Cukuplah aku terpaksa bertahan selama dua tahun lebih ni mencipta hubungan yang aku sendiri jelek.” Ah, betapa bencinya dia terpaksa menghadap muka Safina!

Safina menggeleng kepala. Masih belum boleh menelan ayat Nazrin yang terlalu melukakan.

“ Saya tak faham. Apa yang buat awak cakap begini. Saya… saya minta maaf kalau saya ada sakitkan hati awak tanpa saya sedar tapi awak jangan… jangan sampai nak putuskan hubungan kita. Saya sayangkan awak Nazrin. Saya tak boleh hilang awak.” Suara Safina bergetar. Hampir tersekat nafasnya meluahkan ayat itu. Dadanya rasa sakit.

“ Kau tak faham lagi ke Fina? Aku nak berambus dari hidup kau. Aku nak hidup tanpa ada bayangan kau lagi.” Marah Nazrin lagi. Mukanya bengis. Dia langsung tidak kasihan pada Safina yang sudah merah mukanya seperti ingin menangis…

“ Tapi kenapa tiba-tiba? Selama ini hubungan kita tak pernah ada masalah.” soal Safina perlahan. Dia jadi takut dengan apa yang bakal Nazrin muntahkan.

“ Kau ingat aku suka kau? Kau ingat aku sayang kau? Kau jangan nak bermimpilah! Untuk pengetahuan kau, aku tak pernah sayang kau. Selama ni aku hanya berpura-pura sayangkan kau. Kalau tak sebab aku bertaruh dengan kawan-kawan aku untuk dapatkan kau, jangan haraplah aku nak baik-baik dengan kau. Kau tak lebih tak kurang hanya sekadar piala untuk aku tayang pada kawan-kawan aku.” Nazrin puas bila akhirnya dia dapat meluahkan. Dia dah cukup terseksa dengan permainan yang diaturkannya sendiri.

“ Nazrin!” Inikah perangai sebenar Nazrin? Selama ini Nazrin hanya berpura-pura menyayanginya… kenyataannya Nazrin tak pernah sukakannya. Dia salah menilai Nazrin rupa-rupanya. Dia memberi hatinya pada orang yang salah…

Nazrin ketawa mengejek. Tawa yang mencalarkan lagi hati Safina.

“ Kau jangan nak beranganlah Fina. Cermin diri kau tu sikit. Kau siapa nak bergandingan dengan aku. Kau ingat muka kau cantik sangat sampai aku nak tergila-gilakan kau? Orang hodoh macam kau ni patut dapat lelaki yang hodoh macam kau jugak. Bukan lelaki macam aku yang sempurna dari segala segi. Kau langsung tak layak untuk aku!” tutur Nazrin bongkak.

Safina ketap bibir. Dia sedar dia bukan kategori wanita cantik tapi Nazrin tak perlu menghinanya sebegitu 
rupa. Jika dahulu Nazrin tidak menagih kasihnya, pasti dia tidak akan jatuh tersungkur di kaki Nazrin. Ah, dia yang terlalu lemah kerana begitu mudah menerima kasih yang dihulurkan oleh Nazrin.

“ Kalau awak tak suka saya, kenapa awak dekati saya? Saya tak pernah buat jahat dengan awak. Saya tak pernah susahkan hidup awak tetapi kenapa mesti awak mainkan saya sehingga begini sekali?  Awak ingat saya tak ada hati dan perasaan? Awak ingat saya patung yang tak ada rasa sakit bila awak perbodohkan saya? Awak memang melampau Nazrin…” suara Safina sarat dengan kepedihan.

Look here Fina. Kau ingat aku tak tahu yang kau memang tergila-gilakan aku sejak kita sekolah lagi? Memang kau simpan angan-angan untuk hidup bersama dengan aku. Huh, kau ingat aku dah hilang akal untuk pilih kau jadi ratu hati aku? Oh pleaselah… takkanlah aku akan pilih Safina Adilea Husin a.k.a Miss Ugly sebagai idaman kalbu. Aku belum cukup gila lagi…” ujar Nazrin. Safina langsung tak layak untuknya.

“ Hai sayang…”

Safina mengangkat muka bila dengar satu suara yang begitu dikenalinya dulu. Liyana…

“ Hai baby…” sambut Nazrin mesra sambil memaut bahu Liyana yang terdedah.

“ Sayang dah beritahu dia hal sebenar?” Tanya Liyana manja sambil melentokkan kepalanya di bahu Nazrin.

Safina menundukkan kepala. Air mata yang ingin keluar ditahan agar tidak tumpah. Dia tidak sanggup menyaksikan kemesraan pasangan di hadapannya. Perasaannya berkecamuk dengan seribu rasa.

Nazrin tersenyum sinis sambil menganggukkan kepala.

“ Kau ingat lagi Liyana? Girlfriend aku sejak sekolah lagi dan kalau kau nak tahu, dia masih lagi kekasih aku sampai sekarang. Kau fikir aku akan tinggalkan dia yang cantik jelita ni demi kau yang langsung bukan taste aku? Usah mimpilah. Mati hidup semula pun aku tak akan pernah sukakan kau. Kau tak ubah umpama tisu. Aku akan guna bila aku nak guna dan aku akan buang setelah aku habis guna… ”

Tanpa dapat mengawal perasaan yang semakin membara di hati, Safina capai gelasnya yang berada di atas meja dan menyimbah ke muka Nazrin yang dirasakannya sangat kurang ajar.

“ Hei perempuan….” Marah Liyana.

“ Kau diam! Hei Nazrin… kau ingat aku hadap sangat nak berkasih dengan kau? Jangan nak perasan! Kau ingat kau bagus sangat? Mengenali kau merupakan perkara yang paling aku menyesal sekali sepanjang aku hidup kat atas muka bumi ni!” Safina menghamburkan kemarahannya.

And one more thing… kau cakap aku tak layak untuk kau? Sebenarnya kau yang tak layak untuk aku! Aku boleh dapat lelaki yang lagi bagus dari kau kalau kau nak tahu.” Sempat Safina menghadiahkan sindiran pedas sebelum berlalu pergi dengan muka yang merah menyala. Air mata mengalir lemah menuruni pipi seakan memahami kepedihan hatinya



******************


Safina jalan dengan hati yang berkecamuk. Pandangannya kosong. Sampainya hati Nazrin perlakukan dia sehingga ke tahap ini. Nazrin permainkan dia seperti dia tidak ada harga diri.

Dia mengeluh lemah. Tadi sememangnya dia berlagak berani di hadapan Nazrin dan Liyana. Dia tak nak kelihatan lemah tapi kini semangatnya hilang. Hatinya hancur… dia ikhlas sayangkan Nazrin namun siapa sangka Nazrin sekadar ingin permainkan dia.

Air matanya yang keluar dibiarkan tanpa ada niat untuk menghapuskannya. Bibir diketap rapat bagi menghalang esakan pecah di bibirnya. Sudahlah Fina… tak berbaloi kau menangis disebabkan lelaki tu. Tetapi air matanya masih berterusan mengalir. Fina mencengkam dada yang terasa nak pecah. Sakitnya…

“ Wei buta ke?” Safina terduduk bila tubuhnya dilanggar kasar. Kakinya rasa lembik. Dia rasa hilang tenaga untuk kembali bangkit. Pandangannya kabur dengan air mata…

“ Kat mana kau letak mata sampai aku yang besar macam ni pun kau tak nampak?” marah satu suara. Lelaki…

Esakan Safina pecah. Terhenjut-henjut bahunya kerana menangis. Nazrin jahat! Nazrin lelaki kejam! Nazrin memang tak guna!

“  Hei takkan aku tengking sikit pun nak menangis. Tak payahlah menangis beria sangat.” Tegur lelaki itu. Dia menggaru kepala yang tidak terasa gatal. Kenapa perempuan ni menangis? Sakit sangat ke jatuh terduduk?

“ Apa salah saya sampai dia sanggup buat saya macam ni? Saya ikhlas sayangkan dia tapi kenapa dia permainkan hati saya? Kenapa? Orang macam saya tak layak untuk bahagia ke?” luah Safina penuh perasaan. Dia sudah tidak peduli siapa di hadapannya kini. Dia cuma nak luahkan apa yang terpendam di hatinya.

“ Apa yang kau merepek ni?”

“ Kalau niat dia nak sakitkan hati saya, dia dah berjaya. Hati saya dah hancur sekarang ni. Saya benci orang macam dia. Saya benci!” sampai mati pun dia tak akan maafkan Nazrin. Tak akan!

“ Hei, relaks… kau marah siapa sebenarnya ni?” Tanya lelaki itu lagi. Dia turut mencangkung di hadapan wanita itu yang dirasakannya sedang tertekan. Dibeleknya muka wanita itu dan terlintas satu wajah di kotak ingatannya.

“ Kejap… kau ni Safina Adilea kan?” dia yakin yang wanita ini adalah Safina. Dia sangat pasti! Senyuman sinis dah terukir di bibirnya.

Safina lap sisa air matanya. Wajah yang berada di hadapannya kini dia renung tanpa berkelip. Dia telan air liur. Macam mana dia boleh terserempak dengan lelaki ni kat sini?

“ Aku Redza Akif. Do you still remember me?”


Safina gigit bibir. Mana boleh dia lupa lelaki bernama Redza Akif. Sampai bila-bila pun dia tak akan lupakan Redza. Lelaki yang telah banyak kucar kacirkan hidupnya suatu ketika dahulu. Lelaki yang pernah buat hidupnya tidak pernah aman. Musuh lamanya!


Bersambung...


P/S: Inilah jadinya bila dah lama tak menulis... (-_-")

5 comments:

  1. smbng lagi ♥
    smbng lah e novel yg lain sama :)

    ReplyDelete
  2. best! :) ..xsabar nk bc smbgn ...kalau cerpen ni complete...lagi super best! ehehe2 :D
    & sambung gak novel 'akanku tawan cintamu!' ...hehe2 ..

    ReplyDelete
  3. Nk lg...pleaseee..smbg lg....

    ReplyDelete