“ Kau pergi jumpa jantan mana tadi???!!!” suara yang melengking kuat itu membuatkan Norisah tersentak. Dia terkejut bukan kepalang sehingga jatuh cawan yang berada di pegangannya. Belum sempat dia tunduk mengutip kaca yang pecah berderai di lantai tiba-tiba rambutnya dicengkam kuat oleh Ikhwan.
“ Aku tanya kau ni, kau pergi jumpa jantan mana tadi hah?!” sekali lagi suara itu dipekikkan ke telinga Norisah. Matanya terpejam sesaat. Hatinya begitu gentar bila wajah Ikhwan begitu bengis sekali. Wajah yang langsung tiada belas kasihan.
“ Itu…itu kawan saya. Saya terserempak dengan dia masa beli barang dapur tadi.” Norisah bersuara takut-takut. Risau kalau tangan Ikhwan pula yang hinggap ke mukanya.
“ Penipu! Kau jangan nak cuba tipu aku. Aku nampak apa yang korang buat tadi.” Semakin kuat cengkaman Ikhwan di kepala Norisah. Dia menyeringai. Kulit kepalanya rasa mahu tercabut. Norisah memegang lengan Ikhwan. Menghalang lelaki itu dari terus menarik rambutnya.
“ Saya tak tipu…kenapa awak suka tuduh saya yang bukan-bukan? Tak boleh ke awak percaya pada saya? Saya ni isteri awak.” Memang benar tadi dia terserempak dengan kawan lamanya. Mereka hanya berbual kosong namun dia tak sangka yang Ikhwan turut berada di situ. Sejak dulu lagi Ikhwan tidak pernah percaya dengan apa yang dia lakukan. Lelaki itu selalu berprasangka. Bagaimana lagi cara untuk buat Ikhwan percaya kepadanya? Cemburu lelaki itu begitu melampau sekali. Cemburu buta! Cemburu yang memakan dirinya.
“ Sebab kau isteri aku la aku tak percaya. Belakang aku kau layan jantan lain rupanya.” Kali ini Ikhwan mencengkam rahang Norisah. Kejap.
“ Saya tak pernah terfikir pun nak curang pada awak. Tak boleh ke kalau kali ni awak percaya pada saya?” air mata yang dari tadi Norisah tahan tumpah juga. Ikhwan memang kejam! Dia dilakukan seperti binatang. Boleh dipukul sesuka hati. Tidakkah Ikhwan tahu yang dia juga punyai perasaan. Dia juga tahu rasa sakit.
“ Kau perempuan yang tak boleh dipercayai ! Jangan ingat aku tak tahu yang kau ada hubungan dengan lelaki lain kat belakang aku! Perempuan tak guna!!!” pipi Norisah ditampar berkali-kali.
Dia tak mampu untuk melawan bila sekali lagi Ikhwan menggunakan kekasaran. Tubuhnya terdorong ke belakang. Dan tidak semena-mena kakinya terpijak kaca yang pecah tadi. Sakit! Norisah terjelopok ke lantai bila kakinya tak mampu lagi menampung tubuhnya. Kepala Norisah berdenyut-denyut akibat tamparan yang Ikhwan hadiahkan buatnya.
Ikhwan mencangkung di depan Norisah. Wajahnya begitu sinis sekali. Kepala Norisah ditunjal beberapa kali sebelum Ikhwan menyambung kata. “ Jangan harap kau boleh lepas dari aku. Sampai mati pun kau akan hidup dengan aku. Tanam apa yang aku cakap ni dalam kepala otak kau.” Kepala Norisah ditujah oleh Ikhwan dengan kasar sebelum pergi meninggalkan wanita itu keseorangan di dapur.
Norisah memegang kaki yang berdarah. Darah mengalir membasahi lantai dapur. Dia mengetap gigi menahan kesakitan.. Bibirnya terasa perit. Darah yang berada di tepi bibir dikesat dengan hujung lengan. Air mata dibiarkannya mengalir. Biarlah…air mata ini sudah tidak punya harga lagi. Begitu murah ianya keluar.
Sesungguhnya perkahwinan ini satu kesilapan! Tak pernah sehari pun dia bahagia menjadi isteri lelaki yang bernama Ikhwan. Hari-hari yang dilalui penuh derita. Dia diselubungi ketakutan yang bukan sedikit bila bersama Ikhwan. Sepatutnya seorang suami melindungi isterinya tapi hidup dia sebaliknya. Ikhwan begitu tegar sekali memukul dirinya tanpa belas. Rasa kasihan Ikhwan terhadapnya tak pernah ada. Tahukah Ikhwan yang dia juga mahu bahagia seperti wanita lain. Wanita yang bahagia di samping suaminya.
Luka di badannya ini hanya sedikit jika nak dibandingkan dengan luka yang sudah lama bernanah di hati. Norisah tersenyum pedih.
*********************************
“ Kenapa muka kau lebam-lebam ni?” Aida menyentuh muka Norisah. Terpamer riak kerisauan di wajah Aida. Patutlah Norisah cuti beberapa hari. Rupanya kawannya itu dalam kesakitan. Itu pun kesan lebam di wajah Norisah masih belum hilang sepenuhnya.
“ Jatuh tangga.” Tak perlulah dia ceritakan hal yang sebenar. Rasa seperti membuka pekung di dada sendiri. Malu jika Aida tahu yang Ikhwan memukulnya lagi. Rasanya sudah tak terbilang dengan jari Ikhwan telah menyakiti tubuh badannya.
“ Kau jangan nak tipu aku la. Ikhwan pukul kau lagi?” Aida mendengus. Dia nampak tidak puas hati. Sakit hati bila Norisah masih mengelak. Aida sangat yakin yang suami Norisah adalah penyebab kenapa muka wanita itu lebam-lebam. Itu yang dia nampak. Yang dia tak nampak?
“ Berapa kali aku nak cakap? Aku jatuh tangga, bukan Ikhwan yang pukul.” Norisah tunduk ke lantai. Tak sanggup menentang mata Aida. Takut pembohongannya terbongkar.
“ Kau tak payah nak kelentong aku. Aku tahu bezakan lebam jatuh tangga dan lebam kena pukul.” Kalaulah dia ada kuasa, mahu je dia lenyapkan Ikhwan dari muka bumi ini supaya lelaki itu tidak lagi dapat menyakiti Norisah. Hanya lelaki dayus je yang berani mengangkat tangan pada wanita! Ah, Ikhwan memang lelaki dayus!
Norisah terdiam.
“ Kenapa dia buat kau macam ni? Ni bukan kali pertama dia pukul kau. Dah banyak kali.”
“ Kitorang salah faham sikit.” Sikit ke Nor? Hati kecilnya bertanya. Dia tersenyum kecewa. Dia tak mampu lakukan apa-apa.
“ Sikit apa kalau macam ni? Dia dah melampau sangat la. Kau tak patut biarkan perkara ni macam ni. Kau patut laporkan pada pihak berkuasa.” Dari dulu lagi Aida menyarankan Norisah supaya melaporkan pada pihak berkuasa namun Norisah menolak. Tak sampai hati katanya. Norisah terlalu mengagungkan martabat suaminya itu.
Memang benar yang kita perlu menghormati seorang suami, jaga maruahnya tapi jika suami itu sendiri yang tidak tahu menghormati harga diri seorang wanita untuk apa lagi perlu hidup bersama. Siapa yang mampu bertahan kalau setiap hari dihadiahkan sepak dan terajang? Tapi Norisah masih lagi sanggup hidup bersama Ikhwan. Norisah bertahan begitu lama. Namun sehari pun dia tak pernah lihat wanita itu tersenyum bahagia sepanjang 4 tahun perkahwinan Norisah dan Ikhwan.
“ Dah la…hal kecil je. Buat apa nak besarkan.” Norisah bersuara perlahan. Dia sendiri tak tahu selama mana dia mampu bertahan. Kalau boleh dia juga ingin pergi dari hidup lelaki itu tapi dia mahu ke mana? Dia hanya ada Ikhwan dalam hidupnya semenjak kematian orang tuanya 3 tahun dulu.
“ Kau cakap hal kecil? Ni bukannya perkara kecil la Nor. Ni dah jadi kes dera tau. Aku tak sanggup tengok kau macam ni. Nak makan pun payah. Jalan pun terhencut-hencut. Ikhwan tu memang jantan tak guna! Lelaki dayus je yang berani angkat tangan kat perempuan.”
“ Walau apa pun dia tetap suami aku.”
Aida mengeluh. Lagi-lagi itu juga yang Norisah cakap. Ikhwan tak layak jadi suami kepada Norisah yang baik hati ni. Lelaki itu terlalu panas baran! Norisah berhak dapat yang lebih baik! Tiba-tiba seraut wajah terlayang di fikirannya.
“ Kalaulah Syahrul tak lepaskan kau…” Aida menekup mulut. Dia berharap bukan itu yang dia cakap tadi. Bagaimana dia boleh lupa yang Norisah tak mahu nama itu disebut di hadapannya lagi?
“ Jangan sebut nama tu lagi!” keras Norisah memberi amaran. Matanya tajam memandang muka Aida yang sudah rasa bersalah. Hati yang sakit bertambah sakit bila Aida menyebut sebaris nama itu. Kalau boleh dia tak nak mendengar nama itu lagi sepanjang hidupnya. Nama yang telah memberi kesan yang begitu besar dalam hidupnya.
“ Maaf…aku..aku tak sengaja.” Aida serba salah. Dia rasa bersalah yang bukan sedikit bila wajah Norisah sudah berubah tegang. Tiada senyuman di wajah itu. Yang ada hanyalah wajah yang penuh kelukaan.
“ Nor…aku minta maaf.” Aida bersuara sekali lagi bila Norisah hanya senyap. Dia tersentak bila Norisah tiba-tiba bangun mahu pergi. Dengan pantas dia capai lengan Norisah. Kaki wanita itu terpaku seketika.
“ Tak apa la. Aku pergi dulu. Esok kita jumpa lagi.” Norisah meleraikan pegangan Aida. Tubuhnya di bawa pergi dari situ.
***********************
“ Nor…”
Norisah berpaling bila ada satu suara menyeru namanya. Dia tergamam. Lidahnya kelu. Kenapa mesti dia bertemu dengan lelaki ini lagi? Setelah hampir 4 tahun menghilangkan diri, lelaki itu kini muncul di hadapannya. Wajah yang paling dibencinya ketika ini. Parut yang ditinggalkan oleh lelaki itu begitu besar. Sampai bila-bila pun parut itu tak akan sembuh. Walaupun perkara itu sudah lama berlalu namun dia tetap tidak boleh lupa. Kenangan yang sungguh menyakitkan!
Tergesa-gesa Norisah pergi meninggalkan tubuh itu dibelakang. Dia tak peduli biarpun lelaki itu menjerit memanggil namanya. Tapi kaki yang masih sakit tertusuk kaca membataskan pergerakannya. Terhencut-hencut dia melangkah.
Sekejap sahaja Syahrul sudah berdiri di depannya. Menghalang dia pergi lebih jauh. Lelaki itu menarik nafas seketika sebelum tersenyum sedikit. Norisah mengalihkan pandangan. Tidak mahu melihat senyuman itu lagi. Senyuman yang pernah menjadi igaunnya suatu masa dulu.
Norisah berganjak ke tepi namun Syahrul masih menghalang laluannya. Norisah mengetap rahang. Bila-bila sahaja marahnya boleh meletus.
“ Nor… kenapa lari?” Syahrul bertanya. Norisah masih marah padanya?
“ Saya bukan Nor!” balas Norisah kasar. Wajahnya cukup serius. Lelaki itu masih sanggup berhadapannya setelah apa yang dilakukan dulu? Hebat…
Syahrul mengeluh. Ternyata rasa marah masih belum surut dari hati Norisah. Mata Norisah penuh dengan kebencian. Memang salahnya tapi apa yang dia mampu lakukan? Ketika itu dia benar-benar tersepit. Tersepit antara kawan baiknya dan juga wanita yang dia sayang.
“ Jangan tipu saya Nor. Awak masih marah saya?” walaupun dia tahu yang Norisah masih marah padanya namun dia tetap ingin bertanya.
“ Untuk apa saya marah awak? Kesalahan apa yang awak lakukan sehinggakan saya perlu marah?” Sinis Norisah membalas. Perlu ke ditanya lagi soalan itu jika lelaki itu sendiri tahu jawapannya.
Syahrul terasa. Norisah memerlinya. Tahukah Norisah yang dia bawa rasa bersalah itu sehingga ke hari ini. Tapi dia lakukan semua itu bersebab!
“ Nor…please. Jangan macam ni. Saya minta maaf. Saya lakukan ni semua demi kebahagiaan awak.”
“ Saya dah pun lakukan apa yang awak mahukan, awak nak apa lagi?” dia sudah pun menurut apa yang Syahrul mahu dia lakukan dulu, jadi untuk apa lagi Syahrul mengungkit ini semua?
“ Awak…awak bahagia?” sudah lama dia ingin bertanya mengenai perkara ini. Semenjak Norisah berkahwin dulu, dia turut membawa diri ke luar negara. Bukan Norisah seorang yang menderita, tapi dia juga merasa keperitan yang sama. Sejak itu dia tak mendengar apa-apa berita dari Norisah. Katalah dia pengecut sekalipun kerana melarikan diri, orang lain tak akan faham apa yang dia rasa.
“ Penting ke untuk awak tahu sama ada saya bahagia atau tidak? saya rasa awak tak perlu tahu. Jangan sibuk nak masuk campur dalam hidup saya. Awak dah lama hilang hak itu.” Bahagia? Tahukah Syahrul yang hidupnya menderita. Tubuhnya sakit. Jiwanya terseksa. Ini ke yang Syahrul mahukan? Sanggup melepaskan dirinya pada Ikhwan atas dasar sahabat. Pasti Syahrul sangka dirinya bahagia. Di mata Syahrul, Ikhwan adalah seorang sahabat yang baik, penyayang tapi itu semua dusta! Ikhwan langsung tak menghargainya sebagai seorang isteri.
“ Saya minta maaf tapi…” Syahrul menghentikan bicaranya. Dia dapat lihat muka Norisah yang lebam-lebam. Kenapa ni? Dah macam kena pukul je. Tapi siapa yang berani lakukan sebegitu rupa kepada Norisah?
“ …kenapa dengan muka awak Nor?” dia menyambung kata. Hatinya risau. Kalau lah dia boleh menyentuh Norisah, sudah lama dia usap wajah wanita itu agar sentuhannya dapat menghilangkan rasa sakit yang dialami oleh Norisah.
“ None of your business!” Norisah meneruskan langkahnya ke kereta. Terlupa yang lebam di mukanya masih belum hilang sepenuhnya. Pasti Syahrul fikir macam-macam.
“ Apa yang awak buat sampai muka lebam-lebam macam ni?” Syahrul mengekori Norisah. Dia pandang wajah wanita itu dari tepi.
“ Mind you own business Syahrul!” hatinya sedikit tersentuh, Syahrul masih lagi seperti dulu. Begitu ambil berat mengenai dirinya.
“ Awak sakit? Jalan pun terhencut-hencut ni. Awak dah pergi klinik? Kalau belum biar saya hantarkan.” Syahrul buat tak peduli dengan apa yang Norisah cakap. Dia betul-betul risau dengan keadaan wanita itu. Kalau diikutkan hati, sudah lama tubuh langsing itu dicempung dan dibawa ke klinik tapi dia masih ingat akan batasnya. Norisah sudah pun bersuami.
“ Part mana yang awak tak faham ni? Jangan ganggu hidup saya lagi ! saya tak nak ada kaitan apa-apa lagi dengan awak.”
“ Tapi Nor…”
“ Shut up!” Norisah meloloskan diri ke dalam kereta. Tidak dihiraukan Syahrul yang mengetuk cermin keretanya. Kakinya pantas menghidupkan enjin kereta dan menekan pedal minyak. Laju keretanya pergi meninggalkan Syahrul yang masih di situ.
*****************************
Norisah menghentikan kenderaannya di tepi jalan. Air mata yang bertakung segera disekanya. Untuk apa lagi Syahrul muncul di dalam hidupnya? Sangkanya dia tidak akan berjumpa dengan Syahrul sampai bila-bila.
Fikirannya melayang pada peristiwa beberapa tahun dahulu. Peristiwa di mana Syahrul bertekad ingin melepaskannya ke tangan Ikhwan.
“ Apa?!” rasa tak percaya yang perkataan tu boleh keluar dari mulut Syahrul.
Syahrul mengeluh perlahan. Pilihan apa yang dia ada sekarang? Hanya ini jalan yang terbaik buat diri mereka.
“ Saya tak ada pilihan lain. Saya rasa lebih baik saya mengundur diri. Ikhwan lebih layak hidup dengan awak kalau nak dibandingkan dengan saya.” perlahan suara Syahrul.
“ Syah!!!” jerit Norisah geram. Kenapa Syahrul boleh terfikir untuk mengambil keputusan ini tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu? Tahukah Syahrul yang dia sangat sayangkan Syahrul. Hatinya sudah penuh dengan nama Syahrul sehinggakan tiada lagi ruang untuk Ikhwan masuk. Malah dia akan selamanya setia pada Syahrul. Tapi kenapa? Kenapa Syahrul sanggup lakukan dia macam ni?
“ Awak kena faham Nor. Saya tak mampu nak bahagiakan awak.” Jelas Syahrul lagi.
Norisah bangkit dari duduk. Tangannya sudah mencekak pinggang menghadap Syahrul yang berdiri membelakanginya. Pandangan Syahrul jauh memandang tasik yang tenang. Setenang wajahnya kini namun tak siapa yang tahu gelora yang mengganas di dalam dadanya.
“ Kenapa awak rasa awak tak mampu? Saya yakin dengan awak. Saya yakin yang saya akan bahagia dengan awak.” Norisah mempersoalkan kata-kata Syahrul.
“ Family awak tak sukakan saya. Mereka lebih sukakan Ikhwan. Lagipun Ikhwan kaya. Dia boleh beri awak kemewahan. Tapi saya? saya tak ada apa-apa untuk diberi pada awak.” Syahrul tersenyum kelat. Dia rasa rendah diri. Memang benar yang dia tak punyai apa-apa. Dia bukan seperti Ikhwan yang lahir dari keluarga yang kaya. Hidupnya hanya biasa-biasa saja. Silapnya juga yang jatuh cinta pada Norisah yang juga dari golongan kaya. Sangkanya keluarga Norisah tidak kisah tapi ternyata dia tersilap percaturan. Sebelah mata pun dia tak dipandang oleh kedua ibu bapa wanita itu.
Tahukah Norisah yang hatinya juga sakit? Jadi, ini saja cara yang dia dapat fikirkan. Lagipun Ikhwan juga mencintai Norisah. Lebih baik dia menyerahkan Norisah kepada orang yang dia percaya mampu menjaga Norisah dengan baik.
“ Dah berapa kali saya beritahu awak yang saya tak pandang itu semua. Saya tak kisah langsung. Saya dah cukup bahagia dengan kasih sayang yang awak ada.” Perlahan Norisah bersuara. Dia tak tahu apa yang berada di kepala Syahrul sekarang ini. Syahrul begitu tekad dengan keputusannya untuk memutuskan hubungan yang telah terbina di antara mereka. Tidak sayangkah Syahrul kepadanya sehinggakan begitu mudah Syahrul hendak menyerahkannya kepada lelaki lain?
“ Awak tak faham sebab awak tak berada di tempat saya sekarang. Cuba awak faham apa yang cuba saya sampaikan ni Nor.” Syahrul meraup wajahnya.
Suasana tegang di antara mereka.
“ Saya nak awak kahwin dengan Ikhwan.” Syahrul menyambung kata bila Norisah mendiamkan diri agak lama. Dia sudah memusingkan badannya berhadapan dengan Norisah yang jelas marah dengan tindakannya.
“ Saya tak nak!” Norisah mengetap gigi. Sabarnya sudah hilang.
“ Nor, tolonglah faham. Hanya dia yang mampu bahagiakan awak.” Rayu Syahrul.
“ Biar saya yang tentukan sendiri siapa yang layak bahagiakan saya.” agak keras Norisah membalas. Geram bila didesak untuk melakukan sesuatu yang dia tak suka. Ingat soal kahwin ni main-main ke? Lagipun dia langsung tiada perasaan pada Ikhwan. Jadi bagaimana dia mahu berkahwin dengan lelaki tersebut. Itu memang kerja gila.
“ Untuk apa awak hidup dengan saya kalau saya sendiri dah tahu nasib hidup kita berdua nanti. Keluarga awak juga tak merestui hubungan kita. Awak nak ke hidup tanpa restu keluarga? Tak berkat nanti perkahwinan kita Nor.” Syahrul menjawab.
Norisah terdiam.
“ Saya rela mengundur diri demi kebahagiaan semua pihak. Awak kena belajar lupakan saya Nor sebab lepas ni saya akan lenyap dari hidup awak untuk selama-lamanya.”
Norisah tersentak dari kenangan silam. Peristiwa tersebut masih belum luput lagi di ingatannya.
Syahrul benar-benar kotakan kata-katanya. Pertemuan mereka di tepi tasik pada petang itu merupakan pertemuan mereka yang terakhir. Setelah itu Syahrul hilang tanpa meninggalkan jejak. Syahrul meninggalkan dia keseorangan dalam mempertahankan perhubungan mereka. Kesudahannya dia benar-benar mengahwini Ikhwan di atas desakan keluarganya.
Dia tidak cukup kuat untuk mempertahankan cintanya jika Syahrul sendiri yang bersungguh-sungguh mahu melepaskan dia pergi. Sangkanya Ikhwan dapat membahagiakannya namun Ikhwan langsung tak menghargai dirinya sebagai seorang isteri. Menjadi isteri buat Ikhwan merupakan perkara yang paling dasyat sekali dalam hidupnya.
Inikah bahagia yang Syahrul katakan? Syahrul begitu yakin sekali yang Ikhwan akan membahagiakannya. Tapi kenapa dalam sehari pun dia tak pernah merasa bahagia?
*****************************
“ Bila kau sampai Malaysia?” Ikhwan bertanya pada Syahrul yang duduk di kerusi depannya. Tangannya diletakkan di atas meja. Dia terkejut apabila dapat panggilan daripada Syahrul malam tadi. Kenapa Syahrul balik? Huh! Kan bagus kalau lelaki itu lenyap saja dari bumi Malaysia ni.
“ Baru seminggu…”
“ Dah seminggu tapi baru sekarang kau jumpa aku?” sinis dia bertanya. Syahrul nampak lebih matang. Wajah di depannya begitu tenang. Dia benci dengan kedamaian yang dipamerkan dari wajah itu.
Syahrul hanya senyum. Seminggu ini dia memang sibuk sebab itu berita kepulangannya tak diberitahu.
“ So, hows’s life?” Ikhwan nampak serabut. Macam ada masalah. Ada sesuatu ke yang dia tak tahu. Dia ingin tahu sama ada Ikhwan dan Norisah bahagia.
“ Macam yang kau tengok ni la. Aku sama je macam dulu. Tak ada apa yang berubah pun.”
“ Kau tak ada sangkut dengan mana-mana perempuan mata biru ke kat sana?”
“ Buat apa nak cari perempuan mata biru? Perempuan melayu kan ramai lagi, diorang berkali ganda lebih baik dari perempuan yang mata biru kat sana.” Syahrul tergelak kecil. Dia tiada hati pada perempuan yang bermata biru. Bukan saja pada perempuan bermata biru tapi pada semua perempuan…hatinya sudah pun diserahkan pada Norisah. Dia juga tak meminta Norisah untuk pulangkan kembali hatinya. Biarlah… dia bahagia asalkan Norisah bahagia.
“ Mana la tau kot-kot taste kau dah berubah.”
“ Kau pulak macam mana? Mesti hidup kau bahagia dengan Nor kan…”
“ Aah. Aku memang bahagia dengan dia. Terima kasih jugak pada kau sebab beralah demi aku dulu. Kalau tak mungkin hari ni aku tak dapat bersama Nor.”
“ Tak perlu ucap terima kasih. Kalau nak dibandingkan kau dan aku, kau lebih layak.”
Syahrul tersenyum sayu.
“ Baru-baru ni aku ada terserempak dengan dia.”
“ Kau ada jumpa dia?” Ikhwan terkejut. Syahrul dah jumpa isterinya? Kenapa Norisah tak cakap apa-apa? Hati Ikhwan membengkak. Berani betul Norisah merahsiakan pertemuan mereka. Siap kau kejap lagi !
“ Yup…tapi aku perasan muka dia lebam-lebam. Kenapa?”
“ Owh…er..dia…jatuh.” tergagap-gagap Ikhwan memberi alasan. Tak tahu nak beri alasan apa. Dia tunduk. Berpura-pura mengacau straw di gelas.
“ Jatuh? Besar jugak lebam tu aku tengok. Kau tak bawa dia pergi klinik ke?”
“ Aku nak bawa tapi dia yang tak nak. Biasa la dia tu, kau macam tak tau. Dia kan cuai sikit. Kejap-kejap jatuh tangga la, terhantuk kat almari la…macam-macam.” Kenapa Syahrul masih sibuk nak tahu pasal Norisah. Norisah itu isterinya! Bukan hak Syahrul ! Nak je dihamburkan kemarahannya di situ.
“ Sebab tu aku serahkan dia pada kau. Supaya kau boleh jaga dia dengan elok. Aku benar-benar harap yang hidup korang bahagia.” Syahrul senyum lagi. Walaupun dia rasa senyuman yang dihulurkan itu tawar.
*****************************
Suasana di meja makan hanya senyap. Norisah diam tidak berkutik. Nasi yang ditelan terasa macam pasir. Serba tak kena jadinya bila Ikhwan pandang dia macam nak telan sejak pulang dari pejabat tadi. Dia sudah masak dengan perangai Ikhwan, kalau macam tu la gayanya, tak mustahil yang tangan kekar itu akan hinggap lagi di tubuhnya.
“ Kenapa tak cakap dengan aku yang kau jumpa Syahrul?” keras Ikhwan bertanya. Mukanya merah menahan marah. Tunggu masa untuk meletup.
Jantungnya seakan berhenti bedetik. Ikhwan dah jumpa Syahrul?
“ Kami terserempak. Bukan saya yang nak jumpa dia.” Norisah cuba untuk membela diri. Tapi dia tak rasa Ikhwan akan percaya. Dari dulu sampai sekarang memang Ikhwan selalu buruk sangka terhadap dirinya.
“ Dia dah balik sekarang ni. Kau suka lah kan?!” tengking Ikhwan kuat. Dadanya berombak ganas. Panas hatinya bila Syahrul sudah kembali ke Malaysia. Kepulangan yang hanya menyusahkan dirinya. Huh!
“ Apa yang awak cakap ni? Kepulangan dia dah tak ada kena mengena dengan hidup kita lagi.” Bentak Norisah. Giginya diketap geram. Dah berapa kali dia ulang benda yang sama namun Ikhwan masih lagi meragui dirinya. Teruk sangat ke dirinya sampaikan Ikhwan langsung tidak mahu percaya walau satu pun patah perkataan dari mulutnya. Sungguh, perkahwinan ini tiada maknanya lagi.
“ Tipu! Aku tahu yang kau masih sayang dia lagi.”
“ Tak… saya…”
“ Apa yang kau mengadu dekat jantan tu hah?! Kau cakap aku yang pukul kau?!” Ikhwan mencengkam bahu Norisah dengan kuat. Dia tak peduli dengan sakit yang Norisah alami kerana hatinya lebih sakit.
“ Sssakit Wan…” berair mata Norisah menahan sakit. Dia cuba melepaskan diri dari cengkaman tangan kekar Ikhwan namun dia gagal. Tiba-tiba Ikhwan menghentak badannya ke dinding. Terpejam matanya sesaat bila belakang badannya terasa sangat sakit. Mahu patah pinggangnya.
“ Ini lah balasannya bila kau mengadu kat jantan tu. Tak sedar diri yang kau dah aku. Perempuan jalang!”
Sesekali Ikhwan menampar pipi mulus Norisah tanpa memikirkan kesakitan yang Norisah alami.
“ Hei kau dengar sini baik-baik perempuan… aku tak izinkan kau jumpa jantan tu lagi. Kalau aku dapat tahu yang kau ada jumpa dia kat belakang aku lagi, nahas kau aku kerjakan!” bergema suara Ikhwan di banglo besar itu.
“ Kau dengar tak?!” Ikhwan bertanya kasar.
Norisah mengigit bibir menahan tangis. Bukan sikit rasa takut yang menyelubungi dirinya saat ini.
“ Jawab bila aku tanya!!! Kau dengar tak?!!” tempik Ikhwan.
Terangkat bahu Norisah dengan jerkahan Ikhwan. Sungguh, tubuhnya rasa begitu lemah sekarang ini. Hilang sudah kudratnya. Dia tak mampu menepis pukul demi pukulan yang Ikhwan hadiahkan. Sudahnya, seperti biasa dia hanya merelakan tubuhnya disakiti.
“ De…dengar…” serentak dengan itu Ikhwan melepaskan tubuh Norisah. Dibiarkan tubuh Norisah yang sudah melorot jatuh ke lantai tanpa sebarang belas.
*****************************
Hari ini merupakan hari yang meletihkan bagi dirinya. Ditambah pula dengan badannya yang tidak berapa sihat akibat penangan Ikhwan malam tadi. Dia juga kurang bertegur sapa dengan rakan pejabatnya kerana dia benar-benar tidak larat untuk beramah mesra dengan orang lain pada hari ini. Aida juga cuba berborak dengannya tapi dia hanya membalas sepatah dua kata. Selebihnya dia hanya tersenyum.
Tepat pukul lima petang dia bergegas meninggalkan pejabat. Pandangan pelik yang Aida lontarkan padanya tidak diendahkan. Mungkin Aida hairan kerana dia jarang balik awal tapi hari ini dia merupakan orang pertama yang keluar dari pejabat.
Norisah duduk di bangku yang disediakan di tepi tasik sambil menikmati tiupan angin yang lembut menampar pipinya. Tasik di situ masih belum berubah. Keadaannya masih sama seperti empat tahun lepas dia datang ke situ bersama Syahrul. Yang berubah hanyalah hidupnya.
Fikirnya tadi dia mahu pulang kerana badannya tidak berapa sihat. Tubuhnya rasa membahang. Kepalanya juga berat tapi entah apa yang merasuk fikirannya untuk datang ke tasik ini. Adakah kerana kepulangan Syahrul menyebabkan dia ingin datang ke sini?
Matanya disajikan dengan panorama yang indah di mana sepasang suami isteri jalan sambil berpegangan tangan. Lelaki tersebut mendukung anak kecil mereka sambil tersenyum manis memandang si isteri. Norisah tersenyum sayu. Alangkah indahnya jika dirinya seperti mereka. Mempunyai suami yang menyayangi dirinya dan dikurniakan anak kecil hasil dari cinta mereka. Dengan hidupnya yang begini rasanya sampai bila-bila pun dia tidak akan mengecapi kebahagiaan tersebut.
Kadang-kadang dia rasa cemburu melihat kawan-kawannya yang bahagia sedangkan dia hari-hari berendam air mata akibat sikap panas baran Ikhwan. Setiap malamnya diselubungi ketakutan.
Norisah membaling seketul batu ke tengah tasik. Tasik yang tenang, berkocak akibat batu tersebut. Tiba-tiba ada beberapa ketul batu turut dilemparkan ke tengah tasik oleh orang di sebelahnya. Norisah menoleh. Dia tergamam.
“ Hai.”
Norisah mendengus.
“ Tak sangka dapat jumpa awak kat sini.” Syahrul sudah pun duduk di sebelah Norisah. Dia memandang Norisah yang sudah memalingkan mukanya. Tidak sudi untuk ditatap oleh sepasang matanya.
“ Awak buat apa kat sini?” Syahrul bertanya bila kata-katanya yang tadi tidak bersambut.
“ Saya nak balik.” Norisah menggigit bibir. Untuk apa dia memberitahu Syahrul yang dia mahu pulang. Syahrul sudah tiada kena mengena dengan dirinya lagi. Hubungan mereka sudah lama berakhir.
“ Duduk dulu Nor. Saya nak bersembang kejap dengan awak.” Syahrul menahan langkah Norisah. Dia tersenyum manis.
“ Saya tak nak.” Norisah menggeleng.
“ Please Nor. Sekejap pun jadi la.”
“ Awak nak apa lagi Syah? Kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi.”
“ Tak boleh ke kita bersembang sebagai kawan?” Syahrul bersuara penuh mengharap. Biarpun mereka bukan lagi kekasih tapi tidak salah jika mereka berkawan.
“ Kawan?” Norisah tersenyum sinis.
“ Saat awak tinggalkan saya dulu saya dah kuburkan nama awak dari hati saya. Awak bukan lagi kekasih saya apatah lagi kawan. Tak akan ada istilah kawan di antara kita sebab saya dah tak nak ada apa-apa kaitan dengan awak lagi.” Tegas Norisah.
“ Awak buang saya Nor?”
Norisah terkedu. Dia agak tersentak dengan pertanyaan Syahrul. Hatinya pedih. Dia tak pernah buang Syahrul tapi Syahrul yang membuangnya dulu. Tahukah Syahrul yang dia begitu sayangkan Syahrul tapi Syahrul lebih rela biarkan dia keseorangan dalam mempertahankan cinta mereka.
“ Let me remind you Mr Syahrul. Bukan saya yang buang awak tapi awak yang buang saya dari hidup awak. Awak dah lupa atau awak nak saya ingatkan awak balik?” Norisah menekan suaranya. Geram bila dituduh sedemikian rupa.
“ Awak sendiri tahu kenapa saya buat macam tu. Saya lakukannya sebab…”
“ Sebab awak nak hadiahkan saya kebahagiaan kan?” Norisah memotong percakapan Syahrul. Dia tersenyum sayu. Balik-balik itu juga yang Syahrul utarakan. Semuanya demi kebahagiaan dirinya tapi Syahrul tahu ke dengan apa yang telah terjadi dalam hidupnya. Hidupnya sudah musnah. Hancur kerana tindakan Syahrul. Itu ke kebahagiaan yang Syahrul ingin hadiahkan kepadanya?
“ Saya sanggup lakukan apa saja demi kebahagiaan awak.”
“ Tapi awak tahu ke jika selama ini saya bahagia atau tidak dengan keputusan awak?” Norisah memandang tepat ke dalam mata Syahrul. Ada riak terkejut di muka lelaki itu.
“ Apa maksud awak Nor?” dahi Syahrul berkerut dengan pertanyaan Norisah. Adakah Norisah tidak bahagia selama ini? Adakah percaturannya selama ini silap?
Norisah senyap. Dia tiada hati untuk membalas. Lalu dia mengorak langkah ingin berlalu tapi pandangannya berbalam. Tubuhnya hampir terjatuh jika tidak ditahan oleh Syahrul. Dia menepis tangan Syahrul yang ingin membantunya berdiri tegak.
“ Don’t touch me!” jerkah Norisah. Dia memegang kepalanya yang semakin berat.
“ Awak tak sihat Nor. Badan awak panas.” Tegur Syahrul. Dia risau bukan kepalang bila lengan Norisah yang dipegangnya tadi panas membahang. Baru kini dia perasan yang muka Norisah pucat. Syahrul mengutuk dirinya. Kenapa dia tidak perasan yang sememangnya dari tadi Norisah tidak sihat?
Norisah tetap dengan degilnya. Dia tak nak dibantu oleh Syahrul. Dia cuba mengorak langkah dengan tubuhnya yang semakin lemah. Pandangannya gelap.
“ Nor!” Syahrul meluru ke arah Norisah yang sudah terbaring di tanah.
*****************************
Syahrul merenung Norisah yang masih belum sedarkan diri. Terngiang-ngiang suara doktor yang merawat Norisah.
“ Awak suami pesakit?”
“ Bukan. Saya kawan dia. Suami dia masih kerja lagi sebab tu saya bawa dia ke sini sebab tiba-tiba je dia pengsan. Teruk ke sakit dia?” kenyataannya dia sendiri tidak pasti sama ada Ikhwan masih lagi di tempat kerja atau tidak kerana dia gagal menghubungi telefon bimbit Ikhwan. Jadi, dia memutuskan untuk tunggu di sisi Norisah sehingga kemunculan Ikhwan. Dia tidak mahu apabila Norisah sedar dan menyedari yang dirinya keseorangan.
“ Encik jangan risau. Dia cuma demam dan kami dah masukkan air ke dalam badannya kerana badannya kekurangan air. Tapi ada satu perkara yang saya musykil.” Doktor wanita itu menyelak laporan pesakitnya yang bernama Norisah. Dahinya sedikit berkerut.
“ Kenapa? Ada apa-apa yang tak kena ke dengan Norisah?” Syahrul berdebar. Dia risau jika Norisah menghidap penyakit berbahaya. Dia tak sanggup menghadapi kenyataan itu.
“ Semasa saya merawat pesakit saya perasan yang badanya ada lebam-lebam.” Jelas doktor tersebut.
“ Lebam?” Syahrul terkejut.
Syahrul tersentak dari lamunannya bila hanphone Norisah berbunyi. Syahrul ragu-ragu sama ada mahu menyelongkar beg Norisah untuk mengambil handphone tersebut atau tidak. Akhirnya dia memutuskan untuk mengambilnya kerana ianya mungkin panggilan dari Ikhwan. Barangkali Ikhwan risau akan Norisah yang masih belum pulang lagi.
Namun jangkaanya meleset bila Aida yang menelefon, bukan Ikhwan. Syahrul menekan butang hijau lalu menekapkan handphone itu ke telinganya.
“ Assalamualaikum. Kau tengah buat apa Nor?” soal Aida
“ Waalaikumsalam.” Syahrul menyahut.
“ Siapa ni?” Aida pelik bila suara lelaki yang menyahut. Itu bukan suara Ikhwan sebab dia kenal suara Ikhwan. Ini macam suara…
“ Syah.” Syahrul hanya menyebut nama pendeknya. Dia yakin Aida masih mengingatinya lagi. Aida bukan saja kawan baik Nor tapi Aida juga kawannya.
“ Syah? Maksud kau Syahrul?” Aida terkejut.
“ Ya…Ni aku. Syahrul Iqbal.”
“ Kenapa kau yang angkat telefon Nor? Dia mana?” Seingatnya Norisah masih belum maafkan Syahrul lagi jadi macam mana Syahrul boleh angkat panggilannya? Ke mana perginya Norisah?
“ Nor tak sihat. Dia kat hospital sekarang ni.”
*****************************
Aida berdiri memeluk tubuh di tepi katil. Kasihan Norisah. Sampai demam temannya itu dikerjakan Ikhwan. Kalau dia mempunyai kuasa, pasti dia akan melenyapkan Ikhwan dari muka bumi ini supaya sinar bahagia kembali hadir di dalam hidup Norisah.
“ Kau masih sayang Nor?”
“ Nor masih lagi di hati aku walaupun bukan aku yang jadi suaminya. Tak ada wanita lain yang dapat mengambil tempat dia di hati aku. Aku mengaku sehingga ke saat ini aku masih sayangkannya.” Syahrul berterus terang. Apa yang diperkatakannya itu memang benar kerana sehingga ke hari ini dia masih sayangkan Norisah. Sudah puas dia kikis perasaan ini tapi dia tak mampu kerana rasa cintanya terhadap Norisah terlalu dalam sehinggakan perempuan lain yang muncul dalam hidupnya tak mampu mengganti tempat Norisah.
“ Kalau sayang kenapa kau lepaskan dia dulu?” Aida menyoal. Dia turut berasa marah dengan tindakan Syahrul yang mengambil keputusan tanpa mempedulikan perasaan Norisah.
“ Kau sendiri tahu yang parents Nor tak suka aku. Diorang lagi suka Ikhwan daripada aku. Takkan kau nak aku kahwin dengan Nor tanpa restu diorang? Lagipun aku sedar yang aku tak mampu memberi kemewahan untuk Nor sedangkan Ikhwan lebih dari mampu.” Syahrul tertunduk.
“ Kau tahu ke yang parents dia dah meninggal?”
Syahrul terkejut. Dia tak pernah tahu yang ibu bapa Norisah meninggal. Kenapa Ikhwan tidak memberitahunya pada pertemuan mereka hari itu?
“ Macam mana kau nak tahu sebab kau dah terbang ke luar negara. Kau dah tak ambil tahu pasal Nor. Kau tak pernah tahu penderitaan yang Nor alami.” Aida menyindir.
Dia mengusap tangan Norisah yang masih belum sedarkan diri. Biarlah Nor tidur dengan tenang seketika ini kerana dia pasti setelah dia menceritakan kebenaran kepada Syahrul, syahrul akan melakukan sesuatu. Sesuatu yang mungkin akan merubah hidup Norisah. Yang pasti, bukan lagi derita.
“ Nor menderita? Apa yang kau cakap ni? Nor bahagia dengan Ikhwan.” Ujar Syahrul.
“ Kenyataannya Nor tak bahagia!” bentak Aida. Kali ini dia perlu memberitahu Syahrul berkenaan kehidupan yang dilalui oleh Norisah setelah Syahrul meninggalkannya. Dia tak akan menyimpan lagi biarpun Norisah pernah menyuruhnya berjanji supaya tidak memberitahu kepada sesiapa. Jika dengan memberitahu Syahrul dapat menghilangkan derita yang Nor alami, dia lebih sanggup memungkiri janji tersbut.
“ Apa maksud kau? Nor tak bahagia dengan Ikhwan?” Tanya Syahrul penuh debaran. Mustahil Norisah tidak bahagia dengan Ikhwan. Ikhwan sangat cintakan Norisah. Jadi, tidak mungkin Norisah hidup menderita di samping Ikhwan.
“ Kau lakukan kesilapan besar bila kau buat keputusan tinggalkan Nor. Nor tak pernah bahagia dengan Ikhwan. Kau tahu apa yang Ikhwan dah buat pada Nor?”
Syahrul menggeleng kepala. Dia menanti dengan penuh minat akan kata-kata yang bakal keluar dari mulut Aida. Adakah Ikhwan penyebab kepada lebam-lebam di badan Norisah. Mungkin telahannya betul walaupun itu adalah perkara yang dia tidak mahu dengar. Jika benar, ternyata dia sudah lakukan satu kesilapan yang sangat besar kerana meninggalkan Norisah untuk lelaki seperti Ikhwan!
“ Setahun setelah pernikahan mereka, ibu bapa Nor kemalangan. Dia hilang tempat mengadu. Dia hanya ada seorang suami sebagai tempat bergantung dalam hidupnya tapi Ikhwan tak seperti yang diharapkan.” Aida mengeluh. Wajah Syahrul yang sudah berubah dia pandang lama sebelum menyambung kata.
“ Boleh dikatakan hari-hari Ikhwan pukul Nor! Dia seksa Nor. Dia maki Nor. Nor menderita tapi Nor masih lagi bersabar dengan perangai Ikhwan. Dia beri Ikhwan peluang untuk berubah tapi Ikhwan tak pernah hargai peluang yang Nor beri pada dia. Ikhwan kongkong Nor. Pantang nampak Nor bersembang dengan lelaki lain, mesti Nor akan dapat penangannya.”
Syahrul terkedu.
“ Itu ke lelaki yang kau harapkan untuk menjaga Nor? Lelaki yang kau sangka cintakan Nor setengah mati tapi lebih rela tengok Nor mati di tangannya?!” keras suara Aida. Air mata yang mengalir di pipinya diseka perlahan.
“ Kalau lah kau tak pergi dulu…mesti keadaan tak akan jadi macam ni. Nor tak akan hidup dalam penuh ketakutan.” Aida menahan sendu yang kian bermukin di dada. Cuba ditahan tangisnya dari pecah.
Syahrul tersandar lemah di dinding. Dia memandang Norisah yang masih lagi belum membuka mata. Sayu menggigit tangkai hatinya. Kalau tak disebabkan tindakannya dahulu, nasib Norisah tidak akan menjadi seperti ini. Dia adalah punca yang menyebabkan gerhana menjengah ke dalam hidup Norisah.
“ Aku tak sangka keadaan akan jadi macam ni. Sungguh, aku sayangkan Nor. Aku tak sanggup tengok dia terluka walaupun sedikit. Apa yang Ikhwan buat pada Nor memang tak pernah terlintas di fikiran aku. Aku ingat Ikhwan mampu bahagiakan Nor lebih dari aku tapi aku silap… Ikhwan hanya menambah derita buat Nor.” Hati lelakinya pedih dengan kebenaran yang terbongkar luas di depan matanya. Dia sudah lakukan kesilapan yang paling bodoh sekali di dalam hidupnya dengan mensia-siakan wanita sebaik Nor.
“ Kau nak tahu satu perkara? Sepanjang perkahwinannya dengan Ikhwan, aku tak pernah tengok Nor tersenyum bahagia. Mungkin dia tersenyum di depan semua orang tapi aku tahu…hati dia sakit…hati dia pedih dengan apa yang terjadi dalam rumah tangganya.” Sambung Aida lagi.
Syahrul berdiri tegak mengepal penumbuknya. Rahangnya diketap marah. Dia mempunyai perhitungan yang perlu dilangsaikan dengan Ikhwan. Dia perlu mengembalikan kebahagiaan Norisah walau dengan apa cara sekalipun!
*****************************
“ Kau mimpi apa datang rumah aku malam-malam ni?”Tanpa menjawab pertanyaan Ikwan, Syahrul terus menghadiahkan penumbuknya ke muka tampan Ikhwan.
Ikhwan yang tidak menjangka akan tindakan Syahrul tidak sempat mengelak. Hampir tersungkur badannya tapi kakinya sempat menampung badannya dari terjatuh. Bibirnya pecah. Darah yang mengalir di tepi bibirnya dia lap dengan kasar.
“ Apa masalah kau ni? Datang rumah aku terus tumbuk muka aku!” tengking Ikhwan kasar. Syahrul yang berada di depannya dia pandang bagai nak telan. Biji matanya merah, penuh dengan api kemarahan.
“ Kau tanya diri kau sendiri apa yang kau dah buat. Kau memang tak berhati perut!” jerkah Syahrul.
Kalau diikutkan hatinya, dah lama dia belasah Ikhwan sehingga lembik. Biar Ikhwan tak mampu walau nak berbicara sekalipun! Kerana lelaki seperti Ikhwan memang dayus! Hanya berani menunjukkan kejantanan pada wanita yang lemah.
“ Apa yang aku dah buat?” Ikhwan bertanya sinis.
Hati Syahrul semakin bengkak bila Ikhwan masih mahu berdalih.
“ Aku serahkan Nor pada kau sebab aku percaya kau mampu bahagiakan dia tapi aku silap! Kau cuma buat dia tambah derita!”
“ Owh…perempuan tu mengadu kat kau yang aku pukul dia? Macam tu?”
“ Perempuan tu ada nama. Nama dia Norisah dan dia tu isteri kau.”
“ Kenapa kau sibuk nak masuk campur? Sekarang ni dia dah jadi isteri aku. Dia tu cuma bekas kekasih kau.” Marah Ikhwan tidak puas hati.
“ Aku tak mampu nak pejam mata bila kau tergamak seksa hidup dia…”
Ikhwan mencebik.
“ Kenapa? Kenapa kau buat dia macam tu? Kau dah janji dengan aku dulu yang kau akan bahagiakan dia. Kenapa kau mungkir janji?” Syahrul menagih penjelasan. Dia jadi tidak faham kenapa Ikhwan berubah sehingga begini rupa. Sedangkan dulu, Ikhwan juga mencintai Norisah. Jika benar cinta, mengapa Ikhwan tidak membahagiakan Norisah?
“ Apa pun yang terjadi antara aku dan Nor tak ada kena mengena dengan kau. Kau tu cuma orang luar! Sedar diri sikit.”
“ Memang….memang aku orang luar. Aku langsung tak ada hak untuk masuk campur dalam hal rumah tangga kau. Tapi tindakan kau dah melampau. Kenapa kau buat dia macam tu? Dia tu isteri kau.” Syahrul mengetap rahang. Dia cuba membendung marah yang kian hangat.
“ Kau peduli apa aku layan dia macam mana pun. Kalau aku nak hantar dia kat rumah pelacur pun kau tak boleh halang aku.”
“ Ikhwan!!!” Sekali lagi penumbuk Syahrul hinggap di muka Ikhwan. Kali ini Ikhwan jatuh tersungkur kerana tumbukan kali kedua ini lebih kuat dari yang pertama. Belum sempat Ikhwan bersuara ingin memaki, Syahrul mencekak kolar baju Ikhwan.
“ Aku tak sangka ayat tu boleh keluar dari mulut kau. Kau memang dah berubah. Kau memang tak layak untuk Nor!” lantang suara Syahrul memecah keheningan malam.
Ikhwan menepis kasar tangan Syahrul. Dia cuba bangkit. Badannya terhuyung-hayang. Tanpa disangka Ikhwan ingin membalas tumbukan Syahrul tapi Syahrul sempat mengelak. Ikhwan hanya menumbuk angin.
Ikhwan meludah ke tanah. Marahnya menggunung. Sekali lagi dia meluru ke arah Syahrul. Kali ini Syahrul tidak berdiam diri. Dia mengelak sedikit dan memulas tangan Ikhwan ke belakang. Dia mengunci pergerakan Ikhwan. Tapi dia melonggarkan sedikit pegangannya. Kalau diikutkan rasa marahnya, mungkin tangan Ikhwan yang dikuncinya ini boleh patah.
Muka Ikhwan berkerut menahan kesakitan. Dia cuba melepaskan diri dari pegangan Syahrul namun dia semakin berang bila Syahrul mengunci kemas tangannya di belakang badan.
“ Kalau kau dah tak sayang Nor, lepaskan dia. Jangan seksa hidup dia lagi. Aku mampu jaga dia.” Ujar Syahrul serius. Dia benar-benar memaksudkannya.
**************************
Norisah memulas tombol pintu perlahan-lahan. Hatinya berkocak hebat. Dia berdoa panjang agar kepulangannya tidak disambut dengan kata makian ataupun pukulan yang memeritkan di badan. Sungguh, di benar-benar tak sanggup mengharunginya lagi.
Sebaik saja dia melangkah masuk, dia digaru hairan. Lampu tidak terpasang sedangkan kereta Ikhwan ada di luar rumah. Sejenak kemudian dia mengetuk perlahan kepalanya. Ikhwan mempunyai kereta lebih dari satu. Mungkin saat ini Ikhwan tiada di rumah, keluar entah ke mana.
Norisah membuka suis lampu dan merebahkan badannya di sofa panjang. Badannya masih lagi belum sihat sepenuhnya.
Lamunannya terbantut bila telefon bimbitnya berbunyi minta diangkat. Dengan rasa malas dia mengangkat panggilan.
“ Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Puan Norisah Bt Abu Hanipah?” Suara di hujung talian kedengaran.
“ Waalaikumsalam. Ya, saya Norisah. Ini siapa?” Norisah bertanya. Dadanya berdebar dengan tidak semena-mena.
“ Saya wakil dari pihak hospital ingin meminta puan datang ke Hospital Selayang untuk mengenalpasti mayat suami puan iaitu Ikhwan Hakimi Bin Ariffin.”
Norisah terkedu.
**************************
Aku bersumpah akan hancurkan hidup Syah dan Nor. Mereka tak layak bahagia di atas kematian adik aku! Aku akan buat hidup mereka menderita.Aku akan kahwin dengan Nor dan biarkan mereka terpisah. Biar diorang rasa macam mana sakitnya ditinggalkan orang tersayang.
Dania jangan sedih, abang akan tuntuk bela kematian Dania. Abang sayang Dania.
Norisah menyelak ke lembaran yang seterusnya. Sudah berulangkali dia membaca diari Ikhwan sehinggakan dia sudah boleh menghafal coretan yang ditulis oleh Ikhwan.
Huh, bukannya susah sangat pun nak pikat hati mak bapak Nor. Mentang-mentang aku kaya, diorang pun jadi kelabu mata. Tapi tak apa, asalkan aku dapat kahwin dengan Nor dan pisahkan dia dari Syah.
Norisah menahan perasaan.
Aku dah sah jadi suami Nor. Lepas ni aku akan pastikan hidup dia menderita. Aku akan seksa hidup dia. Aku akan lenyapkan senyuman dari bibir dia!
Norisah menutup diari Ikhwan yang berada di pegangannya. Dia menyeka air mata yang mengalir di pipi. Tiba-tiba ada tangan mengusap perlahan bahunya. Norisah menoleh. Syahrul sudah berada di sisinya. Dia melentokkan kepalanya di bahu Syahrul.
“ Nor tak sangka, Ikhwan berdendam dengan kita.” Sayu suara Norisah.
“ Abang pun tak sangka.” Syahrul membalas. Tangan kirinya menggenggam tangan Norisah. Cuba
menyalurkan ketenangan di hati isterinya.
Norisah telah sah menjadi isterinya setelah kematian Ikhwan. Takdir Allah, Ikhwan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan. Dia turut bersedih dengan kematian Ikhwan kerana walau apa pun yang terjadi, Ikhwan tetap sahabatnya cuma dia agak ralat kerana Ikhwan membawa dendam itu sehingga ke nafasnya yang terakhir.
Norisah pula telah membuangnya jauh dari hidup wanita itu. Memang agak sukar bagi dirinya untuk menawan kembali hati Norisah yang telah terluka disebabkan dirinya tapi dia tidak mudah mengalah. Dia tetap berusaha memastikan hati Norisah kembali lembut dan akhirnya dia berjaya. Dia gembira bukan kepalang bila Norisah sudi menerimanya kembali.
Syahrul terbayangkan seorang gadis yang mempunyai sepasang mata yang bundar. Orangnya ceria dan peramah. Syahrul seringkali berbual dengan Dania apabila ke rumah Ikhwan kerana Dania itu adik Ikhwan. Namun siapa sangka gadis itu boleh terjatuh hati padanya sedangkan dia hanya menganggap Dania sebagai seorang adik sementelah dia tidak mempunyai adik. Dia terpaksa menolak cinta Dania kerana dia sudahpun mempunyai Norisah. Dia sangat sayangkan Norisah dan dia langsung tak pernah terfikir untuk berpaling dari cinta Norisah kerana Norisah itu nyawanya. Tanpa Norisah dia tak mampu untuk hidup.
Mereka dikejutkan dengan kematian Dania dan apa yang menyedihkan lagi, Dania ditemui mati kerana mengambil pil tidur berlebihan.
Sungguh, bukan sedikit rasa bersalah yang menghimpit jiwanya kerana secara tidak langsung Dania membunuh diri kerana dia menolak cinta Dania!
Ikhwan hanya diam. Tidak menyalahkan dirinya. Tapi rupa-rupanya Ikhwan menyimpan dendam. Dan kerana dendam itulah dia dan Norisah terpisah. Lebih memeritkan bila Ikhwan menyeksa hidup Norisah kerana Ikhwan menganggap Norisah juga merupakan penyebab kenapa dia menolak Dania.
**************************
Norisah membuka mata perlahan-lahan. Matanya masih lagi mengantuk. Siang tadi mereka sibuk mengemas barang. Mereka baru sahaja pindah ke rumah baru. Syahrul tak nak dia duduk di rumah Ikhwan kerana mahu dia melupakan kisah yang hanya memedihkan hatinya.
Norisah terkejut. Hampir luruh jantungnya bila dia membuka mata, wajah Syahrul begitu hampir dengan mukanya. Syahrul hanya tersenyum manis sebelum mencium dahi dan kelopak matanya.
“ Kenapa tak tidur lagi?” Norisah menjeling jamyang berada di atas meja tepi katil. Jam sudah pun
menunjukkan pukul 3.30 pagi.
“ Abang tak boleh tidur.” Syahrul mengelus rambut Norisah. Sesekali dia mencium rambut itu. Hatinya lapang bila dia dapat menghidu wangian yang terbit dari rambut Norisah.
“ Kenapa?”Norisah hairan.
“ Abang tak puas tengok wajah Nor.” Syahrul mencium pipi Norisah pula. Dia hanya ketawa kecil bila wajah Norisah sudah merah. Kena cium pun nak malu. Syahrul geli hati.
“ Malu?”
Norisah hanya diam. Dia menyorokkan mukanya di dada bidang Syahrul.
“ Abang macam tak sangka tengah peluk Nor sekarang ni. Umpama mimpi abang jadi kenyataan.” Syahrul memeluk tubuh Norisah dengan perasaan sayang yang semakin menggebu.
“ Abang sayang Nor.” Bisik Syahrul di tepi telinga Norisah.
“ Nor pun sayangkan abang.” Norisah membalas. Dia bahagia. Tiada lagi bayangan Ikhwan yang menakutkannya. Tiada lagi pukulan yang menyakitkan tubuhnya dan tiada lagi kata makian yang disumbatkan ke telinganya. Kini dia bahagia dengan belaian mesra Syahrul. Syahrul melayannya bagaikan permaisuri.
Hari-hari yang dilaluinya sungguh membahagiakan. Dia sudah boleh tersenyum dan ketawa dengan adanya Syahrul.
“ Maafkan abang sebab tinggalkan Nor dulu. Kalaulah abang tak buat macam tu, mesti Nor tak…”
“ Sudah la tu bang. Yang penting sekarang ni kita dapat bersama. Memang pada mulanya Nor salahkan abang tapi Nor tak bencikan abang. Nor cuba untuk lenyapkan nama abang dari hati Nor tapi Nor tak mampu. Nor sayang abang.”
“ Abang akan bahagiakan Nor. Sampai nafas abang yang terakhir, abang akan cuba bahagiakan Nor. Abang akan setia di samping Nor kerana Nor cinta pertama dan terakhir abang. Sampai bila-bila pun abang akan tetap cintakan Nor.” Syahrul menolak sedikit tubuh Norisah dan memandang ke dalam mata isterinya. Seluruh sayangnya tertumpah buat isterinya ini. Sekali lagi dia mencium dahi Norisah.
Norisah memejamkan mata, menghayati kucupan suaminya. Dia sangat bersyukur kerana diberi peluang kedua bersama dengan Syahrul. Benarlah kata orang, hidup ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Namun hidup juga terselit kebahagiaan yang kita tak dapat nak jangka.
Kadang-kadang dalam perjalanan merentasi menuju ke arah kebahagiaan, berbagai dugaan yang menimpa....meratah keimanan kita satu persatu....kadang-kadang rasa tak mampu.... kadang-kadang mahu beralah.....tetapi dengan sedikit kesabaran dan kecekalan, insyaAllah kebahagiaan itu dapat dicapai.
a good story my dear
ReplyDeletedugaan untk jodoh mereka. tahniah cik penulis mampu hasilkan cerpen yg sgt best :)
ReplyDeleteWah mmg dramatik betul
ReplyDeleteTerharu....n trbaek....good luck...
ReplyDelete