Sunday, 28 July 2013

Akanku Tawan Cintamu! 14







Apa yang harus dia lakukan? Firyal begitu bersungguh ingin mengahwininya. Sedangkan dia langsung tak pernah bermimpi untuk hidup bersama Firyal biarpun Firyal adalah lelaki yang merosakkan hidupnya. Alma memicit kepala yang terasa pening. Kenapa ini yang harus terjadi di dalam hidupnya?

 Dahulu hidupnya bahagia seperti orang lain. Bermula dengan kebenaran yang dia ketahui daripada ibunya yang dia sebenarnya anak angkat dan peristiwa di mana Firyal meragut kesucian dirinya, sejak itulah hidupnya sudah tidak teratur. Ada sahaja yang tidak kena. Bagai jatuh di timpa tangga. Entah di mana silapnya.

Alma pandang wajahnya yang terbias di cermin. Selekeh! Tudung dah senget benget. Muka kusam tak bermaya. Ini semua salah Firyal!

Alma mengerling jam tangannya pula. Sudah hampir sejam berlalu. Lama juga dia bertapa di dalam tandas ni semata-mata nak mengelak daripada Firyal. Mungkin Firyal sudah pulang. Dia pun dah tak sabar nak keluar. Terperuk di dalam tandas, siapa yang suka…

Alma keluar dari tandas perempuan. Pasti Firyal sudah pergi. Mustahil Firyal akan menunggunya.

Baru beberapa tapak Alma keluar dari tandas tangannya direntap kasar menuju ke suatu tempat. Hampir luruh jantungnya. Alma pandang susuk tubuh di depannya. Firyal!

“ Kau ingat kau boleh lepas dari aku macam tu je? Jangan harap la. Aku dah cakap tadi yang aku akan cari kau sampai ke lubang cacing kalau kau cuba nak lari dari aku. Kau lupa?” Firyal mengetatkan cengkamannya. Dia tersenyum sinis bila Alma menyeringai sakit.

Firyal tak balik lagi? Bukan tadi Firyal cakap dia tak boleh lama di sini? Habis tu kenapa Firyal masih ada lagi di sini.  Firyal menunggunya dari tadi?

“ Saya tak tahu apa yang merasuk awak sampai terdesak sangat nak kahwin dengan saya. Kalau awak nak sangat kahwin silakan, tapi bukan dengan saya! Awak boleh cari perempuan lain. Saya memang tak pernah terfikir nak hidup bersama dengan lelaki macam awak ni.” Alma berang bila Firyal masih tidak melepaskan pegangannya. Firyal ingat tangannya ini apa? Pegang macam nak putus!


Firyal berhenti melangkah. Dia berpusing menghadap Alma yang sudah kelat mukanya.

“ Kenapa? Apa masalahnya kalau kau kahwin dengan aku? Kau nak lelaki yang macam mana untuk jadi pasangan hidup kau?”  Firyal jungkit kening bertanya.

“ Saya lagi rela kahwin dengan tukang sapu tu daripada berkahwin dengan awak. Dia lebih baik daripada awak yang nampak macam perfect tapi kenyataannya awak adalah lelaki yang hanya tahu mengambil kesempatan ke atas wanita.” Geram Alma membalas. Dia menunjuk ke arah seorang lelaki yang sedang menyapu berdekatan dengan mereka. Mukanya bersih biarpun hanya bekerja sebagai tukang sapu di Mall besar ini.

Hati Firyal panas bila Alma seperti mengejeknya. Lebih rela pilih tukang sapu tu daripada dia yang mempunyai segalanya ni? Ini memang satu penghinaan buat dirinya. Firyal menatap Alma dalam-dalam bagai nak telan.

“ Kau boleh cakap apa yang kau nak. Aku tak peduli sebab sama ada kau setuju atau tidak kau still kena kahwin dengan aku.”  Firyal kembali mengheret Alma menuju ke tempat mereka memilih cincin tadi.

Alma mengeraskan badannya. Firyal mengeluh keras.

 “ Firyal, I’m begging you. Saya tak nak kahwin dengan awak. Susah sangat ke nak ikut permintaan saya ni?” Alma buntu. Bagaimana lagi cara untuk menghentikan keinginan Firyal dari ingin mengahwini dirinya.

Sorry but you have no choice. Kau akan kahwin dengan aku.” tegas Firyal lagi.

Alma geleng kepala. Kan senang kalau dia mempunyai kuasa magik. Dengan mudahnya dia dapat lenyapkan Firyal dari hidupnya. Tak adalah dia pening kepala macam sekarang ni.

“ Tolonglah faham dengan keadaan saya. Saya tak cintakan awak. Macam mana saya nak hidup dengan awak kalau antara kita tak pernah wujud rasa cinta?”

“ Aku pun tak cintakan kau…” Firyal membalas selamba.

“ Habis tu kenapa mesti nak teruskan perkahwinan yang tak ada maknanya ni?” bentak Alma. Hampir gila dibuatnya. Kalau tak cinta, kenapa mesti kahwin? Firyal memang dah gila!

“ Kau ingat orang berkahwin sebab cinta saja ke? Banyak lagi sebab selain daripada cinta. Contohnya macam situasi aku dan kau sekarang ni. Kau ingat aku nak sangat ke kahwin dengan kau kalau tak sebab…” kata-kata Firyal terhenti. Takkan dia nak cakap yang dia nak mengelak daripada berkahwin dengan Lisa. Dia hanya menggunakan Alma untuk melepaskan diri daripada berkahwin dengan wanita pilihan mamanya. Pasti Alma tidak mahu menolongnya. Jadi, ini sahaja cara yang dia ada untuk memastikan Alma bersetuju dengannya.

“ Sebab apa?” tanya Alma meluat.

“ Aku nak bertanggungjawab sebab dah ragut maruah kau. Aku nak tebus balik silap aku.” laju jawapan itu meluncur keluar dari bibir Firyal.


“ Saya dah cakap yang saya tak nak awak bertanggungjawab! Itu pun susah sangat ke nak faham?” Alma mengetap rahang. Penat bercakap dengan orang yang tak faham bahasa macam Firyal ni. Sudah dibilang tak mahu tetapi tetap tidak boleh menerima keputusannya.

“ Kau jangan banyak cakap boleh tak? Bukan susah pun kahwin dengan aku. Kahwin sajalah. Banyak sangat songeh.”

Alma semakin menyirap. Mudahnya Firyal cakap!

“ Hey… masalahnya orang yang awak ajak kahwin tu saya. Saya! Mestilah saya banyak songeh! Kalau awak nak kahwin dengan arnab lainlah cerita tapi sekarang ni saya yang awak pilih!” Alma menjerit lantang. Hampir terkeluar anak tekaknya kerana menjerit.

Banyak songeh? Memang la! Kahwin dengan lelaki yang dia benci, siapa yang suka!

Firyal melepaskan pegangannya di tangan Alma. Dia memeluk tubuh.

“ Okay… aku bagi kau pilihan. Sama ada kau setuju untuk kahwin dengan aku ataupun aku cerita kat ibu kau tentang apa yang dah terjadi di antara kita.” Firyal senyum sinis.

Alma terkedu bila Firyal mula mengugutnya. Peluh mula merintik di dahi. Tak boleh, ibu tak boleh tahu mengenai perkara tu. Dia tak akan benarkan cerita di sebalik malam itu sampai di telinga ibu. Dia tak mahu ibu kecewa dengannya.

“ Firyal… awak tak boleh buat macam tu.” Suara Alma bergetar. Sungguh dia takut jika ibu tahu mengenai dirinya. Di mana mahu diletakkan mukanya nanti?

Fine… kau boleh pergi dari sini. Tak perlu ikut aku cari cincin, tak perlu datang ke majlis perkahwinan kita nanti, tak perlu hadap muka aku lagi tapi satu yang kau perlu ingat. Kau perlu tanggung akibatnya nanti. Aku akan ceritakan pada ibu kau apa yang dah terjadi di antara kita pada malam tu. Jangan cuba cabar aku sebab aku akan kotakan apa yang aku cakap.” Keras suara Firyal. Dia tak akan berlembut dengan Alma jika mahu Alma mengahwininya.

Alma meraup mukanya. Perasaannya berbaur. Sungguh, dia tersepit dengan situasi yang melanda dirinya saat ini.

“ Saya tak tahu apa tujuan awak nak mengahwini saya. Saya tahu, bukan semata-mata kerana malam tu kan? Pasti ada sebab lain. Tapi walau apa pun sebabnya, saya tak mahu terlibat dalam hidup awak. Saya tak nak ada kena mengena dengan hidup awak. Awak dengan hidup awak dan saya dengan hidup saya. Besar sangat ke permintaan saya?” lirih suara Alma. Dadanya sebak.  Hatinya benar-benar tercedera parah dengan kehendak Firyal yang bakal menambahkan episod duka di dalam hidupnya.

Firyal terdiam seketika. Hatinya sedikit belas melihat wajah rusuh Alma. Bukan baru hari ini dilihat wajah rusuh itu tapi sejak dari mula pertemuan mereka lagi pasti wajah Alma akan merusuh bila berhadapan dengannya.

“ Terseksa sangat ke kalau kau kahwin dengan aku?”

Alma tersenyum pahit. Tanya soalan bodoh! Kalau Firyal ini lelaki yang dia suka pasti soal terseksa tak akan timbul. Masalahnya Firyal adalah lelaki yang dia paling benci sekali di dunia ini. Dia tak pernah berperasaan begini pada sesiapa pun sebelum ini. Firyal adalah orang pertama yang selalu merobek kesabarannya. Membuat hidupnya jadi tunggang langgang.

“ Awak sendiri ada jawapannya Firyal. Tak perlu saya jawab.” Gumam Alma perlahan namun tetap sampai di pendengaran Firyal.

“ Perasaan benci tu kau kena tolak ke tepi sebab aku tak akan tarik balik keputusan aku untuk berkahwin dengan kau. Macam yang aku cakap tadi, aku tak kisah kalau kau tak nak kahwin dengan aku tapi aku akan balas balik sampai kau tak akan berani nak angkat muka pun bila jumpa dengan ibu kau nanti.” Ugut Firyal.

Ya Allah, pilihan apa yang dia ada sekarang ini? Alma buntu.

Matanya terpejam seketika. Dapat dibayangkan wajah ibunya yang menangis hiba bila Firyal mengkhabarkan berita yang dia bukan lagi gadis suci seperti yang ibu sangkakan. Dia dah rosak! Pasti ibu akan kecewa. Hatinya turut terkoyak bila ibu berduka. Dia dah hancurkan hati ibu. Anak jenis apa dia ni? Lebih rela lihat ibu menangis daripada berkorban sedikit. Dia tak akan benarkan Firyal memberitahu ibu mengenai dirinya. Firyal boleh menyeksanya, membuatnya menangis tapi dia tak akan benarkan Firyal menceritakan mengenai peristiwa itu dan menyebabkan air mata ibu tumpah! Tak akan sekali-kali dia akan benarkan!

Kebahagiannya perlu ditolak ke tepi jika tidak mahu ibu menangis pilu disebabkan dirinya. Perlahan-lahan Alma membuka mata merenung Firyal yang berdiri tegap di hadapannya. Lelaki ini akan menjadi suaminya. Dia tak tahu nasib apa yang akan menimpa dirinya kelak.

“ Saya… saya setuju.” Perlahan suara Alma. Matanya dikerdip berkali-kali menahan air mata yang mahu tumpah.

Senyuman kepuasan terukir di bibir Firyal. Akhirnya, Alma akan menjadi miliknya. Dia sudah tidak perlu gusar dengan permintaan mamanya yang mahu dia mengahwini Lisa.


*******************************


“ Kau nak cincin yang mana? Yang ni okay tak?” Firyal menyuakan sebentuk cincin kepada Alma.

Alma menggeleng. Dia langsung tak berkenan dengan taste Firyal. Dia mula meliarkan matanya pada sederet cincin yang terpamer di hadapannya. Sesaat kemudian Alma mengambil sebentuk cincin dan menyerahkannya pada Firyal. Dia tersenyum sinis.

Firyal ambil cincin yang dihulurkan Alma. Mukanya tenang biarpun dia nampak harga cincin tersebut mencecah puluhan ribu. Dia pasti yang Alma sengaja memilih cincin yang mahal harganya supaya dia tarik balik keputusannya untuk mengahwini Alma. Alma silap orang. Ingat dia tak ada duit ke? Sebelah mata je dia boleh hulurkan duit tu. Tak luak mana pun duit dia.

“ Saya pilih ni.” Firyal menyerahkan cincin tersebut kepada jurujual yang bernama Sofea. Dari ekor mata dia nampak wajah Alma yang sudah berubah muka.

Alma telan liur. Biar betul Firyal ni. Bukan murah cincin yang dia pilih tadi. RM25,000…. Bukannya RM25 ringgit! Sangkanya Firyal akan memarahi dirinya tapi Firyal hanya tenang membuat bayaran. Langsung tidak kisah dengan harga cincin tersebut.

Dengan harga yang sebegitu rupa macam-macam yang dia boleh buat. Firyal tak sayang duit ke sehinggakan sanggup melaburkan duit pada diri dia yang langsung tak bermakna dalam hidup Firyal. Oh lupa pula dia yang Firyal datang dari golongan berada. RM25,000 setakat kat celah gigi Firyal je. Kecil saja nilainya.

“ Ambil cincin ni.” Firyal memberi bungkusan yang berisi cincin kepada Alma setelah mereka sudah berada di luar kedai.

Alma menyambut dengan berat hati.

“ Kau jangan sengaja nak hilangkan cincin ni pula sebab sakit hati dengan aku.” sindir Firyal. Alma bukan boleh kira. Tak mustahil Alma boleh menghilangkan cincin tersebut bagi membalas sakit hati kepadanya yang  memaksa Alma berkahwin dengannya.

Alma menjeling geram. “ Buat apa nak hilangkan. Kalau saya gadai lagi untung. Bukan murah cincin ni.” Alma membalas. Dia hanya sekadar cakap sahaja. Tak adalah sampai nak buat betul-betul. Dibuatnya Firyal saman, nahas dia.

Firyal tersenyum nipis dan senyuman itu memualkan hati Alma. Ingin saja dia robek muka Firyal. Biar puas hatinya. Dari awal pertemuannya sehinggalah sekarang Firyal tak habis-habis ingin musnahkan hidupnya.

“ Aku tak kisah kalau cincin tu hilang sebab aku boleh beli yang lain. Yang penting sekarang ni ialah kau. Kau jangan sesekali hilang dari aku sebab sejauh mana pun kau pergi aku tetap akan cari kau. Aku akan jadi bayang-bayang dalam hidup kau.” ujar Firyal tegas membuatkan Alma semakin mendongkol geram. Dia bagaikan sudah diikat oleh Firyal. Tiada lagi cara untuknya melepaskan diri.



Bersambung…

5 comments:

  1. Hadoi lamo betol tunggu cite si alma ngan firyal niy.. But ok dah niy.. Degil juga alma tu eh.. Next...next .. :-D

    ReplyDelete
  2. BEST SAMBUNG PLEASE,SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN SEMUA.

    ReplyDelete
  3. cik kpn nak sambung crite akanku tawan cintamu tu???
    tak sabar la

    ReplyDelete