Saturday, 4 May 2013

Akanku Tawan Cintamu! 10





Firyal hanya diam di meja makan. Tekun dia makan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

“ Tambah la lagi lauk ni Fir. I masak khas untuk you.” Lisa menyenduk ayam masak merah dan diletakkan di pinggan Firyal tapi lelaki itu menjelingnya. Dia telan liur.

“ Aku ada tangan sendiri. Tak payah sendukkan untuk aku. “ sinis Firyal berkata. Kenapa la mama jemput perempuan ni makan malam sekali. Buat hilang selera makan je.

“ Kenapa Fir cakap macam tu? Lisa cuma tolong senduk. Penat dia masak semua ni untuk Fir. Hargailah sikit penat lelah dia memasak.” Datin Aminah menegur. Firyal memang tak suka pada Lisa. Di matanya, Lisa seorang wanita yang sempurna. Layak untuk jadi menantunya. Masalahnya sekarang ni, anak terunanya yang tidak mahu!

“ Fir tak suruh pun dia masak, siapa yang suruh.” Firyal masih meneruskan suapan. Susah nak percaya Lisa masak. Entah-entah beli kat kedai. Takkan la wanita seperti Lisa sanggup lihat tangan cantiknya menjadi kasar dengan membuat kerja-kerja dapur. Firyal tak percaya. Ini tak lain tak bukan nak bodek mama lagilah tu.

“ Firyal!” Datin Aminah menjeling. Payah betul kalau bercakap dengan Firyal ni. Ada saja yang nak dibangkang. Kasihan Lisa. Berubah air muka gadis itu.

“ Tak apa la mama. Lisa tak kisah.  Mama tambahlah lagi. Sedap tak Lisa masak?” Lisa bertanya ceria. Sikit pun dia tak ambil hati dengan Firyal. Lelaki itu memang dingin dengannya. Kata Datin Aminah, dia kena banyak bersabar jika ingin menawan hati Firyal.

“ Sedap. Kalau macam ni Lisa dah boleh buka kedai sendiri. Mesti ramai pelanggan Lisa nanti. Kan bang…”

“ Hmmm…” Dato Faiz hanya mengiakan. Malas nak cakap lebih-lebih. Bukannya dia tak tahu yang isterinya sibuk mahu menjodohkan Firyal dengan Lisa. Hari-hari asyik cerita pasal Lisa buat itu la Lisa buat ini la…bosan juga telinganya mendengar.

Ishhh suaminya ni. Sokonglah sikit. Jawab macam nak tak nak je. Datin Aminah merungut dalam hati.

“ Fir nak pergi mana tu?” Datin Aminah mengerutkan dahi.

“ Nak naik bilik. Fir dah siap makan.” Menyampah dia tengok lakonan Lisa. Siap panggil mama lagi. Siapa yang bagi mandat entah. Mesti kerja mamanya.

“ Tunggu la Lisa habis makan dulu. Kesian dia. Dah la dia sanggup datang malam-malam macam ni, Fir buat tak layan pula.”

“ Aah… you ni Fir, penat I drive tau. Sakit badan ni. You pula buat tak reti je dengan I. At least duduk la dulu temankan I makan. Dah la sekarang ni I susah nak jumpa you. I rindu tau.”

“ Fir naik dulu la ma. Nak tidur. Fir penat ni. Esok baru Fir balik rumah Fir.” Firyal buat tak dengar apa yang Lisa cakap. Dia tak rindu pun. Meluat ada la! Kalau dia cakap macam tu, mesti mama baling dia dengan mangkuk berisi lauk ni. Suka sangat menangkan perempuan tu.

“ Fir…” Datin Aminah memanggil Firyal tapi Firyal buat tak tahu. Panjang kakinya lari dari situ. Duduk dalam bilik lagi senang hati.

Dia merebahkan badannya di katil. Tangannya diletakkan di atas dahi. Dia kembali teringat akan peristiwa di mana kisah hidup Alma dibentangkan di hadapan matanya. Dia fikir Alma akan malu berhadapan dengannya sementelah dia telah mengetahui rahsia hidup wanita itu. 

Tetapi sebaliknya yang berlaku. Alma hanya berlagak selamba. Langsung tidak terkesan dengan peristiwa itu atau sebenarnya Alma turut malu, cuma Alma tidak mahu tunjuk di hadapannya.
Dia juga hairan. Kenapa Maya begitu bencikan Alma?

Sesaat kemudian Firyal tersentak. ‘ Itu bukannya urusan aku. Buat apa aku serabut kepala fikir pasal Alma.’ Firyal merungut kecil.



******************



“ What?!” rasa nak gugur jantung Firyal mendengar kata itu keluar dari mulut Datin Aminah.

“ Fir dengar apa yang mama cakap tadi kan. Mama tak akan berganjak dengan keputusan mama kali ni.” 

Datin Aminah tersenyum kemenangan. Dia tahu yang rancangannya akan berjaya.

Firyal meraup rambutnya resah. Cuak dengan permintaan Datin Aminah yang tiba-tiba.

“ Mama tak boleh buat Fir macam ni. Mama tak boleh paksa Fir.” Tekan Firyal dengan dada yang sudah berombak kasar.

“ Mama tak peduli. Mama nak Fir kahwin dengan Lisa bulan depan. Soal majlis Fir tak perlu risau. Semuanya mama boleh uruskan. Fir cuma kena datang masa majlis tu nanti.” Ujar Datin Aminah. Dia sangat berharap agar Firyal berkahwin dengan Lisa. Sudah lama hajatnya yang satu ini tertangguh kerana dari dulu lagi Firyal bijak mengelak tapi kali ini dia tidak akan berkompromi. Firyal harus mendengar katanya!

“ Mama faham tak yang Fir tak cintakan dia? Fir tak suka dia. Macam mana Fir nak hidup dengan orang yang Fir tak cinta? Mama faham tak?!” kenapa susah sangat mamanya mahu mengerti? Dia tak cintakan Lisa! Sanggup ke mama tengok dia hidup menderita di samping Lisa? Mama lebih rela pertaruhkan kebahagiaan anak sendiri demi mahu lihat dia dan Lisa disatukan.

Datin Aminah mengusap lembut bahu Firyal. Dia faham Firyal tertekan dengan permintaannya yang seperti mementingkan diri sendiri. Dia buat semua itu demi kebaikan Firyal. Dia yakin Lisa mampu membahagiakan Firyal.

“ Cinta boleh dipupuk lepas kahwin. Lagipun Lisa dah lama tunggu Fir. Fir patut terima dia. Mama yakin yang hidup Fir akan bahagia nanti.” Datin Aminah memberi jawapan. Anaknya yang seorang ni memang degil. Susah sangat nak ikut kehendaknya. Suka ikut kepala sendiri. Tak macam abang sulung Firyal yang lebih mendengar kata.

Firyal menggeleng kepala. Hampir pecah kepala otaknya memikirkan bagaimana lagi caranya untuk buat mamanya membatalkan idea gila ini.

“ Fir tak nak! Tolong lah ma… Fir tak nak kahwin dengan dia.” Firyal merayu. Dia menggenggam erat tangan Datin Aminah meminta simpati.

“Kenapa Fir degil sangat ni? Mama cuma suruh Fir kahwin dengan Lisa. Itu kan benda yang baik. Siap dapat pahala lagi sebab dirikan masjid. Fir tak suka?” lembut pandangan Datin Aminah. Dia tersenyum manis. Berharap agar si anak akan mendengar kata.

Firyal mendengus kasar. Mudah untuk mamanya bercakap tetapi tidak mudah untuk dia laksanakan!

“ Bukannya Fir tak suka tapi…tapi ini mengarutlah mama.” Hampir hilang kosa kata Firyal untuk meyakinkan mamanya.

 “Mama tak nak tunggu lama-lama. Lagipun umur Fir bukannya makin muda. Nak tunggu mama mati dulu ke baru nak kahwin?” Datin Aminah menduga.

“ Bukan macam tu mama. Cuma Fir tak bersedia lagi. Fir rasa benda ni terlalu cepat. Lagipun, macam dah tak ada perempuan lain ke yang mama nak jodohkan dengan Fir selain daripada Lisa? Fir tak paham apa yang mama nampak pada dia.” Firyal melepaskan keluhan.

“ Mama dah lama berkenan dengan Lisa. Baik budak tu.Dia memang sesuai sangat dengan Fir. Pandai ambil hati mama. Mama tak nampak apa yang tak kena pun pada dia.”

“ Mama yang suka dia tapi Fir tak suka dia. Dari dulu sampai sekarang Fir tak suka dia.” Firyal membuang pandang. ‘Lisa… apa yang kau dah jampi mama aku ni sampai dia gila nak bermenantukan kau?’ hati kecil Firyal merungut geram.

“ Apa kurangnya Lisa tu? Cuba cerita kat mama.” Soal Datin Aminah. Punyalah ramai lelaki yang terkejarkan Lisa tu tapi Firyal pandang Lisa dengan sebelah mata pun tidak.
Firyal bangkit dari sofa. Air mukanya keruh.

“ Kalau hati Fir tak suka, dia buatlah macam mana pun Fir tetap tak suka. Fir tak ada hati dengan dia. Fir tetap dengan keputusan Fir. Fir tetap tak akan kahwin dengan dia. Mama buatlah macam mana pun, Fir tetap dengan keputusan Fir.” Firyal berkeras. Dia tak boleh turutkan permintaan Datin Aminah untuk   mengahwini Lisa tanpa kerelaannya. Dia perlu berkeras. Ini melibatkan kebahagiaan hidupnya.

Kenapa Firyal begitu bertegas tidak mahu disatukan dengan Lisa? Anaknya ini straight kan?

“ Fir normal kan?” tanpa dapat ditahan, soalan itu keluar dari mulut Datin Aminah. Dia risau bukan kepalang jika anaknya ini bukan lelaki sejati.

“ Normal? Maksud mama?” dahi Firyal berkerut. Dia kembali melabuhkan duduknya berhadapan dengan Datin Aminah.

“ Fir tak minat dengan kaum sejenis kan?”

Mahu tersedak Firyal dengan soalan mamanya. ‘Mama fikir dia gay? What???’

“ Astaghfirullahalazim… macam mana mama boleh terfikir yang Fir ni gay? Fir tak songsanglah mama. Anak mama ni straight.” Dia masih ada akal untuk membezakan yang mana betul dan salah. Takkanlah dia tidak tahu perkara yang ditegah agama. Yang paling tak masuk akal, bagaimana mamanya boleh terfikir yang dia ni gay?

“ Yalah, mama risau juga kalau kamu ni tak straight sebab nak suruh kahwin pun payah. Bukannya mama suruh kamu buat kerja tak elok.” Datin Aminah melurut perlahan dadanya tanda lega. Mujur jawapan Firyal menyenangkan hatinya. Jika tidak, mahu dia pengsan di situ juga.

“ Beri Fir masa. Fir rasa benda ni terlalu mendadak. Sekarang ni Fir dah tak boleh nak berfikir.”

“ Tak payah nak fikir lagi. Fir cuma perlu get ready untuk jadi suami Lisa bulan depan. Tak payah nak pening kepala fikir pasal majlis. Yang itu biar mama yang uruskan.” Jelas Datin Aminah. Harapannya biarlah Firyal dan Lisa disatukan sebelum dia menutup mata. Dia mahu lihat Firyal berkeluarga. Biar terjaga makan pakai anak bujangnya ini. Biar ada peneman hidup.

“ Please ma… jangan paksa Fir. Fir tak akan penah rela jadi suami Lisa.” Firyal resah bila mamanya masih berkeras mahu dia dijodohkan dengan Lisa.

“ Habis tu Fir rela jadi suami siapa? Cuba cakap dengan mama.” Datin Aminah menyoal.

Firyal terdiam. Dia masih belum bersedia untuk berkahwin lagi. Tambahan pula, Lisa bukanlah calon yang sesuai untuk dirinya. Jadi, bagaimana dia mahu menghadap muka Lisa nanti setelah mereka diijabkabulkan? Sedikit perasaan pun langsung tiada biarpun dia sedar seluruh cinta Lisa tercurah hanya untuknya.

“ Dari dulu lagi Fir sibuk dengan kerja sampai langsung tak fikir soal kahwin. Jadi salah ke kalau mama cuba carikan jodoh untuk Fir? Mama cuma nak yang terbaik untuk anak-anak mama.  Lainlah kalau Fir dah ada calon sendiri.”

Calon sendiri? Ayat itu berdengung di kepala Firyal. Calon memang banyak tapi calon yang sesuai saja yang tiada. Memang ramai perempuan yang mendampingi dirinya tapi mereka bukannya ikhlas. Hanya tertarik pada rupa dan poketnya sahaja!

“ Fir dah ada calon sendiri ke?” Datin Aminah tersenyum bersahaja. Mustahil Firyal mempunyai kekasih. Firyal bukanlah jenis yang mudah ditawan. Mungkin Firyal ada keluar dengan beberapa orang gadis tanpa pengetahuannya tapi dia yakin yang Firyal tidak serius. Sekadar ingin menghilangkan kesepian.

“ Fir memang dah ada calon sendiri.” luah Firyal.

Hampir tercekik Datin Aminah dengan kata-kata Firyal. Dia sudah silap menduga ke? Dia silap membuat percaturan yang selama ini Firyal masih lagi tiada sebarang hubungan dengan mana-mana perempuan.

“ Fir jangan bohong mama. Sejak bila pula Fir ada kekasih tanpa pengetahuan mama. Kalau nak mengelak dari berkahwin dengan Lisa sekalipun jangan cuba nak bohong mama.” Sindir Datin Aminah. Dia merenung tajam wajah Firyal yang langsung tidak memandang mukanya.

“ Fir tak bohong. Fir memang dah ada kekasih. Sebab tu Fir tak suka mama padankan Fir dengan Lisa.” 
Firyal menahan debar di dada. Berharap agar mamanya tidak mengesyaki akan pembohongannya.

“ Mama tak setuju. Apa yang mama tahu, Fir berkahwin dengan Lisa bulan depan. Muktamad!” Datin Aminah menekan suaranya. Walau apa pun yang terjadi, Lisa tetap akan menjadi menantunya. Firyal tidak boleh membantah.

“ No… Fir akan berkahwin dengan pilihan hati Fir sendiri, bukan dengan pilihan mama.” Laju Firyal membalas sebelum dia keluar dari banglo mewah itu dan masuk ke dalam keretanya. Enjin kereta dihidupkan. Kepalanya ditekur ke stereng kereta.

Ternyata mamanya mempunyai agenda tersendiri. Ingatkan ada hal penting sangat sampai suruh dia balik semalam tapi rupanya hal perkahwinannya dan Lisa yang dibangkitkan. Firyal menghela nafas kasar. Dari dulu lagi dia sudah kata yang dia langsung tiada hati pada Lisa namun mamanya lebih rela mengenepikan perasaanya demi mahu dia dan Lisa disatukan. Langsung tidak pentingkah perasaannya dalam mencipta sebuah hubungan sehinggakan mamanya tidak mengendahkan perasaannya.

Memang benar yang dia langsung tidak mempunyai calon sendiri untuk menghalang mamanya dari menyatukan dia dan Lisa tapi tadi dia sudah terlepas cakap yang dia mempunyai calon sendiri demi melepaskan diri daripada berkahwin dengan Lisa tapi masalahnya sekarang ni mana dia nak cari calon?  

Tiba-tiba terlintas satu wajah di kepalanya. Sesaat kemudian Firyal tersenyum. Dia dah jumpa cara untuk menyelesaikan masalah yang membelit dirinya. Dia kena kahwin dengan aku. Aku akan pastikan dia kahwin dengan aku walaupun aku kena paksa dia untuk terima aku!



Bersambung….




No comments:

Post a Comment