Thursday 12 September 2013

Hanya Kau dan Aku






“ Kau nampak tak lelaki yang duduk kat hujung meja sana tu?”

Sara menganggukkan kepala. Matanya turut dihalakan ke arah lelaki itu. Tapi dia hanya dapat menangkap belakang tubuh lelaki itu disebabkan lelaki itu duduk membelakangi mereka.

“ Aku nak kau cakap kat semua orang yang ada kat dalam restoran ni yang lelaki tu tinggalkan kau.” Mia memberi cadangan. Senyuman penuh makna terukir di bibir merah itu.

Sara bulatkan mata. Gila apa nak cakap macam tu? Tak pasal-pasal nanti dia jatuhkan maruah lelaki tu. Sudah la dia sendiri pun tak kenal siapa lelaki itu.

“ Tak ada benda lain ke yang kau nak suruh aku buat selain daripada tu?” Sara dah merungut tak puas hati. Straw yang berada di gelas dia kacau untuk meredakan kocakan yang tiba-tiba hadir di dada.

“ Aku tak kira. Aku nak juga kau buat macam tu. Lagipun kau yang nak sangat pilih dare.”

“ Betul tu Sara. Kau dah kalah. So, kau kena ikut juga apa yang kitorang nak kau buat.” Kay menyokong.

“ Tapi…” Sara berat hati. Sekali lagi dia mengalihkan pandangannya kepada lelaki tersebut. Tidak banyak yang dapat dia perkatakan kerana lelaki itu masih lagi statik di tempat duduknya. Langsung tidak berganjak walau sedikit pun bagi membolehkan Sara mengintai wajahnya.

“ Kau jangan nak mengelat. Aku tak kira, nak tak nak kau kena buat juga. Bukan susah pun.” Mia memberi semangat lagi. Ala…bukan susah pun Sara nak buat. Sebelum ni pun Sara pernah buat juga cuma kali ini dia bagi kelainan sikit.

Sara mencebik geram. Mudah bagi mereka tetapi sukar untuk dia laksanakan. Yang kena buatnya dia, bukannya Mia dan Kay. Sebab itulah mereka langsung tidak kisah. Apa-apa hal nanti dia yang kena tanggung. Menyesal pulak sebab pilih dare, patutnya tadi dia pilih truth. Tak adalah menyusahkan dirinya sekarang ini.

“ Apa kata aku belanja korang makan. Nak? Korang order je apa yang korang nak makan hari ni. Aku belanja.” Sara tersenyum manis. Dia cuba berkompromi dengan Mia dan Kay. Untung-untung mereka akan menarik balik hukuman yang dia perlu lakukan.

Kay dan Mia geleng kepala sambil menggoyang jari telunjuk.

No no no… kau jangan nak bodek kitorang. Kitorang tak ada selera nak makan hari ni sebab kitorang nak tengok aksi mantap kau kejap lagi.”

“ Alah, please…  aku tak nak la.”

“ Permintaan ditolak. Better kau pergi sekarang. Susah pula kalau lelaki tu pergi.” Sara mendengus geram bila Kay menarik tangannya supaya bangun dari kerusi.

Sara berjalan teragak-agak mendekati tubuh tegap yang sedang duduk membelakanginya. Jantungnya berdegup pantas. Dalam kepala dah fikir macam-macam idea untuk memulakan hukuman yang perlu dia laksanakan.

Sesekali Sara menoleh ke belakang memandang Mia dan Kay. Manalah tahu kalau mereka berubah fikiran supaya dia tidak perlu melakukan kerja yang bakal memalukan dirinya sendiri nanti. Sara gigit bibir geram bila mereka menghalaunya dengan isyarat tangan. Aduh, kena buat jugalah ni nampaknya. Dia tak ada pilihan lain.

Dengan keberanian yang tidak berapa nak ada Sara terus melabuhkan punggung di hadapan lelaki itu. Sara dapat tangkap riak terkejut lelaki itu bila dia dengan selambanya duduk tanpa kebenaran lelaki itu.

Di saat matanya memandang seraut wajah di hadapannya, dia agak tergamam bila matanya disajikan dengan paras lelaki itu yang begitu tampan. Wajahnya sangat sempurna. Sepasang matanya juga begitu redup memikat sehinggakan dia boleh lemas di dalam renungan lelaki itu. Bibir lelaki itu yang agak sensual membuatkan jiwa perempuannya agak bergetar lantas Sara melarikan pandangannya dari terus menatap wajah yang telah membuat hatinya berkocak.

Sara tarik nafas perlahan-lahan. Cuba meredakan ombak ganas yang sedang menghempas jantungnya. Tangannya digenggam erat di bawah meja.

“ Sampai hati awak tinggalkan saya.” Sara memulakan lakonannya.

Seketika kemudian Sara kembali menatap wajah lelaki itu yang jelas terkejut dengan kehadirannya yang tiba-tiba. Lelaki itu mengerutkan dahi tanda tidak memahami akan situasi yang sedang berlaku sekarang ini.

Pardon?”

“ Awak dah janji tak nak tinggalkan saya tapi kenapa awak tetap pergi. Kenapa? Apa salah saya?” Sara memegang lengan baju lelaki itu dengan tangan yang sudah terasa sejuk. Sejuk kerana ini kali pertama dia menyentuh  lelaki walaupun masih berlapik.

Lelaki itu mengalih tangan Sara dari terus memegang lengannya. Wajahnya digaru rasa pelik.

“ Awak salah orang ni. Saya tak kenal awak.”

“ Dulu awak tinggalkan saya dan sekarang ni awak dah lupakan saya? Awak memang lelaki kejam!”

“ Sabar awak… mengucap banyak-banyak. Saya memang tak kenal awak jadi macam mana boleh timbul isu saya tinggalkan awak ni.” lelaki yang Sara tak ketahui nama itu sudah pucat. Kalut bila dia dituduh yang 
bukan-bukan.

“ Dulu kita saling mencintai tetapi kenapa hubungan kita jadi macam ni? Awak memang dah tak sayang saya lagi ke?” suara Sara sayu, cuba menarik simpati lelaki itu.

“ Sayang? Awak merepek apa ni?”

Sara tidak mengendahkan pertanyan lelaki itu. Maaflah, dia memang tidak berniat untuk memalukan lelaki ini tetapi keadaan yang mendesak. Dia menjeling Mia dan Zira yang sudah buat thumbs up dari jauh.

“ Lepas saya dah mengandungkan anak awak terus awak hilangkan diri. Awak lepas tangan. Awak tak kasihan ke dengan anak kita ni?” soal Sara dengan suara sedih. Matanya sudah mula berkaca.

“ Me…mengandung?” suara lelaki itu tersekat-sekat. Dahinya sudah merintik peluh. Sara tersenyum dalam hati. Memang dia kasihan tapi dia tiada pilihan lain. Ini semua gara-gara dia memilih dare, tak pasal-pasal dia kena buat macam ini.

“ Awak lupa yang saya mengandung? Owh… lepas saya mengandung terus awak tinggalkan saya sebab awak nak lari dari tanggungjawab kan?” Sara menekan suaranya sedikit. Orang ramai yang berada di restoran itu sudah mula berbisik kecil namun dia tidak menghiraukan mereka. Fokusnya hanya pada lelaki di hadapannya saat ini.

“ Itulah dia orang lelaki… habis madu sepah dibuang. Tak ada rasa nak bertanggungjawab langsung.” Marah seorang wanita yang duduk berhampiran dengan meja itu.

“ Saya bukan tak nak bertanggungjawab tapi dia ni…” lelaki tersebut cuba membela diri tapi Sara pantas memotong percakapannya.

“ Awak jangan nak reka alasan lagi. Awak memang tak berhati perut! Sampai hati awak buat saya macam ni. Saya sayangkan awak setengah mati. Saya sanggup buat apa saja demi awak tapi ini balasan yang awak hadiahkan?”

“ Masalahnya saya memang tak kenal awak!” tinggi suara lelaki itu membuatkan Sara sedikit terkejut. Tak apa Sara, berlakon sikit je lagi. Kejap lagi kau minta maaflah dengan lelaki ni.

“ Tengoklah tu…. pandai dia nak lepaskan diri. cakap tak kenal konon padahal perempuan tu la yang dia dok ulit siang malam dulu sampai boleh ada isi dalam  perut tu.” bunyi satu suara. Lebih kepada geram.

Time suka dia simpan perempuan tu tapi bila dah benci campak perempuan tu macam sampah. Macam tak ada harga diri. Apa nak jadilah dengan lelaki zaman sekarang ni. Tak faham betul.” Tambah lagi satu suara. Yang penting suara perempuan. Mungkin marah dengan tindakan lelaki yang begitu mudah lepas tangan.

Lelaki itu mendengus geram bila orang ramai mula menuding jari kepadanya. Siapa perempuan ni sebenarnya sehingga sanggup menuduhnya yang bukan-bukan?

“ Apa masalah kau sebenarnya ni? Aku yakin yang aku tak pernah kenal kau. Apa tujuan kau buat semua ni?” lelaki itu merengkuh lengan Sara. Hilang sudah ganti nama saya awak.

Sara buat muka beku. Tiada tanda dia akan menjawab persoalan lelaki itu.

“ Alasan apa lagi yang awak nak bagi? Awak ada perempuan lain? Itu ke yang awak nak cakap?” Sara menyoal kembali. Merah padam muka lelaki itu menahan marah. Dalam hati terselit juga perasaan risau jika lelaki itu buat tindakan yang mungkin akan memalukannya pula nanti.

 Sara melepaskan pegangannya. Agak perit cengkaman lelaki itu sehingga menyebabkan Sara mengusap perlahan lengannya.

What nonsense you’re talking about! “ melengking kuat suara lelaki itu sehingga bergema suaranya di restoran tersebut. Keadaan sunyi sepi. Oh my, semua orang tengah tengok drama yang sedang dia lakonkan ke sekarang ni?

 “ Dulu awak cakap awak sayang saya. Sanggup buat apa saja untuk saya tapi kenapa ini yang terjadi dalam hubungan kita? Apa salah saya?” suaranya lirih. Sara hanya membiarkan air matanya mengalir.

Sesekali Sara mencuri pandang wajah lelaki itu. Keruh. Masam. Kelat. Itu yang boleh dia nyatakan. Kalau siapa yang berada di tempat lelaki itu pun akan berasa marah dan geram dengan apa yang dia lakukan.

Untuk beberapa ketika lelaki itu hanya diam sambil merenung muka Sara. Dia resah. Pandangan lelaki itu begitu tajam.

Sara gugup. Adakah dia terlalu melampau? Atau dia patut tamatkan saja lakonannya sekarang? Okaylah. End of the game. Lebih baik dia cabut sekarang sebelum lelaki yang tidak diketahui nama ini hilang sabar dan menikamnya dengan garfu yang berada di atas meja.

“ Sudahlah… saya lepaskan awak dari hidup saya. Pergilah cari kebahagiaan awak. Biar saya dan baby dalam perut saya ni jalani hidup kami sendiri. But remember one thing, I’ll always love you.” air mata yang mengalir di pipi Sara seka perlahan. Dia bangun dan ingin melangkah pergi. Yes, finally tamat juga lakonan! Dalam hati Sara dah menjerit girang.

“ Sayang…” tiba-tiba lelaki itu menarik lengannya lembut. Sara terkedu. Sekejap sahaja lelaki itu sudah berada di depannya, menghalang dia dari terus pergi.

I’m so sorry for what I had done to you. Don’t worry…  I’ll take care of you and our baby.”

“Hah?” Sara dah terpinga-pinga. Pandangan lelaki itu yang sedikit tajam dah buat Sara kecut perut. Dia dapat rasa bagaikan sesuatu yang tidak elok akan terjadi dalam hidupnya selepas ini.

Will you marry me?”

Sara telan liur. Terasa berpasir. Langsung tak sangka yang lakonannya akan memakan dirinya sendiri. Mama, Sara nak buat apa ni?

“ Kahwin?” hampir tidak keluar suaranya.

Yes…kita kahwin. Aku akan bertanggungjawab. Aku tak akan biarkan kau seorang diri lagi lepas ni. Aku akan tebus balik kesilapan yang aku dah lakukan.” Lelaki tersebut mengusap perut Sara yang dikatakan mengandungkan anaknya namun cepat ditepis oleh Sara.

“ Eh  tak apalah. Saya…saya dah maafkan awak. Saya…” kata-kata Sara laju dipangkah oleh lelaki yang namanya pun dia tak tahu! Uish…

I know it’s hard to forgive me but just give me one chance. I’ll make you happy after this.”

“ Kahwin saja lah dik. Dia dah menyesal tu.” sokong satu suara yang Sara sendiri pun tak pasti dari siapa. Kahwin? Tak naklah!

“ Saya rela awak pergi sebab saya tak nak awak terseksa hidup di samping saya.” Apa benda yang kau cakap ni Sara? Ah, gasaklah… yang penting dia perlu melarikan diri dari situasi yang bakal menjerat hidupnya.

Tiba-tiba lelaki itu melutut di depannya sambil memegang tangannya membuatkan Sara semakin tergamam.

Please, marry me. Dah banyak sangat dosa yang aku lakukan. Aku harap aku dapat menebusnya dengan membahagiakan kau. Aku tak akan biarkan kau keseorangan lagi. Tolong beri aku peluang untuk bahagiakan kau. Aku akan bertanggungjawab. Please sayang…” rayu lelaki itu lagi membuatkan darah Sara bagaikan berhenti mengalir. Lidahnya bagaikan dipasung. Permainan apa yang sedang lelaki ini mainkan?

Lelaki ni memang sengaja nak kenakan dia ke?

“ Erk… saya…saya…” suara Sara tersekat di celah kerongkong. Dia pandang Mia dan Kay yang turut terkejut dengan situasi yang mereka tidak jangka akan jadi begini.

“ Aku tahu kau berat hati nak maafkan aku tapi aku janji yang aku tak akan tinggalkan kau lagi. Aku tak akan biarkan anak kita lahir tanpa ayah. Aku akan berikan dia kasih sayang yang cukup. Dan aku juga akan sayang kau sehingga ke nafas aku yang terakhir. Aku harap kau setuju untuk berkahwin dengan aku.” ujar lelaki itu penuh berharap.

 “ Saya dah tak kisah kalau awak tak nak kahwin dengan saya sebab saya sedar siapa diri saya. Langsung tak layak untuk digandingkan dengan awak.” Sara bersuara perlahan.  Kalau boleh dia nak terbang dari sini sekarang juga! Dia menyesal permainkan lelaki ni…

Don’t say that. Aku yang tak layak untuk kau. Aku memang buta sebab tinggalkan kau walaupun aku tahu yang kau adalah perempuan yang paling baik sekali yang pernah aku jumpa sepanjang aku hidup di atas muka bumi ni.”

“ Saya tak  nak.” Nak menangis pun ada bila dia dapat menangkap senyuman sinis di bibir lelaki itu.

“ Aku tak akan bangun selagi kau tak terima aku.” lelaki itu mula mengugut. Masih lagi duduk berlutut di depan Sara.

Sara buntu. Apa yang harus dia lakukan? Dia yang memulakan dulu permainan ini dan lelaki ini membalasnya dengan cara yang tidak terfikir olehnya.

“ Tak perlu fikir panjang. Takkanlah awak nak biar anak dalam kandungan awak membesar tanpa anak?” sampuk seorang wanita yang agak berusia.

“ Betul tu… lagipun lelaki ni dah sedar kesilapan dia. Akak boleh lihat kejujuran dalam diri dia.” Sara 
berpaling pada suara yang menuturkan kata itu. Kelibat seorang wanita yang agak elegan menangkap matanya.

Sara gigit bibir. Apa yang harus dia lakukan sekarang ni? Suasana begitu sunyi. Orang ramai menunggu persetujuannya untuk mengahwini lelaki yang langsung dia tak kenal.

Dalam keterpaksaan Sara mengangguk juga. Riuh restoran itu dengan tepukan dari orang ramai. Lelaki itu bangun dari melutut dan mendekatinya.

Welcome to my life.” Lelaki itu berbisik perlahan di telinga Sara membuatkan Sara mengerutkan dahi. Dia tak faham. Welcome to my life? Erk… dia bukannya kena kahwin dengan lelaki tu betul-betul kan? Kan? Saat itu juga Sara rasa nak menjerit sekuat hati.





16 comments: