Monday 6 May 2013

Jangan Curi Suamiku 4





Suasana di meja makan hening. Masing-masing senyap menghadap makanan. Secara tidak langsung selera Hana turut mati. Dia menjeling Aidil yang berada di sebelah kanannya. Lelaki itu juga hanya selamba. Dalam keselambaan lelaki itu dia perasan yang lelaki itu sedang membendung kemarahan. Mana tidaknya, disebabkan peristiwa semalam, Aidil  turut terjebak sama dalam perkahwinan tanpa rela ini. Tapi Aidil tidak boleh salahkan dirinya seorang. Dia juga menjadi mangsa keadaan. Bukannya dia yang sengaja mahu terjerat dalam perkahwinan yang langsung tiada makna buat diri mereka berdua.

Hana pandang muka Datin Aina. Wajah yang biasanya berseri dengan cahaya kegembiraan hari ini suram. Pasti kisah semalam masih lagi menjadi lagi beban perasaan Datin Aina. Di sebelah Datin Aina iaitu ayah Aidil hanya mempamerkan wajah tenang. Luarannya mungkin nampak tenang tapi gelora di dalam hati siapa yang tahu?

“ Am nak bawa Hana pergi honeymoon kat mana?” soalan dari Datin Aina memecahkan kesunyian yang dari tadi bermaharajalela di meja makan.

Hana tersedak. Dia makin tersentak bila Aidil turut membantunya mengusap belakang badannya. Mukanya merah menahan malu. Malu kerana diperlakukan sebegitu rupa di hadapan mereka yang turut berada di meja makan.

“ Kau ni kenapa? Makan gelojoh sangat. Macam dah setahun tak jumpa makanan.” Sinis kata-kata yang dilontarkan Aidil.  Dalam masa yang sama dia menghulurkan minuman kepada Hana.

Hana minum air yang Aidil hulurkan. Tekak yang terasa perit diusap perlahan. Dia bukannya sengaja tersedak. Suka hati Aidil je tuduh dia yang bukan-bukan. Dia terkejut bila Datin Aina membuka cerita mengenai honeymoon. Nak pergi honeymoon dengan Aidil? Hmmm… memang tak lah kut. Confirm Aidil tak nak. Dia berani kerat jari punya lah.

“ Mama tanya pasal honeymoon?” Aidil melontarkan soalan. Kali ini seleranya benar-benar mati. Dia pandang Hana yang juga terkulat-kulat di sebelahnya dengan soalan Datin Aina.

“ Yup, nanti nak honeymoon kat mana? Dalam negara atau luar negara?” meskipun perkahwinan Aidil dan Hana tidak seperti  pasangan lain tetapi dia berharap agar mereka dapat menerima perkahwinan ini biarpun pada mulanya agak payah untuk menerima kenyataan. Mungkin Aidil dan Hana akan berasa kekok  tapi dia yakin rasa itu akan terhakis dengan sendirinya jika masing-masing cuba menerima di antara satu sama lain.

“ Mama rasa Am ada hati ke nak pergi honeymoon dengan perkahwinan yang Am sendiri tak suka?” selamba Aidil bertanya. Sudah lupakah mamanya tentang bagaimana dia dan Hana disatukan? Jadi, bagaimana mamanya boleh terfikir akan honeymoon? Nak menghadap muka Hana kat dalam bilik pun dia memerlukan kesabaran yang tinggi. Inikan pula nak pergi honeymoon. Memang tak masuk akal langsung.

“ Abang Am. Tak baik cakap macam tu.” Atiqah menegur. Dia rasa abangnya patut menerima takdir bahawa sudah tersurat yang jodoh abangnya dengan Hana. Lagipun Hana pun apa kurangnya? Sudah cukup lengkap sebagai seorang wanita yang menjadi idaman lelaki lain. Hanya abangnya saja yang tak pandai menilai. Ops, dia lupa yang memang dari dulu lagi Aidil tidak suka Hana masuk dalam keluarga ini. Dia dan abang sulungnya boleh menerima Hana tapi tidak Aidil. Entah apa yang dibencinya dengan Hana pun dia tak tahu.

Aidil menjeling adik bongsunya. Terus Atiqah tundukkan kepala. Takut dengan kemarahan Aidil yang mungkin akan meletus bila-bila masa.

“ Walau apa pun, Hana dah jadi isteri Am sekarang ni. Dia dah jadi tanggungjawab Am.” Lembut Datin Aina bersuara. Dia pandang wajah Aidil yang sudah merah. Tahu sangat perangai anaknya yang seorang ni. Kalau muka dah merah maksudnya Aidil marah.

“ Tapi mama sendiri tahu yang perkahwinan ni terjadi tanpa rela Am. Kalau tunang Emir tak lari, Am tak akan terlibat dengan semua ni.” Aidil sedikit membentak. Semua ni berpunca dari tunang Emir.

“ Jangan cakap macam tu Am. Kecil hati Emir kalau dia dengar Am cakap macam tu. Dia tengah sedih lagi tu.”

“ Salah ke apa yang Am cakap? Kalau tak disebabkan tunang Emir tu lari ikut jantan, Am tak akan kahwin dengan Hana semalam. Ini semua salah tunang Emir!”

“ Aidil Amsyar!!!” Emir menjerit lantang dari tangga. Dari atas lagi dia dengar suara Aidil membentak tidak puas hati. Pada mulanya dia tidak dapat menangkap topik yang sedang dibicarakan tapi bila soal tunangnya yang dibangkitkan dia jadi hilang sabar. Dia tak rela Aidil menuduh tunangnya yang bukan-bukan.

“ Kau cakap apa?” Emir sudah berdiri di sebelah Aidil. Aidil turut bangun dari duduknya. Tangan Hana yang memegang lengannya turut ditepis. 

“ Emir.” Dato Malik turut berhenti makan. Suasana yang tadinya sunyi sudah bertukar tegang. Dato Malik turut pening kepala. Dua-dua anak lelakinya. Dia sendiri tidak tahu nak memihak pada siapa.

“ Kau jangan nak pandai-pandai tuduh tunang aku yang bukan-bukan kalau kau tak tahu cerita yang sebenar.” Emir memberi amaran. Dia dah tak peduli pada orang lain yang turut berada di meja makan. Fikirannya kini hanya tertumpu pada Aidil. Dia tak boleh terima bila Aidil mengutuk tunangnya. Dania tak bersalah!

“ Kau nak bela dia sangat buat apa? Dah memang kenyataan tunang kau lari ikut jantan sebab tu dia tak datang masa majlis nikah semalam.” Sinis Aidil membalas. Dia jadi sakit hati bila Emir masih tak sedar lagi akan hakikat yang Dania sudah tinggalkan Emir.

Emir mencekak kolar baju Aidil. Matanya merah menahan kemarahan. Kalau tak difikirkan yang di depannya sekarang ini adalah adik kandungnya sudah lama penumbuk sulungnya singgah ke muka Aidil.

Aidil menepis cengkaman Emir di bajunya. Saat ini dia langsung tak gentar dengan kemarahan yang Emir tunjukkan. Kenapa mesti Emir masih lagi mahu membela tunangnya? Dia pelik. Sudah butakah Emir akan apa yang Dania lakukan? Sudah terang lagi bersuluh yang Dania lari dari majlis perkahwinannya dengan Emir semalam dan masalahnya dia yang menanggung kesan dari perbuatan Dania! Terlupakah Emir akan hakikat itu?

 “ Dia bukan lari ikut jantan tapi aku yakin yang dia ada sebab yang munasabah kenapa dia buat macam tu.” Emir memberi alasan. Dia yakin. Dania tidak mempunyai lelaki lain selain dari dirinya. Dia yakin yang Dania mempunyai sebab yang tersendiri kerana meninggalkan dirinya keseorangan ketika majlis pernikahan mereka semalam. Cuma dia tidak tahu apakah sebab itu. Kusut fikirannya bila Dania hilang tanpa jejak.

“ Habis tu alasan apa yang kau boleh bagi dengan tindakan dia tu? Kau nak cakap yang dia tiba-tiba tak bersedia dengan perkahwinan korang? Itu maksud kau?” Aidil senyum sinis. Dia memeluk tubuh. Dia kasihan dengan Emir tapi dia juga kasihan dengan dirinya sendiri!

Emir meraup rambut. Dia mengeluh kasar.

Hana diam tidak berkutik. Dia tak tahu mahu tunjukkan reaksi yang bagaimana ketika ini. Nak bersuara pun dia rasa bersalah. Bila diam pun dia rasa serba tak kena. Kalau dia bersuara nanti dia risau pula kalau suara Aidil menjerit memarahi dirinya. Sudahnya, dia hanya jadi pemerhati aksi pergaduhan mulut di antara dua beradik ni.

“ Am, Emir… jangan macam ni. Kita bincang dulu elok-elok. Mama tak suka anak mama bergaduh depan rezeki.” Datin Aina rasa nak menangis pun ada bila disajikan dengan pertelingkahan di antara anak-anaknya.

“ Mama nak bincang apa lagi? Semuanya dah terlambat! Am dah jadi suami Hana sekarang ni!” lantang Aidil membalas. Dadanya berombak ganas menahan kemarahan.

“ Am! Papa tak suka Am cakap kurang ajar macam tu pada mama. Dah teringin sangat nak jadi anak derhaka ke?” keras suara Dato Malik menegur anak lelakinya.

“ Am minta maaf. Tapi ini tak adil buat Am papa.” Suara Aidil kendur.  Dia meraup mukanya. Kesal kerana meninggikan suara tetapi jiwanya benar-benar kusut sekarang ini.

“ Papa tahu tapi itu sahaja caranya untuk selamatkan maruah keluarga kita. Semua orang tahu yang majlis kahwin tu akan berlangsung. Semua tetamu dah datang. Am sanggup biarkan muka papa dan mama tercalit arang? Am sanggup biarkan kami menanggung malu?” Dato Malik menduga.

Aidil mengeluh.

“ Kenapa mesti Am?” suara Aidil sayu. Sarat dengan kepedihan.

“ Habis tu takkan lah nak kahwinkah adik kamu pula? Atiqah tu baru habis SPM. Lagipun calon untuk dia pun tak ada.” Sempat Dato Malik bergurau. Dia tersenyum nipis. Penuh bersahaja dia menyisip kopi panasnya. Jelingan isterinya yang menegurnya tidak diendahkan.

Aidil mendengus dengan jawapan yang Dato Malik berikan. Tubuh Emir yang berada di depannya dia rempuh.  Terus dia panjat tangga untuk masuk ke biliknya.

Tak lama kemudian berdentum bunyi pintu dari tingkat atas.

Hana pandang Datin Aina yang juga ketika itu memandangnya. Dia tersenyum tawar.


Bersambung... 

6 comments: