Saturday 4 May 2013

Akanku Tawan Cintamu! 12






Bunyi hon kereta di luar rumah membingitkan telinga Alma yang masih lagi berselubung di dalam selimut. Dia cuba mengabaikan bunyi tersebut namun tiada tanda hon kereta itu akan berhenti. Alma merengus geram. Siapa yang buang tabiat bunyi hon pagi-pagi buta ni? Sangat mengganggu ketenteraman dia yang ingin menikmati hari minggu dengan tenang !
Dengan rasa malas Alma turun dari katil dan menyelak sedikit langsir biliknya. Dahinya berkerut bila ada sebuah kereta BMW sedang membunyikan hon di luar pagar rumahnya. Mata yang tadinya mengantuk menjadi segar dengan sendirinya bila dia seperti dapat mengagak milik siapa kereta tersebut.
Sampai ke rumah Firyal menjejaki dirinya! Dengan rasa marah yang semakin menghimpit dirinya Alma mencapai cardigan dan tudung lalu menyarungnya. Mujur juga dia sudah menggosok gigi semasa ingin solat subuh tadi.
Alma memeluk tubuh bila dia sudah berdiri di tepi kereta Firyal.
“ Masuk.” Firyal membuka pintu kereta dari dalam. Muka Firyal serius.
Alma hanya mencebik geram. Dia masih lagi berdiri tegak. Tiada tanda dia akan menurut perintah Firyal. Marahnya masih lagi berbaki.
“ Jangan sampai aku paksa kau masuk dalam kereta. Kau jugak yang akan menyesal nanti.” Firyal menekan suaranya. Dia tiada mood untuk melayan marah Alma kerana dia juga sedang marah! Bukan sekejap dia menunggu Alma. Hampir kebas punggungnya di dalam kereta. Hatinya kian hangat biarpun keretanya memasang air cond bila kelibat Alma masih tidak muncul. Lantas, dengan hati yang sebal dia menekan hon. Biar semua orang di kawasan perumahan tersebut terjaga! Jangan salahkannya tapi salahkan Alma kerana membiarkannya tertunggu-tunggu. Dia memang bukan seorang yang penyabar!
Dengan perasaan yang membungkam Alma masuk juga ke dalam kereta Firyal. Pintu kereta dihempas kuat. Dia tidak peduli jika Firyal marah dengan tindakannya. Siapa suruh buat dia marah pagi-pagi buta ni?
“ Kau ingat kereta aku ni tempat kau lepas geram ke?” sindir Firyal. Alma hanya memeluk tubuh.
“ Habis tu nak lepas geram  kat siapa? Dekat awak? Awak bagi ke kalau saya nak lepas geram kat awak?” nasib baik dia cuma hempas pintu. Kalau ikutkan hatinya, ingin saja dia langgar kereta Firyal sehingga kemek. Biar tidak serupa kereta lagi. Biar Firyal bengang dengannya.
“ Kau jangan buat aku naik angin.”
Alma mendengus kasar.
“ Awak fikir angin awak je. Ada awak fikir angin saya? Payah betul kalau asyik nak ikut kepala awak je.”
“ Lagi satu… macam mana awak tahu rumah saya kat sini? Awak intip saya?” Alma menyoal. Dia pandang muka Firyal dengan berani. Hatinya langsung tidak berdebar dengan pandangan tajam Firyal. Kalau tak berdebar maksudnya dia memang tak mempunyai perasaan terhadap Firyal. Yang ada hanyalah perasaan meluat dan jengkel. Meluat kerana Firyal telah membuatkan hidupnya kucar kacir.
“ Kau bakal isteri aku. Takkan lah aku tak tahu kat mana bakal  isteri aku tinggal kat mana. Semua pasal kau aku tahu.” Selamba Firyal menuturkan kata itu.
“ Saya dah cakap yang saya tak nak jadi isteri awak. Awak tak faham bahasa ke?” Alma menggenggam erat tangannya. Dia cuba menahan diri daripada melayangkan tangan itu ke muka tak faham bahasa Firyal.
“ Aku ke kau yang tak faham bahasa sekarang ni? Bila aku cakap yang kau akan jadi isteri aku maksudnya kau akan tetap jadi isteri aku walaupun kau tak nak. Sama ada kau rela hati atau tidak, itu aku tak peduli. By the end of this month, you’ll be my wife. Understand?” tegas Firyal bersuara. Mukanya serius.
Alma memusingkan badannya ke tepi. Dia menatap dalam-dalam mata Firyal. Saat ini dia sudah tak peduli dengan penampilannya yang selekeh. Tudungnya yang sudah senget benget tidak dihiraukan. Biarlah wajahnya yang sedang tidak semenggah ini menjadi tatapan mata Firyal. Dia dah tak peduli!
“ Awak ingat saya ni apa sampaikan saya kena ikut semua cakap awak? Awak tak ada hak untuk tentukan hidup saya.” Bentak Alma. Dia terkedu bila Firyal mengangkat tangan. Menyuruhnya berhenti bercakap.
End of discussion. Sekarang ni kita nak pergi cari cincin.”
Alma membulatkan matanya. End of discussion? Mereka belum lagi berbincang tapi Firyal sudah mahu menamatkan perbincangan!  Firyal memang sudah gila. Dan dia tak nak jadi gila disebabkan Firyal!
“ Semalam aku dah cakap yang kita akan pergi cari cincin hari ni. So, patutnya kau tahu yang aku akan datang hari ni. Then, why you are late?” Firyal menjungkitkan keningnya. Dia inginkan penjelasan yang bernas daripada Alma. Dia paling tidak suka menunggu.
“ Saya tak cakap yang saya setuju nak beli cincin.”
Firyal meraup kasar wajahnya.
“ Okay. Sekarang ni kita pergi cari cincin.” Firyal bersuara geram.
“ Saya tak nak.” Suka hati Firyal je ingin mengarahnya itu ini. Firyal ingat dia ni boneka yang tiada hati dan perasaan? Langsung tiada hak untuk membuat keputusan. Firyal ingat dirinya itu siapa? Kawannya? Bakal suaminya? Memang taklah! Firyal bukanlah siapa-siapa dalam hidupnya.
Firyal mengetap rahang. Menahan sabar yang semakin menipis. Dia lelah dengan sikap keras kepala Alma.
“ Aku bagi kau masa lima minit untuk masuk rumah dan ambil dompet. Lepas tu kita pergi cari cincin.”
Alma ingin memberontak tapi pantas Firyal memotong. “ Kalau kau tak keluar dalam masa lima minit, aku yang akan masuk. Jangan ingat aku tak berani. Kau memang tak akan sangka dengan apa yang aku boleh buat. And one more thing… Jangan terfikir untuk lari dari aku sebab aku akan cari kau sampai ke lubang cacing.” Keras Firyal mengugut. Dia benar-benar akan lakukannya jika Alma berniat untuk lari darinya. Sampai ke hujung dunia dia akan mencari Alma!



 Bersambung...

4 comments:

  1. best2.. smbng lagiii, suka heroin yg degil lah.. hehe

    ReplyDelete
  2. .update cpt2 tao n3 bru. .
    .ta sbr na tao pew jd. .
    ~Zatty~

    ReplyDelete
  3. nk lgiiiiiiiiiiii... dh lama tgu smabungan ni...tp x dok pon

    ReplyDelete